Thursday, December 31, 2009

PERHIMPUNAN DI IPOH HARI INI - PROVOKASI JAHAT MUSUH PR

Hari ini kononnya ada perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat bagi mendesak Dr. Zambry meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak dan menyerahkan semula jawatan tersebut kepada YB Hj Nizar Jamaluddin.

Pakatan Rakyat Perak sejak dulu lagi memang tidak mengiktiraf Zambry sebagai Menteri Besar yang sah di Perak. Berbagai usaha telah dibuat oleh Pakatan Rakyat samada melalui gerakan politik dan undang-undang bagi menuntut keadilan. Apa yang Pakatan Rakyat buat semuanya melalui proses yang betul.

Sehingga sekarang, rakyat masih menunggu dengan sabar keputusan penghakiman dari Mahkamah Federal terhadap kes tersebut, rakyat Perak bahkan seluruh Malaysia hairan mengapa kes seumpama itu begitu menyukarkan hakim-hakim Mahkamah Federal yang arif dan bijaksana membuat penghakiman. Akibatnya rakyat semakin hilang kepercayaan proses keadilan di Malaysia.

Boleh jadi juga UMNO dan penyokong-penyokongnya sudah hilang keyakinan kepada Zambry dan BN di Perak, justeru itu kemungkinan besar perhimpunan hari ini dianjurkan oleh penyokong-penyokong UMNO bagi mendesak Menteri Besarnya sendiri meletakkan jawatan. Oleh kerana mereka mahu penyokong PAS, PKR dan DAP turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut, maka mereka menyebarkan melalui pesanan SMS kononnya Pakatan Rakyatlah yang menganjurkan perhimpunan ini.

Saya sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Perak yang sering berbincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dalam mengatur program-program politik di Perak tidak pernah membincangkan perhimpunan yang kononnya akan diadakan pada hari ini. Penafian telahpun dibuat semalam oleh Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Ada beberapa kemungkinan mengapa perhimpunan ini cuba diadakan. Pertama boleh jadi juga sebagaimana yang saya disebutkan di atas, penyokong UMNO sendiri hilang keyakinan kepada Zambry dan BN Perak sebagai Menteri Besar yang sah di Perak, Mahkamah Federal pula lambat membuat penghakimannya, tidak dinafikan adanya penyokong UMNO yang rasional dan berfahaman terbuka, mereka tidak sanggup menanggung kemunafikan yang begitu lama, kesedaran ini memaksa untuk mereka menganjurkan perhimpunan seumpama ini.

Kedua mungkin sahaja anjuran rakyat Perak yang tidak menyebelahi mana-mana pihak di atas kesedaran yang sama dan mereka pula mula membuat perbandingan bahawa amalan pentadbiran dan dasar-dasar pemerintahan PR sebelum ini lebih amanah, adil, telus, wibawa dan berkebajikan, atau boleh jadi juga perhimpunan diadakan bagi menimbulkan provokasi jahat, ganas dan sebagainya yang kononnya dibuat oleh penyokong-penyokong PR.

Pakatan Rakyat mempunyai strategi tersendiri yang tidak perlu didedahkan di sini bagi menghadapi kemelut dan situasi politik di Perak. Pakatan Rakyat dengan semangat muafakat dan kesepakatan bersama mempunyai strategi politik jangka pendek dan jangka panjang bagi mengembalikan semula hak demokrasi. Rakyat akan diberi pendidikan politik yang sihat bagi menghadapi kemungkinan pembubaran DUN, kemungkinan pilihanraya kecil di mana-mana kerusi sekiranya berlaku kekosongan kerusi atau berhadapan dengan pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Diharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan agenda dan provokasi jahat musuh-musuh politik yang sentiasa mahu menggugat keyakinan rakyat terhadap perjuangan PR di negara ini. Setelah cubaan mereka gagal di Selangor bagi mendesak PAS Selangor keluar Pakatan, kini mereka mencuba dengan strategi yang lain di Perak dan kita yakin strategi jahat mereka pasti akan gagal dan hancur. Sekali mereka boleh perbodohkan rakyat, bukan bermakna selama-lamanya rakyat akan jadi bodoh macam mereka.
Baca seterusnya......

