UCAPAN PERASMIAN TIMBALAN PRESIDEN PAS DALAM MUKTAMAR PEMUDA

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, June 4, 2009

Marilah sama-sama kita renungi Kalamu'Llah Subhanahu wa Ta'ala yang telah berfirman di dalam al-Qur'an ayat 102-103, Surah Ali Imran : Wahai Orang orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar benar takwa kepadaNya, dan janganlah kamu mati selain dalam keadaan beragama Islam. Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni�mat Allah kepada mu ketika kamu dahulu (sewaktu jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni'mat Allah orang-orang yang bersaudara, dan kamu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.


Begitulah juga, Allah SWT telah berpesan kepada kita dalam ayat ke-55 dan 56, Surah al Maidah "Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasulnya dan orang orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk kepada Allah. Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasulnya dan orang orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut agama Allah itulah yang pasti menang."

Kedua-dua ayat ini mengandungi maksud yang tersirat dan cukup mendalam. Ia sesuai dijadikan sebagai elemen-elemen yang melengkapi maksud wehdah (penyatuan), mahabbah (kasih sayang) dan ukhkuwah (persaudaraan) yang menjadi teras kepada kejayaan Islam dan jamaah.

Dalam hal ini teringat kita mutiara pesanan Al-Marhum Asy-Syaikh Mustafa Masyhur dalam tinta emasnya yang amat kita kenali, Tariqud-Da'wah bila mana beliau berkata:

"Jalan dakwah adalah jalan yang satu. Di atas jalan inilah RasuluLlah SAW dan para sahabat baginda RA berjalan sebelumnya. Demikianlah juga kita dan pendukung dakwah berjalan dengan Tawfiq daripada Allah SWT. Kita dan mereka akan berjalan berbekalkan iman, �amal, mahabbah dan ukhuwwah. RasuluLlah SAW menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar cinta dan ukhuwwah. Maka berpadulah ikatan iman dan kekuatan �aqidah dengan penyatuan. Jadilah jamaah mereka sebagai jamaah contoh. KalimahNya mesti lahir dan dakwahnya mesti menang walaupun ditentang oleh seluruh penghuni muka bumi ini."

Saudara saudara sekalian

Salah satu aspek terpenting dalam 'Amal Jama'iyy yang dipegang oleh PAS yang menjadikan ia berbeza daripada parti politik lainnya, ialah amalan syura. Sesungguhnya peranan syura yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam surah Ali �Imran: 159 merupakan panduan yang amat jelas dan pengawas kepada perjalanan dan hala tuju PAS. Amalan syura ini telah kita warisi daripada zaman Rasulullah SAW lagi dalam banyak suasana yang telah baginda contohkan.

Oleh itu, kita tidak boleh berganjak daripada Syura. Adalah menjadi kewajiban setiap pimpinan dan ahli mengikat dengan keputusan Syura Jamaah walaupun dia mempunyai pandangannya yang tersendiri. Pandangan sendirinya itu apabila telah dicurahkan dalam Syura dan apabila Syura mengambil keputusan, maka keputusan Syura ilzam ke atasnya. Pelaksanaan syura yang meluas, menurut sebahagian besar pimpinan harakiyy, adalah wajib dan sebahagian fuqaha� berpendapat pula Amir Syura dan Amir Jamaah mesti ilzam dengan keputusan syura. Kaedah pelaksanaan syura ini pula adalah berdasarkan prinsip pendapat yang paling kuat (al-ra�yu al-rajih) di kalangan mereka yang bersyura. Kaedah ini dipegang berdasarkan alasan bahawa salah satu nas yang berhubungan dengan syura meletakkan ia bersampingan dua rukun Islam yang utama, iaitu solat dan zakat sehingga memberikan konotasi bahawa pentingnya syura seakan-akan syarat asasi sebagai seorang Muslim-Mukmin apatah lagi bagi kita sebuah organisasi politik yang sedang memikul amanah memimpin ummah.

