PAS TIDAK TERGUGAT DENGAN KEMUNCULAN KETUA-KETUA SAYAP UMNO YANG BARU

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, March 26, 2009

Pemilihan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO telah berlalu. Kini ketiga-tiga sayap parti itu telah mempunyai ketua masing-masing yang sudah tentu mereka mempunyai visi dan misi yang tersendiri bagi meneruskan perjuangan UMNO. Kita turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka.

Shahrizat wajar diberi tempat, kerana tempoh perkhidmatan Rafidah sebagai Ketua Wanita sudah terlalu lama, bagi peluang muka baru untuk kita melihat apa strateginya pula bagi meneruskan perjuangan UMNO berhadapan dengan Pakatan Rakyat.

Khairy walaupun memenangi pertandingan tiga penjuru ini, dia pasti akan berhadapan dengan permasalahan getir dan dalaman pemuda UMNO itu sendiri, kemenangannya tidak solid. Undi yang diperolehi tidaklah sepopular namanya. Team Khir Toyo dan Mukhriz tidak akan berdiam diri, kalau salah seorang dari mereka menarik diri dulu, Khairy nescaya akan kalah dalam pemilihan.

Rata-rata pemuda UMNO dan ahli UMNO pasti tidak puas hati dengan kemenangan Khairy, isu politik wangnya yang diakui terlibat tetapi diberi maaf tidak akan dibiarkan oleh ahli-ahli UMNO lain. Pemuda UMNO pasti akan bergolak. Isu rasuah wang akan sentiasa dimainkan oleh mereka bagi menjatuhkan Khairy. Khairy antara yang disebut punca BN kalah teruk dalam pilihanaraya umum yang lalu. Tidak mustahil, Khairy akan menjadi Ketua Pemuda UMNO yang paling singkat tempohnya selepas Zahid Hamidi, dan tidak mustahil juga, Khairy tidak akan mendapat tempat dalam penyusunan kabinet baru Najib sebagaimana Zahid Hamidi dulu. Kita tunggu sajalah selepas Mac ini.

Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat menunggu sahaja serangan-serangan Khairy sebagai nakhoda baru Pemuda UMNO dalam pertempuran politik kini, sudah pasti Bukit Gantang akan jadi medan dan gelanggang tempur Khairy menguji pangaruh dan kekuatannya. Pemuda PAS yang masih diterajui oleh Salehuddin sudah siap menunggu di Bukit Gantang.

Namun Perubahan kepimpinan ketiga-tiga sayap UMNO tidak akan mengubah persepsi rakyat terhadap UMNO itu sendiri. UMNO tetap UMNO, dulu, kini dan selamanya. PAS yang menjadi musuh tradisi UMNO sejak zaman berzaman tidak akan tergugat dengan kemunculan Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO yang baru. Pemuda PAS juga akan mempunyai Ketuanya yang baru dalam pemilihan akan datang ekoran kenyataan Salehuddin yang tidak akan mempertahankan jawatan tersebut.

PAS dan sayap-sayap partinya mempunyai pengalaman yang panjang dalam berhadapan dengan UMNO, PAS yang diserang dari semua sudut oleh UMNO yang dibantu pula dengan segala jentera kerajaan tetap utuh sehingga sekarang. PAS pernah bersendirian tanpa dibantu oleh sesiapa, ia tetap kuat, apatah sekarang PAS tidak lagi bersendirian, PKR dan DAP menjadi rakan perjuangan yang mengukuhkan lagi kekuatan untuk menjatuhkan BN pada pilihanaraya umum akan datang.

Paut maung dan segala getir dalam perjuangan sudah biasa dilalui oleh PAS, yang pengalaman itu mengajar dan mematangkan lagi perjuangan. Sebab itu, PAS semakin berpengaruh dan diterima perjuangannya oleh seluruh lapisan masyarakat terutamanya orang-orang bukan Islam yang semakin jinak dengan PAS. Kita akan buktikan nanti di mana sokongan orang bukan Islam di Bk. Gantang akan melonjak naik selain sokongan orang Melayu.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!