TADIKA ISLAM JING ZHEN AJAR 4 BAHASA



Sahabat lama saya sdr. Kamal Koh Ah Tong akan membuka Tadika Islam Jing Zhen kepada anak-anak berumur 5 - 6 tahun di Ipoh. 4 bahasa akan digunakan sebagai pengantar dalam tadika tersebut iaitu Mandarin, Arab, Inggeris dan Bahasa Melayu. Sepasang suami isteri Cina Muslim yang berpengalaman dalam pra sekolah Islam dari negara Cina akan mengajar di kelas tersebut. Manakala khidmat guru PASTI yang berpengalaman akan turut digunakan bagi mengajar Bahasa Melayu.

Sekolah Islam Jing Zhen akan dibuka di Tadika Seruan Islam Perak, No. 9, Jalan Seruan, Off Jalan Raja Nazrin Shah, 30250 Ipoh (Bangunan Seruan Islam dan Pusat Rawatan Islam Ar-Ridzuan) menawarkan kepada anak-anak anda pembelajaran Fardhu Ain, Pendidikan Islam, Praktikal Ibadah/Solat, Bahasa Mandarin, Bahasa Arab/Jawi, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik, Sains, Perkembangan Fizikal, Lukisan dan Kraftangan serta Kelas Komputer. Kesemua pembelajaran ini dijalankan didalam bahasa Mandarin oleh guru-guru berkelulusan M.A. dalam sastera Cina.

Sesi persekolah (Pagi) bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari (Isnin-Khamis) dan 8.30 pagi hingga 11.oo pagi (Jumaat). Manakala sesi petang pula bermula jam 2.30 ptg hingga 4.30 ptg (Isnin-Jumaat).

Pembukaan Pra-sekolah akan bermula pada 17 Januari 2010 untuk 5 & 6 tahun.

Pendaftaran kini dibuka. Untuk mendaftar, sila hubungi 019-4706707 / 019-5786707.

Tadika ini juga terbuka untuk anak-anak non-muslim.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.jz-islamic-school.myportal.my/


Sekian, terima kasih

Kamal Koh (tel:016-2206707) Baca seterusnya......

PAS PERAK KUNJUNGI PEJABAT HARAKAH DAN SINAR HARIAN




Sepanjang sehari semalam PAS Perak mengunjungi pejabat Harakah di Kuala Lumpur dan pejabat Sinar Harian di Shah Alam, Selangor. Rombongan PAS Perak diketuai oleh YB Hj Nizar Jamaluddin.

Kunjungan kami ke pejabat Harakah disambut oleh YB Datuk Kamaruddin Jaafar dan beberapa pengarang Kanan Harakahdaily dan Harakah Cetak. Taklimat disampaikan oleh mereka.

Dalam kujungan ke pejabat Harakah, pimpinan PAS yang diberi peluang berdialog dan bersoal jawab dengan editorial mengambil kesempatan memberi pandangan dan harapan agar isu-isu Perak sentiasa diberi liputan oleh pihak Harakah, PAS Perak juga mengharapkan wartawan Harakah ditambah memandangkan keluasan negeri Perak yang mempunyai 59 DUN dan 24 Parlimen.

Dalam kunjungan ke Pejabat Sinar Harian di Karangkraf Shah Alam, kehadiran kami sememangnya dinantikan oleh pihak pengurusan dan para wartawan Sinar Harian, mereka sangat gembira apabila Dato' Seri Hj Nizar turut dalam kunjungan tersebut. Kami diberi peluang untuk melawat ke seluruh pejabat Karangkraf yang terkenal dengan lebih 30 penerbitan berbagai jenis majalah. Kami juga dibawa melawat dan diberi taklimat operasi percetakan di kilang percetakan dan penerbitan di situ juga.
Yang menarik sekali ialah sessi dialog. Kesempatan ini sepatutnya peluang kami bagi memberi pandangan dan harapan kepada Sinar Harian terhadap liputan dan pemberitaan isu-isu dan aktiviti PAS di seluruh Perak, namun kesempatan itu telah diambil peluang terlebih dahulu oleh para wartawan untuk banyak bertanya YB Hj Nizar mengenai isu-isu nasional lebih-lebih lagi isu-isu Perak.