Firmanu'Llahu Ta�ala fi kitabihi�l-Karim: (59) "Sesungguhnya Allah memerintah kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia, hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran sebaik-baiknya pada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar dan meliha"

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan ulil 'amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan �ulama). Maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (Al-Qur�an) dan Rasul (As-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan seelok-elok penyelesaiannya"

Kepimpinan dalam Islam merupakan sunnah mulia Rasulullah SAW. Meskipun begitu, ia juga merupakan suatu amanah yang cukup besar. Bukankah atas dasar itulah, Rasulullah SAW menolak permintaan �Abdul Rahman bin Samurah bilamana baginda SAW dengan tegas bersabda (maksudnya): "Hai Abdul Rahman! Janganlah kamu meminta kepimpinan (al-Imarah) kerana kalau kamu diberikannya padahal kamu tidak memintanya, maka kamu akan diberi pertolongan; tetapi jika kamu diberikan lantaran kamu memintanya, kamu akan dibebankan.�

Sesungguhnya kepimpinan adalah amanah berat yang didokong oleh seluruh pimpinan dan ahli jamaah supaya mengurus politik dan pentadbiran negara dengan cara yang betul lagi benar, memimpin umat dan berpegang teguh dengan tali Allah meskipun diuji dengan pelbagai mehnah (tribulasi) yang sukar diduga. Pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar. Kepimpinan adalah seni untuk membimbing manusia ke arah destinasi objektif (hadaf) yang telah ditetapkan. PAS mempunyai produk Islam untuk disampaikan. Ia akan terganggu sekiranya pemimpin tidak bijak dalam meyakini rakyat atau pengikut untuk menerima prinsip-prinsip Islam.

Saya tertarik dengan sebuah buku yang ditulis oleh John C. Maxwell yang bertajuk, The 21 Irrefutable Laws of Leadership, beliau menyatakan bahawa: "The second principle of law is the Law of Navigation. Anyone can steer the ship, but it takes a leader to chart the course".

Ilmu pengurusan yang dinukil oleh penulis Barat juga perlu diolah supaya ia mampu melengkapkan kepimpinan pemuda dengan kompetensi kepimpinan yang tinggi.

Keimanan yang terpasak dalam jiwa pejuang-pejuang agama telah mengikat jasad dan roh untuk mengendalikan urusan politik secara ibadah serta menyeru rakyat supaya ta'abud li'Llahi Ta�ala. Kita sama sekali tidak akan berganjak untuk bersama-sama dengan Islam walau dalam keadaan apa jua sekalipun. Sebagaimana sebuah hadith Rasulullah SAW,

"Ingatlah bahawa lingkaran Islam itu adalah bulat, berputarlah kamu bersama Islam di mana sahaja ia berputar".

Sehubungan dengan itu, saya ambil kesempatan disini untuk sekelian kalinya menegaskan bahawa pemimpin tertinggi parti tidak pernah punya sebarang niat atau perancangan untuk masuk Umno atau BN. Dan saya amat percaya adik adik saya di dalam Dewan Pemuda PAS bersama sama dalam agenda ini. Akan kita pertahankan parti ini dari sebarang unsur yang cuba merobek dan mengganggu keutuhan jamaah kita.

Islam yang kita perjuangkan ini diambil dari nas Al Quran dan Al Sunnah. Al Quran dan Al Sunnah lah yang mengajar kita untuk mengenal siapa musuh dan siapa kawan, ketika mana hendak berperang dan ketika mana pula untuk berdamai.

Sekali saya menegaskan bahawa prinsip dan dasar Islam yang kita perjuangkan akan sekali kali tidak berganjak, namun kaedah dan uslub boleh berubah. Akan kita perkukuhkan saf kita sendiri dan juga saf Pakatan Rakyat yang telah kita ijtihadkan sebagai wadah politik kita untuk berdepan dengan UMNO dan BN.

Allah SWT akan memilih golongan-golongan HizbuLlah, AnsaruLlah dan Hawariyyun ini untuk benar-benar melunaskan janji mereka. Kita mesti memastikan bahawa jejak langkah kita tidak akan berpaling daripada landasan perjuangan yang suci murni ini. Sebaliknya, tanamkanlah rasa ghairah untuk memenangkan Islam dari segenap juzuk.

Dan insya' Allah PAS boleh dan Pemuda PASlah yang akan berada di barisan hadapannya! Sekalipun tugasan politik dan kebajikan kita terlalu banyak, maka jangan lupa bahawasanya ia adalah sebahagian daripada ruang lingkup dakwah yang luas terbentang dan kita sebagai da'i yang bertanggungjawab ke atas mad�u. Bila disebut tentang madĂș pula, semua yang ada diluar sana adalah madĂș kita. Akan terus kita ajak mereka untuk bersama dengan kita, berbincang, berdialog tanpa mengira siapa mereka dan ideologi politik atau kefahaman apa pun yang mereka miliki.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat ke-55 dan 56.

