Konsert Alternatif kepada peminat-peminat seni suara akan dianjurkan oleh Lajnah Kebudayaan PAS Perak pada 5hb. Mac 2010 bertempat di Dewan PBSM, Ipoh. Penganjuran konsert ini merupakan alternatif kepada masyarakat yang dahagakan hiburan yang sopan dan bertemakan kerohanian.
Ia sudah tentu berbeza dengan konsert-konsert yang dianjurkan pihak lain yang selalunya menampilkan artis-artis yang pakaiannya kurang sopan, telatah para peminat yang menjerit dan terkinjai-kinjai mengikut rentak lagu dan muzik yang dimainkan dan ia lebih kepada hiburan yang melalaikan dari mengingati Allah swt.
Konsert yang dianjurkan juga bertemakan Junjungan Kasih Rasulullah saw. sempena sambutan bulan Maulidur Rasul saw. Sudah tentu lagu-lagu yang dipilih nanti juga bertemakan kerasulan saw. Beberapa artis dan kumpulan nasyid akan menghiburkan orang ramai. Tiket yang dijual untuk tujuan derma juga tidak mahal, hanya RM 6 sahaja. Selain nasyid, orang ramai juga akan diperdengarkan deklamasi sajak oleh penyajak terkenal di Perak iaitu Pak Saleh Bakar.
Dengan peganjuran konsert ini pendekatan PAS kepada masyarakat semakin meluas, medan dakwah bukan sahaja melalui kuliah dan ceramah, hiburan yang berunsurkan Islam juga boleh mendekatkan masyarakat dengan Islam.