Kami terpaksa mencelah dan memohon supaya kesempatan itu diberi peluang kepada kami mengemukakan pandangan dan suara hati PAS Perak terhadap Sinar Harian edisi Perak. Akhirnya peluang diberikan selepas YB Hj Nizar terpaksa meninggalkan majlis kerana terlibat dengan program lain di Shah Alam. Dalam kesempatan tersebut, PAS Perak memberi pandangan supaya Sinar Harian edisi Perak memberi liputan yang sama adil terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Perak dan juga aktiviti-aktiviti PAS di seluruh kawasan. Sejak akhir-akhir ini, sangat kurang berita-berita PAS di sana sini, berita UMNO BN lebih banyak disiarkan berbanding berita Perak, kami juga mendedahkan adanya usaha jahat dari pejabat MB Perak melalui Setiausaha Akhbar MB yang cuba mencampuri kebebasan akhbar menyiarkan berita-berita PAS dan PR di Perak, ia sangat berbeza dengan edisi negeri-negeri lain seperti Selangor atau Kedah.
PAS Perak juga mengharapkan Sinar Harian memperbanyakkan pemberitaan mengenai kesedaran anak-anak muda supaya menghayati budaya hidup Islam dengan mengajak mereka kembali ke masjid. Sinar Harian juga diperingatkan supaya nilai berita yang diolah mestilah atas roh amanah dan mengandungi nilai yang boleh memberi kesan mendidik pembaca kepada kesedaran politik dan dakwah.

Mengakhiri kunjungan ke Shah Alam, PAS Perak juga sempat membuat lawatan dan kunjugan mengejut ke Percetakan Edaran yang mencetak akhbar Harakah dan Siasah, kebetulannya Percetakan Edaran tidak pula jauh dari situ, kedatangan kami mengejutkan sdr. Azlan Jan selaku Pengarah Urusan syarikat tersebut, namun kami tetap dilayan dengan mesra oleh mereka.



Baca seterusnya......

KUNJUNGAN HJ NIZAR KE BAGAN DATOH MENGGUSARKAN UMNO


Kunjungan Dato' Seri Hj Nizar ke Bagan Datoh mendapat sambutan luar biasa dari masyarakat setempat di Bagan Datoh. Bermula dengan program di tapak timbang sawit sdr. Arifin Husein di Parit Satu, Batu 20, kelihatan orang ramai sabar menunggu ketibaan Hj Nizar sejak sebelum asar lagi. Sempena kunjungannya ke Bagan Datoh, Hj Nizar diminta merasmikan timbang sawit sdr. Ariffin Husein yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan. Ratusan orang ramai mendengar ucapan Hj Nizar yang menjelaskan isu-isu semasa nasional dan negeri Perak.

Selepas Solat Maghrib di Masjid Bagan Datoh, Hj Nizar sempat menyantuni ahli-ahli Jamaah yang baru mengikuti kuliah pengajian yang disampaikan oleh Tuan Guru Hj Arif Yaasin (bekas calon PAS 1995). Sebelum majlis ramah mesra bersama masyarakat berbilang kaum di Dewan tookong Bagan Ikan, Hj Nizar dan rombongan diraikan oleh penduduk rumah awam Bagan Datoh dirumah sdr. Ajmain. Mereka sangat berbesar hati di atas kunjungan Hj Nizar ke kediamannya.


Program seterusnya bersama masyarakat berbilang kaum di Dewan Tookong, Bagan Ikan. program tersebut adalah atas permintaan dan jemputan masyarakat Cina di Bagan Datoh yang mahu mendengar sendiri ucapan Hj Nizar. Ternyata ucapan Hj Nizar mendapat sambutan dan tepukan gemuruh dari masyarakat Cina dan lain-lain. Ucapan yang diselang seli dalam bahasa Mandarin dan Melayu cukup mempersonakan, kebolehannya bercakap Mandarin menambat minat kaum Cina. Mereka tidak berganjak sehinggalah ucapannya berakhir.
Sempena majlis tersebut, 20 orang anak-anak fakir miskin dan yatim dari kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India di kampung berdekatan telah menerima sumbangan dari PAS Kawasan Bagan Datoh yang disampaikan oleh YB Hj Nizar.