"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhakan untuk mereka, dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan ingatlah sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Dan dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat. Dan taatlah kepada Rasulullah SAW supaya kamu beroleh rahmat"

Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat ini telah berkata, "Ini adalah janji Allah kepada Rasulullah SAW bahawa Allah akan menjadikan umatnya sebagai para khalifah di muka bumi, iaitu sebagai imam dan pemimpin bagi umat manusia. Dengan mereka, negara akan diislahkan dan manusia akan tunduk kepada mereka, juga akan diubah rasa ketakutan kepada keamanan dan pemerintahan akan berada di tangan mereka."

Penentangan zaman-berzaman terhadap kebenaran dan keadilan Islam sentiasa dilancarkan oleh musuh-musuh Islam serta golongan munafiq. Tidak cukup dengan serangan militer, mereka melancarkan serangan-serangan pemikiran, budaya dan ekonomi sehingga melumpuhkan kekuatan umat Islam terutamanya golongan muda. Justeru, bagi menangani apa jua cabaran musuh Islam, hanya tarbiyyah Islamiyyah yang mampu menjadi benteng untuk menepis serangan-serangan itu. Tarbiyyah Islamiyyah berperanan dalam membentuk syakhsiyyah Muslim sejati dan menguatkan pergantungan atau �aqidah kita kepada Yang Maha Berkuasa.

PAS mestilah menekuni pemasalahan dan kesulitan yang dialami pada hari ini. Kebejatan peribadi manusia, krisis ekonomi dan impaknya kepada dunia, ketidakstabilan politik serta penindasan terhadap Islam mestilah diselesaikan dengan cara Islam. Maka, bagi menyediakan penyelesaian kepada masalah-masalah sejagat ini, gerakan Islam mesti memperbaharui mekanisme dan pendekatan tarbiyyah supaya sesuai dengan perkembangan semasa. Walaupun begitu, ia mestilah berpegang teguh dengan prinsip dan dasar Islam sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 256;

"Sesiapa yang tidak mempercayai taghut, dan beriman kepada Allah SWT, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali (agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui"

Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan dalam bukunya yang bertajuk, Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi telah mencatatkan peringatan penting untuk kader-kader dakwah mengenai cabaran kekecewaan dalam melakukan 'amal-'amal Islami. Beliau berhujah dan meletakkan beberapa faktor yang menyebabkan lunturnya semangat pemuda untuk berjihad di jalan Allah, iaitu;


(i) pakatan jahat musuh Islam terhadap Islam;
(ii) berbilang jemaah dan permusuhan yang berlaku di antara jemaah;
(iii) kegagalan untuk mencapai kemenangan; dan
(iv) berhujah dengan nas-nas yang menyeru kepada pengasingan diri daripada hidup bermasyarakat.

Dalam hal ini, 'ulama dan mujahid dakwah yang berpengalaman ini telah berpesan supaya jangan wujud satu jamaah yang tidak mengenal Islam melainkan ia hanya bergerak dalam bidang politik dan mengkritik pemerintahan serta kerajaan. Tanpa menghiraukan pengislahan akhlak, penyempurnaan tarbiyyah dan penyucian diri, jamaah seperti ini akan menyumbang kepada kemerosotan usaha jihad. Begitu juga, orang yang berputus asa sentiasa bersikap negatif terhadap potensi gerakan Islam kerana hanya melihat satu demi satu kegagalan dalam menumpaskan kerajaan nasionalis dan sekularis ini. Akhirnya, mereka mendakwa bahawa sudah tidak ada jalan lain lagi untuk menegakkan Islam dalam negara tersebut.

Maka, kita merafa�kan doa dan munajat ke hadhrat Ilahi, memohon dengan sesungguhnya supaya seluruh ahli kita sentiasa teguh beriltizam untuk menggalas amanah Islam ini serta istiqamah dalam mendepani pelbagai mehnah dan fitnah yang datang silih berganti. Hanya mereka yang ikhlas dan telah membulatkan tekad kepada Allah akan dibayar oleh Allah dengan ganjaran harga yang cukup tinggi di akhirat kelak. Sesungguhnya martabat para mujahid dakwah yang ikhlas dan benar akan diangkat oleh Allah SWT sebagaimana Janji-Nya di dalam al-Qur'an.

