KAUM YANG TERBUNUH

Dicatat oleh MisbahulMunir Saturday, June 27, 2009

Aku adalah sisa
Dari kaum yang terbunuh
Mati di tanah sendiri
Permisi sebelum waktu

Berdiri aku di tanah pusaka
Yang berlembah hiba
Hilang sudah
Rimbun dedaun hijau
Tegak kota batu, pagar keluli
Yang meminggir ke penjuru
Seluruh desa permainanku

Semalam yang memanggil aku
Penuh dingin menikam sukma - berdarah
Menitis mengalir darah
Selendang merah luka bangsa

Jangan lagi bicara soal
Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Kerana kaum ini
Telah hilang istilah dan peribadi sendiri

Telah roboh kotanya
Rebah madrasahnya
Ranap gedungnya
Dan remaja gersang hidup
Racun sang penguasa yang rakus
Sedang si tua hilang akal
Mengitung luka bertahun
Di tengah-tengah kamaruk pada pangkat dan harta secubit

Rela membunuh sesama rumpun
Mencabut damai
Memenjara lelayang
Yang bebas berterbangan

Suara ini semakin pudar
Hilang sudah susilanya
Mencari kata-kata yang sukar diberi makna
Seperti langkah
kehilangan gagah
Tidak persis lelaki sejati
Yang berani dan berahi
Mencabar zaman
Mengisi ruang

Dan kaum yang terbunuh
Terpinggir di bumi sendiri,
Lemah, dimamah
Terkapai, tak terbela,
Tenggelam, mati, hanyut
Si bangsat yang hilang
Buminya sendiri

Teringat aku pada hikayat lama
Bagaimana Temasik di langgar todak
Bisanya keris Laksamana Bentan
Amuk si Jebat derhaka
Titah berdarah Puteri Gunung Ledang
Ada lagi Musang Berjanggut,
Pak Pandir, Si Kadok menang sabung,
Kampong tergadai.

Aku menuntut hak kaum yang telah mati
Biar kuburnya bertanda akan
Ayat-ayat Tuhan yang hampir dilupakan
Kerana yang tinggal pada kaum ini
Hanyalah ingatan pada keyakinan yang samar
Akan ajaran lama yang ditinggalkan

Berdiri seakan bertafakkur
Kerana al Fatihah belum mampu dihabiskan

Aku terus berdiri dan melangkah
Kerana kau adalah sisa kaum yang terbunuh
Yang ingin hidup lebih bermakna.

Muhaimin Sulam

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!