Kemeriahan sangat dirasai apabila bersama orang kampung menyambut ibadah Qurban. Peluang terbaik digunakan untuk bertemu dengan rakan-rakan lama yang pulang bercuti di kampung Sg. Tiang Darat. Tahun lepas saya bersama isteri menyambut ediul adha di Tanah Suci Makkah Al Mukarramah bersama jutaan umat Islam dari serata dunia.
Solat sunat Eidul Adha di tunaikan di Masjid Istiqamah Kg. Sungai Tiang Darat. Masjid lama yang penuh dengan binaan tradisional, dibina hampir 100 tahun yang lalu, tarikh binaan secara tepatnya kurang pasti, tapi itulah Masjid peninggalan datuk nenek moyang tempat kami berjamaah setiap waktu.Selepas Solat Eidul Adha, secara tradisinya ahli-ahli jamaah masjid dijamu dengan hidangan ambeng yang dibawa oleh orang kampung, kami makan berama-ramai. Jarang sekali masjid-masjid di tempat lain pada hari raya eidul fitri dan adha disajikan dengan hidangan sedemikian yang dibawa oleh orang kampung. Inilah peluang terbaik bertemu dengan rakan-rakan sepersekolahan yang bertemu setahun sekali.
Selepas pulang dari masjid, bergegas pula untuk bergotong raya menjalankan penyembelihan qurban. 4 ekor lembu disembelih di perkarangan rumah, lebih kurang 1 jam setengah sahaja selesai daging qurban diagih-agihkan kepada orang kampung yang bergotong royong melapah lembu qurban.
Hari kedua, di markaz PAS Rungkup juga turut diadakan sembelihan qurban. 7 ekor lembu berjaya disembelih. Walapupun hujan renyai-renyai dan sekali sekala lebat sejak awal pagi, namun penyembelihan berjaya juga dilaksanakan. Daging-dagingnya diagih-agihkan kepada penduduk kampung sekitar DUN Rungkup yang fakir dan miskin.
Saya sempat diberi peluang menyampaikan ucapan dan tazkirah kepada masyarakat kampung yang hadir di markaz. Dalam tazkirah ringkas, saya mengingatkan supaya ibadah qurban perlu dihayati sebagaimana pengorbanan yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar a.s.w. Pengorbanan yang kita lakukan hanyalah kecil berbanding dengan pengorbanan ketiga-tiga individu tersebut, juga pengorbanan Rasulullah saw dan para sahabat r.anhum. Pertaruhan mereka adalah nyawa bukannya wang ringgit. Justeru itu, setiap muslim mesti menghayati qurban yang sebenar, iaitu mempertaruhkan jiwa raga, masa, tenaga dan wang ringgit bagi menegakkan agama Allah swt.