PAS telah meniti dan mengharungi medan demokrasi sejak tahun 1951. Bermula penyertaannya dalam pilihanraya pada tahun 1955 sehingga PRU 12 pada tahun 2008. Sesungguhnya PAS tidak pernah diuji Allah dengan kemenangan sebesar ini. PAS sedar ujian kemenangan adalah jauh lebih sukar daripada ujian kekalahan dalam pilihanraya. Bukan hanya di peringkat luaran, malah di peringkat dalaman. Apa yang telah berlaku selama 15 bulan ini, sewajarnya kita insafi dan tafakkur sejenak. PAS pernah berada dalam keadaan hanya dengan memenangi satu kerusi di Parlimen dan majoriti satu kerusi di DUN. PAS pernah memimpin Pakatan Pembangkang di Dewan Rakyat.

Malah PAS telah menerajui Negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan bersama Pakatan Rakyat memimpin Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Ini semua adalah hidangan dan ujian besar daripada Allah buat mereka yang berakal untuk sentiasa memuhasabah diri. Ia akan menjadikan PAS supaya lebih matang dalam mengharungi liku-liku demokrasi ini. Insya� Allah cabaran besar ini akan kita galas, akan kita pikul dan akan kita hargai dengan memberikan pentadbiran politik terbaik kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Imej PAS sebagai parti pembangkang perlu dijenamakan semula. PAS bukan sekadar parti pembangkang � asal bantah sahaja semua tindakan parti kerajaan, tetapi PAS kini adalah sebuah Parti Islam yang telah bersedia untuk mengambilalih kepimpinan negara dalam masa terdekat dan membawa pimpinan alternatif kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan Izin Allah. Minda dan tindakan kita perlu dididik dan bersedia menjadi pentadbir sebenar sebuah kerajaan. Kita perlu sentiasa berada dalam kancah masalah rakyat dan menawarkan penambahbaikan kepada masalah mereka.

Bukan hanya menunding jari kepada kerajaan, sebaliknya agresif dalam menyelesaikan kekusutan yang tersimpul dek kerana kesesatan dalam memimpin rakyat. AlMarhum Bapak Natsir pernah berkata,

"Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah. Tetapi ia tumbuh sendiri dalam hempas pulas kanca, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat".

Pada hari ini kita berhadapan dengan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang baru tetapi semakin lemah dan semakin laju menjunam ke lembah kebinasaan. Kita pinggirkan kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Sebaliknya, kita melihat kekuatan mereka. Sejauhmana kita sudah mempersiapkan diri untuk menandingi mereka dari aspek pengurusan, ekonomi, pemikiran polisi, enggagement dan sebagainya? Oleh yang demikian, pemuda perlu menampilkan dan memasarkan politik dan produk dakwah serta mempotretkan kepimpinan bermodelkan Islam dengan sebaik-baiknya.

Demikianlah akhlak berjamaah yang kita anuti. Pemuda juga mesti terus teguh mempertahankan Syura. Ramai di kalangan pemuda mempunyai kelebihan-kelebihan yang masih belum dimaksimumkan. Kita perlu memperbetulkan amalan yang biasa dilakukan dan membiasakan amalan yang betul. Kita mesti berani membuat re-invention dan re-branding yang menepati sasaran dakwah kita. Jangan kita berlaga sesama sendiri. Jangan kita berdusta sehingga membongkar rahsia tanzim kita. Jagalah adab-adab berjamaah dan jangan sekali-kali membiarkan diri kita dipergunakan musuh sama ada kita sedar atau sebaliknya. Dan kita yakin, Pemuda PAS sudah bersedia. Pemuda kini sudah mampu dan semakin matang. Dan saya teramat yakin, Pemuda PAS akan bersedia pada bila-bila masa.

Demi sesungguhnya, di dalam jamaah PAS kita kini, telah tersedia saff Pemuda yang memiliki:


(i) barisan pelapis pemimpin yang karismatik;
(ii) ulama� muda yang proaktif lagi profesional;
(iii) academia profesional berilmu Islam yang berwibawa lagi mantap; dan
(iv) ketumbukan pemuda yang tidak pernah gentar dengan jentera musuh.

