Dengan tema "Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan" Konvensyen Pakatan Rakyat berjaya berlangsung dengan penuh semangat dan meriah. Semua pimpinan PR di semua peringkat berkumpul sejak awal pagi tadi.
Sessi pertama Konvensyen Pakatan Rakyat telah selesai dengan tiga pimpinan utama setiap parti menyampaikan ucapan. Ucapan dimulakan oleh YB Datuk Seri Anwar ibrahim, diikuti YAB Lim Guan Eng dan YB Datuk Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Seramai lebih kurang 1500 peserta mewakili parti-parti masing berkumpul di Wisma MBSA, Shah Alam.
Konvensyen penuh bersejarah adalah julung-julung kali diadakan oleh pakatan pembangkang sejak merdeka. Walaupun sebelum ini cubaan demi cubaan dibuat oleh parti-parti politik pembangkang untuk bergabung setiap kali menjelang pilihanraya, namun persefahaman tersebut tidak kekal lama. Senario hari sudah berubah, rakyat sudah hilang kepercayaan kepada BN. Tidak ada pilihan terbaik kepada semua parti-parti politik pembangkang melainkan bergabung dalam satu ikatan yang kuat dan kukuh untuk menjadi pilihan rakyat terbaik dalam pilihanraya akan datang.
Konvensyen yang sedang bersidang hari ini merupakan jawaban kepada rakyat terhadap kesungguhan PR untuk mengambil alih kepimpinan negara. Ketiga-tiga pimpinan utama PR telah berucap dengan masing-masing meletakan harapan yang tinggi ke arah penyatuan yang berteraskan semangat rakyat dengan mengambil semua nilai kesejagatan rakyat di negara ini.
Konvensyen sedang berlangsung kini setelah berehat kira-kira 15 minit yang lalu, wakil-wakil utama parti sedang memberi ulasan mengenai dasar dan polisi Pakatan Rakyat yang menyentuh semua aspek bermula dengan gagasan demokrasi telus dan tulen, memacu ekonomi berprestasi tinggi, mapan dan adil, keadilan sosial dan pembangunan insan dan hubungan persekutuan negeri serta dasar luar negara. PAS diwakili oleh YB Salehuddin Ayob, PKR pula diwakili oleh Sivarasa Rasiah, manakala DAP diwakili oleh Tony Pua.
Selepas sessi pembentangan oleh wakil-wakil parti, konvensyen akan dibuka untuk perbahasan oleh wakil-wakil yang dipilih oleh parti masing-masing. Penghujung konvensyen petang nanti rumusan akan dibuat oleh YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YB Karpal Singh.
Semuga konvensyen akan merumuskan satu penegasaan yang kukuh di atas kesepakatan PR bagi mengambil alih teraju pemerintahan dari BN dalam pilihanraya akan datang.