ADUN-ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak mempersoalkan mengapa mereka tidak dijemput menghadiri Majlis Hari Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah 19hb April semalam. Perkara ini dibangkitkan oleh Adun-adun Pakatan Rakyat setelah tidak adanya kad jemputan rasmi dihantar kepada mereka. Berbeza dengan tahun-tahun yang lepas, mereka dijemput menghadiri majlis tersebut dan kebanyakan adun-adun Pakatan Rakyat hadir ke Istana Iskandariah.
Bahkan pada majlis-majlis sempena Hari Keputeraan Tuanku Sultan Perak sebelum ini seperti majlis Bacaan Tahlil dan doa Selamat, sebahagian Adun Pakatan Rakyat yang muslim turut hadir meraikannya sekiranya mereka dijemput. Tetapi malangnya tahun ini tidak seorangpun Adun Pakatan Rakyat dijemput.
Persoalan ini terjawab apabila ada tohmahan mengatakan Adun Pakatan Rakyat tidak menghormati Tuanku kerana tidak hadir pada hari sambutan Keputeraan Tuanku Sultan Perak. Pada hal 28 Adun Pakatan Rakyat tidak menerima sebarang kad jemputan sebagaimana lazimnya.
Adun Pakatan Rakyat tidak menyalahkan pihak istana dalam isu ini, Bahagian Protokol & Adat Istiadat di pejabat Setiausaha Kerajaan Negerilah yang bertanggungjawab ke atas jemputan tetamu-tetamu kenamaan termasuk para Adun dan Ahli Parlimen, mereka tidak sepatutnya tidak dijemput untuk menghadiri sambutan ini. Sewajarnya mereka meminta maaf kepada para Adun Pakatan Rakyat dan Rakyat negeri Perak di atas kecuaian ini. Rakyat yang tidak memahami pasti akan mencemuh wakil rakyat mereka yang tidak menghormati majlis Tuanku ini. Pejabat SUK dan Kerajaan BN Perak hendaklah dipertanggungjawabkan dalam isu ini.
MENGAPA ADUN PAKATAN RAKYAT TIDAK DIJEMPUT MENGHADIRI MAJLIS KEPUTERAAN TUANKU SULTAN PERAK
Dicatat oleh
MisbahulMunir
Wednesday, April 21, 2010