Itulah benteng kekuatan Pemuda. Itulah ketahanan jamaah. Antum rijal dakwah yang bakal menempah sejarah apabila PRU ke-13 menjelang tiba! Dalam mencapai cita-cita murni Islam ini, Pemuda mesti berperanan sebagai pemangkin dan pelonjak aktiviti jamaah serta menjamin kejayaannya. Pemuda mesti berfungsi sebagai mata dan hati budi jamaah memperbetulkan kesilapan pimpinan dan gigih mempertahankan jamaah daripada sebarang anasir perosak yang menikam jamaah dari dalam. Oleh itu Pemuda mesti berani dan bersiap-siaga memikul tanggungjawab yang lebih besar apabila diminta oleh pimpinan.

Pemuda yang rata-ratanya bersifat profesional walau apapun latar belakang pendidikan, mestilah menjadi sumber kekuatan yang membantu kepimpinan ulamak yang telah kita bentuk begitu kukuh sejak sekian lama. Gandingan mantap inilah yang akan kita teruskan, paduan tenaga inilah yang akan kita terus gilap dan inilah saff sebenar kita berhadapan dengan pilihanraya ke-13 nanti!

Bukankah Pemuda yang pernah dipimpin oleh bekas-bekas Ketuanya terdahulu telah bekerja keras membina dan mengasaskan kepempinan sedia ada? Bukankah Pemuda juga yang bekerja keras berganding bahu dalam pilihanraya tahun 1999 sehingga 2008 yang lalu dan menghasilkan natijah kemenangan yang kita rasai sekarang? Ayuh...., pada hari ini saya mengajak seluruh Pemuda PAS dalam Dewan Muktamar ini memantapkan gandingan tenaga sedia ada ini ke arah kecemerlangan Islam! Kukuhkan penyatuan kita dan bersedia untuk hadapi hari-hari mendatang.......

Tidak dapat dinafikan peranan pemuda dalam gerakan Islam sedunia. Sebagai contoh, pada tahun-tahun 1970-an, Dr. Ali Shari'ati telah membincangkan peranan pemikir reformasi yang celik atau englightened souls yang berjaya untuk mencapai transformasi secara revolusi. Beliau sering mengingatkan bahawa matlamat golongan cerdik adalah berfungsi menanam kepercayaan dinamik dalam diri umat manusia sendiri bagi membentuk kesedaran diri dan memformulasikan idealisme mereka. Pasakkanlah kesepaduan ini agar dapat menghasilkan impak dan natijah yang luar biasa.

Sebenarnya kita sudah berjaya melahirkan pemimpin pemuda yang berpotensi. Tapi kita mesti bekerja lebih kuat untuk melahirkan pemuda yang luar biasa keupayaannya. Pemuda perlu melakukan pelaburan yang besar dalam membina pelapis kepimpinan dan menjalankan penyelidikan sains sosial dan polisi negara. Kita tidak dapat menafikan kehebatan pemuda dalam mengoperasikan politik, tetapi ia perlu diseimbangkan dengan tawaran polisi negara yang konstruktif.

Perkara ini penting supaya pemimpin yang lahir dari vakum pemuda mempunyai pemikiran Islam yang jelas, berkarisma tinggi, bijak dalam menyelesaikan konflik, kental iman dan taqwa, berani serta cintakan syahid. Di samping itu, pemuda juga mesti memikirkan jaringan pendidikan yang melengkapkan ketrampilan pemuda. Pendidikan pra-sekolah mesti dititikberatkan, pendidikan di peringkat rendah dan menengah mesti didekati, di peringkat pengajian tinggi mesti dijadikan medan latihan yang paling efektif.

Kesimpulannya, Dewan Pemuda mempunyai elemen-elemen yang mantap lagi tuntas untuk membina sebuah negara yang kita impikan. Kukuhkanlah integrasi kepakaran ilmu, perhebatkanlah gerakan kepemudaan dan yakinlah dengan Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya masa depan itu pasti dan tetap milik Islam.- azm

Firman Allah SWT dalam ayat 32, Surah At-Taubah, "Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendakinya melainkan Allah akan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak menyukainya"

Dengan lafaz "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", saya merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS yang ke-50, 1430 Tahun Hijriyy bersamaan 2009 Masihi.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!