Mengapa ragui keikhlasan Abdullah Antong

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, July 12, 2012

Ramai yang meragui keikhlasan Abdullah Antong yang sekarang ini secara terang memberi sokongan kepada PAS dan PR sekalipun belum rasmi menjadi ahli PAS. Beliau dilibatkan dengan konspirasi rampasan kuasa 2009 sehingga terjatuhnya kerajaan PR di Perak.Ada yang begitu bimbang sekiranya beliau menyertai PAS akan ada jawatan yang diberi ke atasnya atau menjadi calon PAS dalam PRU akan datang, dan ada yang bimbang takut melompat semula.

Saya rasa tidak ramai yang mengenali beliau secara dekat, namanya hanya muncul ketika krisis kerajaan Perak memuncak, bukan diawal rampasan kuasa. Nama dan kelibatnya hanya muncul ketika beliau dikatakan mengeluarkan surat dan kenyataan mengenai perjalanan sidang DUN Perak tanpa persetujuan Speaker Sivakumar. Itupun menurutnya semua itu diatur oleh pihak lain, yang beliau hanya mengikut skrip sahaja.


Beliau adalah penjawat kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Perak, beliau menjadi SU Dewan sebelum Sivakumar dilantik sebagai Speaker lagi. Sebagai penjawat kerajaan beliau menjadi serba salah antara kerajaan yang sah atau kerajaan yang merampas yang direstui pulak tu oleh istana. 


Hati kecilnya sebenarnya adalah bersama dengan PR. Ketika krisis memuncak, beliau ada memberi pandangan yang Hj Nizar hanya boleh dijatuhkan melalui usul undi tidak percaya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, sedangkan tidak ada usul pun yang dikemukakan dalam sidang dewan. Manakala Tuanku hanya berkuasa melantik tetapi tidak ada kuasa memecat. Tetapi apakan daya, ketika itu beliau dalam keadaan delima. Beliau tidak punya keupayaan untuk membuat kenyataan terbuka di ketika Datuk SUK sendiri sebagai bosnya dilihat bersekongkol dengan konspirasi ini. 


Dalam sidang DUN  pertama yang diadakan oleh kerajaan BN (bukan sidang bawah pokok), beliau bersetuju kalau saya dapat masuk ke dewan, sayalah yang akan menjalankan tugas Setiausaha DUN ketika itu, sebab Speaker Sivakumar keluarkan surat melantik saya sebagai SU DUN. Tapi saya dihalang dari memasuki dewan oleh pihak polis yang mengawal ke semua pintu masuk. Jadi beliau kekal menjalankan tugas sebagai SU Dewan.


Zambry dan kerajaan BN pun tahu kecenderungan Abdullah Antong terhadap PR, sebab itu, beliau ditukarkan ke Pejabat Tanah dan Galian sehinggalah pencen. Kalau sememangnya beliau dilihat terbabit dan memainkan peranan penting dalam rampasan kuasa, sudah tentu beliau akan dinaikkan pangkat selepas itu atau dapat anugerah dan pingat. Ataupun setelah pencen sekurang-kurangnya dilantik menganggotai ahli lembaga pengarah mana-mana anak-anak syarikat kerajaan negeri atau dapat anugerah tanah dan yang seumpamanya. Berbeza dengan  bekas pegawai tinggi dan  kanan kerajaan Perak, mereka diberi kedudukan dalam GLC dan ada yang dianugarah tanah yang luas oleh kerajaan. Tetapi tidak kepada Abdullah Antong.


Beliau ada pengalaman yang panjang dengan kerajaan BN, dengan PR hanya 11 bulan. Serkalipun pengalamannya pendek, namun beliau dapat merasai betapa seronoknya berkahidmat dengan PR. Beliau sangat memberi kerjasama terutama ketika perjalanan sidang dewan, ketika itu PR tidak ada pengalaman dalam hal ehwal yang bersangkutan dengan sidang dewan, beliau banyak membantu dengan begitu baik sekali. Tempoh yang pendek sekalipun bersama PR, beliau mengakui banyak perubahan yang dibuat yang akhirnya banyak yang ditiru atau diteruskan oleh BN.


Menurutnya  beliau tidak ada cita-cita politik dan tidak berniat langsung mahu menjadi calon bahkan akan menolaknya kalaupun ada tawaran. Juga tidak bercita-cita mahu menjadi pemimpin parti politik, beliau hanya mahu bekerjasama dengan PAS dan PR menumbangkan UMNO BN dalam PRU akan datang. Menjadi ahli PAS bukan bermakna mahu jadi calon atau pegang jawatan. Ramai yang masuk PAS tetapi tidak juga menjadi calon atau memegang jawatan di mana-mana peringkat parti. Malahan, kalau dilihat kemasukannya sebagai ahli PAS hanya menjadi fitnah sehaja kepada beliau, konon nak jadi calon, nak pegang jawatan atau kemungkinan akan melompat semula sebagaimana contoh yang lain, atau tidak diraikan oleh ahli PAS sendiri, lebih baik beliau kekal sebagai pesara kerajaan yang tidak menyertai mana-mana parti politik tetapi menyokong PAS dan PR. Tetapi adakah itu satu kebijakan. 

PAS sememangnya ada pengalaman yang seumpama ini, kita sentiasa ambil pengajaran dari pengalaman ini. Cuma adakah wajar akibat perbuatan khianat orang lain, kita tidak berlaku adil kepada orang lain pula. Mengapa kita tidak jadikan contoh bekas ahli UMNO dan bekas pegawai kerajaan yang menyertai PAS yang terus istiqamah dengan PAS sampai sekarang.  Dan mereka lebih ramai berbanding yang mengkhianati parti.

Saya harap, semua pihak terbuka dalam menerima Abdullah Antong sebagai sebahagian daripada kita semua. Doakanlah semuga beliau istiqamah bersama kita. Jangan prejudis dan terlalu buruk sangka sehingga melemahkan semangat beliau untuk bersama dengan kita. 




About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!