Harapan UMNO BN mahu melihat PAS berpecah belah ekoran isu Kerajaan Perpaduan yang timbul kembali berkecai. Mesyuarat khas malam tadi jelas perselisihan kecil dalam parti berjaya diselesaikan dengan penuh ukhuwah dan bijaksana. Semua hadir dalam mesyuarat tersebut, saya percaya masing-masing mengambil kesempatan untuk memberi pandangan, kritikan, muhasabah dan penjelasan terhadap isu tersebut yang mendapat liputan dan perhatian semua media di negara ini.
Difahamkan mesyuarat khas yang mengundang minat para wartawan dihadiri oleh semua AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS negeri-negeri. Mereka diberi peluang untuk memberi pandangan secara terbuka tanpa berselindung dan berterus terang. Tidak ada yang berkecil hati apabila nama-nama mereka dikaitkan dalam isu ini. Pimpinan tertinggi parti juga tidak melepas peluang bercakap dengan terbuka dan berterus terang.
Suasana mesyuarat juga difahamkan penuh semangat persaudaraan dan mesra. Ketibaan Tuan Guru Mursyidul Am disambut mesra oleh Datuk Presiden, begitu juga yang lain-lain.
Mesyuarat khas tersebut mengambil keputusan untuk mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan dan menjelaskan isu ini. Seminar tersebut akan dihadiri oleh seluruh jawatankuasa PAS di semua peringkat. Para perwakilan diberi peluang untuk memberi pandangan kepada pucuk pimpinan parti, pimpinan pula akan memberi penjelasan terhadap isu ini. Menariknya seminar ini apabila Prof Dr. Abdul Aziz Bari yang menimbulkan isu ini dalam tulisannya turut dijemput bagi memberi pandangan ikhlasnya hala tuju dan perjuangan PAS.
Seminar ini dijangka berjaya merungkai seluruh permasalahan. Ahli-ahli PAS yang ditarbiah dengan manhaj tarbiah haraki akan memberi wala' dan thiqah kepada pucuk pimpinan.
Kita harap semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat menerima keputusan ini dengan baik, berlapang dada, terbuka fikiran dan menerima resolosi seminar khas tersebut.