Hj Nizar bergegas meninggalkan majlis di Bagan Datoh kepada YB Chan Li Kang untuk meneruskan ceramah. Beliau menghadiri satu majlis lagi yang dianjurkan oleh YB Kesavan di Dewan Tookong Hutan Melintang. Sambutan majlis tersebut cukup meriah. Kehadirannya disambut meriah oleh para hadirin. Turut hadir dalam majlis tersebut Datuk Chua Jui Meng, YB Lee Boon Chye, YB Gobalakrishnan, YB Ng dari Sekinchan dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.
Kunjungan YB Hj Nizar dan beberapa pimpinan PR yang lain ternyata cukup menggusarkan UMNO BN Bagan Datoh. Sembang di kedai-kedai kopi sekitar Bagan Datoh menyebut, kalau beginilah sambutan masyarakat berbagai kaum Bagan Datoh kepada Pakatan Rakyat, UMNO BN tidak akan mampu mengekalkan kerusinya di seluruh DUN & Parlimen di Bagan Datoh. Zahid Hamidi pasti gusar dan bimbang. Sebagai Menteri, beliau pasti akan menabur projek-projek dan wang ringgit untuk dicurahkan kepada masyarakat Bagan Datoh bagi memastikan rakyat kekal menyokong BN. Kita percaya, rakyat semakin cerdik dan bijak, rakyat Bagan Datoh tidak akan boleh diperbodohkan untuk selama-lamanya oleh UMNO BN Bagan Datoh.
Baca seterusnya......

Monday, December 28, 2009

HJ NIZAR TURUN KE BAGAN DATOH ESOK

Esok 29hb Januari, Bagan Datoh akan dikunjungi oleh YB Dato' Seri Ir Hj Nizar Jamaluddin bermula jam 5.00 petang. Kunjungan Hj Nizar akan turut disertai oleh beberapa pimpinan Pakatan Rakyat negeri Perak. Datuk Chua Ju Meng juga turut akan menyertai program makan malam di Dewan Tookong Hutan Melintang.

Program bermula di rumah Hj Arifin Husein, Naib YDP Bagan Datoh dalam satu majlis khenduri kesyukuran, Dato' Seri akan berucap meraikan majlis tersebut. Selepas itu, Dato' Seri akan dibawa menziarahi keluarga mangsa rompakan dan bunuh di Kg. Sungai Tiang Tengah. Dato' Seri akan solat Maghrib di Masjid al Qura', Bagan Datoh. Selepas itu, Dato' Seri akan menghadiri majlis penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah di Dewan Tookong Bagan Datoh sempena dengan jamuan makan malam bersama masyarakat Melayu, Cina dan India.

Kira-kira jam 10.00 malam YB Dato' Seri akan menghadiri satu majlis makan malam di Dewan Tookong Hutan melintang bersama Dato' Chua Ju Meng, YB Lee Boon Chye, YB Kesavan dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat kawasan dan negeri yang lain.
Baca seterusnya......

Friday, December 25, 2009

MELAWAT MANGSA ROMPAKAN DAN BUNUH DI BAGAN DATOH

Pagi semalam saya bersama Muhammad K.Y Tiang (bekas pegawai khas Hj Nizar), beberapa pimpinan PAS Kawasan dan Cawangan melawat keluarga mangsa rompakan dan bunuh di Sungai Tiang Tengah, Bagan Datoh. Rumah mangsa tidak jauh dari kampung halaman saya di Sungai Tiang Darat. Kebetulan salah seorang anak mangsa adalah anak murid saya sewaktu mengajar di Sekolah Menengah Tun Abdul Razak Selekoh. Kejadian berlaku di Kedai Chin Lee, Sg. Tiang Tengah jam 10 pagi 23hb Januari.

Mangsa (Ah Kaw @ Chin Lee) di tetak lehernya dengan parang dan mati sewaktu dikejarkan ke klinik kerajaan yang berhampiran. Semasa kejadian hanya mangsa dan isteri sahaja berada di kedai yang juga rumah kediamannya. Suspek berupa dua orang pemuda India yang menunggang motor. Polis masih menyiasat kejadian ini.Sebagai tanda simpati dan prihatin, sedikit sumbangan telah dihulurkan kepada isteri mangsa yang kelihatan masih bersedih dan trauma dengan kejadian itu. Mayat mangsa ketika itu masih lagi dibedah siasat di Hospital Teluk Intan.

