Meskipun Umno sedar tuduhan derhaka tersebut tidak mempunyai asas sama sekali namun di atas prinsip “matlamat menghalalkan cara” yang menjadi teras atau rukun politik Umno, gendang derhaka tersebut terus menerus dipalu oleh Umno bagi mendapat undi rakyat dengan cara yang tidak bermaruah.
Sejak dari awal Dato Seri Nizar dan Pakatan Rakyat ( PR ) tidak pernah berniat jauh sekali menderhaka kepada Y.M Tuanku Sultan. Hakikatnya PR boleh dan telah pun mengemukakan bukti-bukti sahih dan kuat yang secara jelas menunjukkan Umno adalah sebenarnya penderhaka kepada Sutan. Bukti-bukti yang PR kemukakan adalah bukti-bukti yang boleh diperolehi secara mudah dari rekod-rekod awam ( public record ) dan rasmi. Apa yang berlaku sebenarnya adalah penderhaka Umno menuduh Dato’ Seri Nizar yang tidak derhaka sebagai penderhaka.
Seperti yang dimaklumi, Dato’ Seri Nizar telah memfailkan saman ( semakan kehakiman ) ke atas Dato Dr Zambry di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan antara lain perintah bahawa Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Memandangkan beliau masih sebagai Menteri Besar Perak yang sah maka Dato Zambri tidak berhak memegang jawatan tersebut.
Semasa pendengaran saman tersebut pada 2/4/2009 yang lalu, pihak Peguam Negara telah membantah saman Dato’ Seri Nizar tersebut di atas alasan Dato Seri Nizar sebenarnya mencabar keputusan Y.M Tuanku Sultan Perak dan keputusan Sultan, menurut Peguam Negara , tidak boleh dipertikaikan atau disemak oleh Mahkamah.
Pasukan Peguam Nizar berhujah bahawa Dato Seri Nizar tidak pernah berniat jauh sekali mencabar keputusan Y.M Sultan Perak . Peguam Dato’ Seri Nizar juga bersetuju bahawa kuasa Sultan tidak boleh dicabar di Mahkamah. Namun bagi mereka yang mahir dalam undang-undang pentadbiran ( administrative law ) , mereka tentu arif bahawa undang-undang membenarkan Mahkamah bertanyakan kepada mana-mana penjawat awam seperti Dato Zambry atas kuasa apakah beliau layak memegang jawatan tersebut di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Perak di dalam keadaan Nizar mendakwa beliau masih lagi Menteri Besar yang sah.
Pada 3/4/2009 iaitu pada jam 3.50 petang ,Y.A Hakim Dato Abdul Aziz Abdul Rahim menolak bantahan Peguam Negara dan memutuskan permohonan Dato Seri Nizar bukan permohonan yang remeh ( not frivolous ) sebaliknya permohonan tersebut mempunyai merit dan asas yang kuat. Mahkamah menolak hujah Peguam Negara bahawa Dato Seri Nizar mencabar keputusan Sultan kerana berdasarkan saman yang Dato’ Seri Nizar failkan di Mahkamah adalah jelas Dato Seri Nizar tidak menyaman Sultan atau mempertikaikan keputusan Sultan.
Keputusan Mahkamah tersebut secara jelas dan terang menunjukkan bahawa sejak dari awal Nizar tidak pernah mempertikaikan keputusan Sultan . Keputusan tersebut sekaligus menyangkal dakwaan tidak berasas Umno bahawa Nizar adalah pernderhaka.
Keputusan Mahkamah membuktikan secara jelas bahawa isu derhaka yang Umno mainkan selama ini adalah satu politik jahat , politik murahan dan politik putar belit Umno . Beginilah politik Umno dulu, kini dan tak tahu sampai bila.