Anak-anak fakir miskin dan anak-anak yatim dari berbilang bangsa dan agama diringankan beban oleh PAS Kawasan Bagan Datoh melalui sumbangan pakaian seragam dan beg sekolah, sumbangan basikal dan sumbangan kecemerlangan. Majlis penyampaian sumbangan diadakan di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rungkup Selekoh. Lebih 100 orang telah menerima sumbangan tersebut.
Menjelang tahun 2010 bebanan rakyat yang berpendapatan rendah semakin bertambah dengan kenaikan beberapa harga barang seperti gula dan tepung. Awal tahun, rakyat akan berdepan dengan sesi persekolahan yang baru, banyak yuran-yuran yang perlu dijelaskan di sekolah rendah dan menengah, ketika rakyat di kampung bersusah payah membanting tulang empat kerat bagi sebagai persiapan membayar yuran anak-anak mereka tersebut, tiba-tiba mereka dibebani dengan kenaikan harga barang yang menjadi keperluan asasi rakyat.
Apa yang dilaungkan oleh Najib rakyat didahulukan hanyalah slogan kosong semata-mata, setelah rakyat digula-gulakan dengan slogan tersebut sejak hari pertama beliau mengambil alih teraju negara, kini rakyat tertipu dengan slogan tersebut.
Hari ini saya telah menguruskan persekolahan empat orang anak di sekolah rendah dan menengah. Tiga orang anak di sekolah rendah sahaja saya telah membayar semua jenis yuran dan bayaran-bayaran lain yang diwajibkan oleh pihak sekolah berjumlah melebihi RM 500.00, Sekolah Agama Rakyat sahaja untuk tiga orang anak hampir RM 300.00, manakala bayaran untuk seorang anak di Sekolah Menengah Agama Rakyat hampir RM 800.00. Bayangkan orang kampung yang berpendapatan rendah atau sederhana, yuran dan segala jenis bayaran yang dikenakan sudahlah menjadi beban setiap tahun, harga barang pula naik dengan mengejut.
Di mana perginya slogan rakyat didahulukan?. Sepatutnya kerajaan memikirkan untuk memberi perkhidmatan pendidikan percuma kepada rakyat, yuran-yuran dan bayaran-bayaran yang diwajibkan oleh pihak sekolah cukup membebankan mereka, purata pendapatan rakyat rendah di negara ini masih diparas kemiskinan. Atau paling kurang kerajaan mesti memikirkan untuk memberi subsidi bagi meringankan beban rakyat miskin dari bebanan yuran sekolah yang mungkin tidak mampu untuk menjelaskannya.