CAH KETING ATAU DOA SELAMAT
Satu persepsi yang amat negatif apabila akhbar Mingguan Malaysia (17 Januari) memutar aspek yang dilihat tersirat mengenai doa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan ketika berkuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu. Paling kontra, apabila perkataan cah keting yang dijadikan tajuk muka depan kononnya diterjemahkan daripada doa dibacakan Tuan Guru Dato’ Menteri Besar. Tiba-tiba perkataan itu dijadikan asas untuk mempertimbangkan bahawa wujudnya perangai (fe’el) cah keting di dalam PAS, parti pemerintah di Kelantan.
Pihak pembaca sepatutnya beriskap analitikal sebelum mempercayai dakwaan akhbar itu, kerana pertama ia disiar bukan bersandarkan kenyataan lisan Tuan Guru Dato Nik abdul Aziz, sebaliknya ia adalah ulasan dan fahaman yang dicetuskan oleh pihak media itu sendiri. Keduanya pula, sandaran perkataan cah keting itu tidak lafaz dengan jelas di dalam doa, sebaliknya ia diulas atas anggapan doa dibaca ialah untuk menghindari (supaya tidak berlaku) perbuatan cantas-mencantas. Maka, doa adalah senjata mukmin untuk mendapat perlindungan Allah agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bukan bermakna berdoa itu atas perkara yang sudah berlaku. Logik ini tidak dipakai di dalam pemberitaan surat khabar tersebut.
Sedangkan natijah cah keting, jatuh-menjatuh adalah permainan yang biasa berlaku di dalam UMNO atau BN. Maka, media proBN telah bersikap memutar isu dalaman PAS dan mengalih fakta penyakit dalaman UMNO/BN. Sedangkan di dalam UMNO sendiri bukan sekadar cah keting, malah pernah berlaku political assassination yang melibatkan wakil rakyat, misalnya pernah berlaku di Pahang dan Negeri Sembilan wakil rakyat dibunuh demi survival tokoh politik tertentu. Paling malang lagi, era kepimpinan “Pak Lah’ selaku Perdana Menteri telah berlaku pelan peralihan kuasa yang disetuji selama dua tahun, tetapi telah dicantas dan didesak sehingga terpaksa mengundur awal.
Mungkin pengalaman UMNO/BN begitu, maka peranan media berkenaan telah cuba dipakai ke dalam PAS dan ruang yang ada adalah mengambil peluang atas doa Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan. Sesungguhnya ia sesuatu yang tidak adil dan bersifat mengkhianati dunia pemeritaan bila mana unsur fitnah dan provokasi mengatasi kebenaran telah dijadikan teknik pemberitaan untuk melariskan jualan akhbar berkenaan.
Semuga Tuhan Yang Esa menunjuki cahaya keimanan dan membuka pemikiran rakyat negara ini agar menolak hujah pemfitnah yang merosak keharmonian Negara.
WAN NIK YUSUF
SETPOL YAB MB KELANTAN
PROJEK BAZAR PMBK BUKAN RUGI TAPI UNTUNG
Terpampang di akhbar minggu lepas hujah maklumat yang mengatakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menanggung rugi di sebalik projek Bazar Tok Guru. Maklumat itu dikatakan berasaskan laporan dipetik daripada blog, Jumlah rugi dikatakan mencecah RM50 juta. Ia ditohmahkan sebagai kesilapan Kerajaan Negeri yang terpaksa membayar RM23 juta kepada pemaju bagi mendapatkan lot-lot kedai di tingkat bawah bazaar tersebut.
Kepada yang membaca berita itu, sudah pasti akan menerima berita kerugian ditanggung Kerajaan Negeri itu sebagai benar. Namun, kepada pembaca yang bersikap analitikal, belum tentu mengiyakan berita itu. Pembaca analitik akan memproses berita itu kepada beberapa segmen persoalan yang mampu menilai berita tersebut:
1.Pokok persoalan – betulkah rugi.
2.Pokok jawapan – sebab-sebab rugi.
3.Pokok analitik – menilai asas dakwaan rugi kerana membayar RM23 juta.
4.Mengkaji hubungan dakwaan rugi dengan realiti projek.
5.Poin realiti dakwaan rugi ialah setiap projek ada persetujuan dan perjanjian.
6.Persoalannya, adakah perjanjian yang berpihak kepada pemaju atau PMBK.
7.Siapa pula yang mendedahkan butiran fakta yang merumuskan kerugian PMBK, dan
8.apa hubungan pihak pendedah maklumat dengan PMBK atau individu-individu tertentu.
Simulasi daripada analitikal tersebut, poin realitinya ialah:
1.Tanah seluas enam ekar diserah kepada pemaju, jika dinilai mungkin berharga RM6 juta sebelum projek atau selepas projek bernilai sampai RM15 juta.
2.Bangunan yang dibina dan diserah kepada PMBK dua tingkat mungkin berharga RM40 juta.
3.PMBK membeli paras bawah bangunan bazaar berharga RM23 juta, demi membuktikan kesediaan kerajaan Negeri untuk memberi faedah kepada pekedai yang berpindah daripada Arkeb Uda dan Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru.
4.PMBK berhajat menjual setiap unit dengan harga pasaran (semuanya 382 unit), dan
5.PMBK dijangka akan mendapat balik kira-kira RM23 juta.
6.Maka, keseluruhannya PMBK membayar kepada pemaju RM23 juta campur harga tanah RM6 juta/RM15 juta, maka jumlah perbelanjaan kira-kira RM29 juta/RM38 juta.
7.Berpandukan transaksi dan perniagaan atas projek itu, PMBK dijangka mendapat pulangan melalui aktiviti jualan di paras bawah sebanyak RM23 juta, dicampur dengan nilai bangunan yang diserah oleh pemaju di paras satu dan paras dua berharga kira-kira RM40 juta, maka jumlah kemasukan kira-kira RM63 juta.
Oleh itu, pengiraan mudah itu membuktikan PMBK layak memperolehi keuntungan kira-kira RM25 juta atau RM34 juta (RM63 tolak RM29 juta/RM38 juta). Habis, di mana asasnya dakwaan PMBK rugi RM50 juta. Justeru itu, dakwaan PMBK rugi adalah fitnah semata-mata.
WAN NIK YUSUF
SETPOL YAB MB KELANTAN