KENYATAAN PENUH PRESIDEN PAS ISU PENGGGUNAAN KALIMAH ALLAH

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, January 5, 2010

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dan dibacakan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad :

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

YB Datuk Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

-4/1/2010

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!