Kesempatan berada di Sungai Tiang, saya sempat melawat penyokong-penyokong PAS dari kaum Cina di Bagan Sungai Tiang. Sokongan mereka kepada PAS tetap utuh dan berazam akan memastikan PAS akan dapat sokongan besar dari kalangan masyarakat Cina yang sudah hilang kepercayaan kepada BN dan MCA yang sedang berpecah belah.



Dalam perjalanan pulang, saya sempat singgah melawat mangsa pecah rumah di kampung saya sendiri di Sungai Tiang Darat. Kejadian berlaku seminggu sebelum rompakan dan bunuh di Sungai Tiang Tengah. Kejadian pecah rumah dan curi berlaku ketika seisi keluarga sedang menonton tv di tingkat atas. Mereka hanya menyedari setelah salah seorang ahli keluarga balek rumah lewat malam.

Kejadian rompakan dan pecah di rumah di kampung berhampiran selang seminggu wajar diberi perhatian serius oleh pihak keselamatan. Mereka hendaklah lebih peka dengan kejadian ini. Sementara JKKK di kampung hendaklah menubuhkan team kawalan kampung di kampung masing-masing.


Baca seterusnya......

Wednesday, December 23, 2009

ADUN BN SLIM RIVER BIADAB & INGKAR PERKENAN TUANKU

Adun BN Slim River, Datuk Khusairi Abdul Talib telah bertindak melampaui bidang tugasnya sebagai ADUN. Tugas beliau menjaga dan memperjuangkan hak rakyat di DUNnya. Tetapi beliau telah bertindak biadab dan ingkar apabila mempertikaikan perkenan Tuanku dan menuduh JAIP mengubah senarai yang telah diluluskan oleh MAIP.

Beliau begitu lantang mengecam JAIP yang kononnya mengubah keputusaan Tuanku kerana memasukkan beberapa ahli PAS menganggotai Jawatankuasa Masjid tersebut. Pada hal senarai yang diluluskan oleh MAIP itulah yang sebenarnya.

Tindakan Adun Slim yang mahu nama-nama ahli PAS digugurkan dalam senarai tersebut menyebabkan Pengarah JAIP terpaksa turun untuk berunding dengan Adun tersebut. Pada saya tidak sepatutnya Pengarah JAIP melayan Adun tersebut untuk tunduk mengikut telunjuk UMNO BN. Isu ini menjadi kecoh sehingga orang ramai tidak puas hati. Ikuran tindakan Adun BN yang biadab, sombong, angkuh dan ingkar itu menyebabkan majlis penyerahan watikah perlantikkan terpaksa ditangguhkan.

Berikutan itu, Tuanku Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri dan Adat Istiadat Melayu Negeri Perak telah menitahkan supaya perlantikkan Jawatankuasa Qaryah bagi mukim Slim, Batang Padang kekal berdasarkan senarai asal yang dipersetujui pada 2hb. Ogos 2009, bukannya senarai yang mengikut telunjuk UMNO BN.

Orang Besar Jajahan (OBJ) Batang Padang, Datuk Seri Yeop Junior Yeop Adlan berkata beliau telah menerima arahan dari Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya membuat pelantikan jawatankuasa masjid dalam mukim Slim berdasarkan senarai asal yang dipersetujui sebelum ini.

Sebelum ini, majlis penyerahan watikah pelantikan itu ditangguhkan ekoran timbulnya dakwaan bahawa Jabatan Agama Islam Perak telah menukar senarai jawatankuasa beberapa masjid di negeri itu dengan memasukkan nama penyokong PAS.

Perkara itu dibangkitkan oleh ADUN Slim Datuk Khusairi Abdul Talib minggu lalu yang mendakwa perbuatan itu 'tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh Raja Dr Nazrin'.

Pada hal beliaulah yang paling tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telag diperkenankan oleh Tuanku Raja Dr. Nazrin. Kalaulah Adun PAS apatah lagi YB Hj Nizar yang berbuat demikian, sudah pasti UMNO akan jaja merata kampung sampai ke luar negara menuduh Hj Nizar derhaka pada Tuanku. Sekarang siapa sebenarnya yang derhaka dan biadab pada Tuanku?

Baca seterusnya......