Selepas solat, kami bertiga dijemput naik ke rumah. Tuan Guru menghidangkan makan tengahari dan kami makan semeja.
Selepas makan, kami semua duduk di settee. Masing-masing kami bertukar-tukar membuka cerita. Sambil itu, minum teh O panas.
Sedang kami berempat bercerita, tiba pula Hj Razak Abas. Dia hadir untuk menyampaikan bekalan ubat-ubatan untuk Tuan Guru sepanjang di tanah suci.
Hebatnya Tuan Guru….dalam kami asyik bercerita, Tuan Guru sempat melontarkan pandangan tentang pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 17-25 April nanti.
Kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz: “Di Hulu Selangor ni, peluang terbaik untuk kita terangkan Islam kepada pengundi dan masyarakat. Ia sesuai kerana pegundinya bercampur antara Melayu, Cina dan India. Campuran pengundinya lebih kurang sama dengan keadaan penduduk di Malaysia. Maka, ia paling cocok untuk kita terangkan Islam. Sifat rakyatnya sebenarnya paling cocok jika kita terangkan Islam kepada mereka.
Sambung Tuan Guru lagi: “Kita kena yakin dan percaya, semua kaum di negara ini - orang Melayu, Cina dan India boleh ikut Islam. Kalau kita nak selesaikan masalah perkauman, maka bukan ajaran kebangsaan yang boleh menyelesaikan. Hanya ajaran Islam yang boleh menyelesaikan perkauman. Maka tak ada alasan untuk kita tolak Islam. Sesuai dengan bacaan doa iftitah, yang kita mengaku di depan Tuhan, “sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku dan hidupku serta matiku adalah kerana Rabbil-‘alami.”
Selepas itu, saya ditugaskan untuk menulis pandangan itu untuk tatapan pengundi-pengundi Hulu Selangor. Harapannya, para pengundi di Hulu Selangor tak kira Melayu ko, Cina ko atau India ko; semua boleh dengar seruan Islam. Maka, bagi saya pandangan Tuan Guru itu patutlah dijadikan poin untuk berceramah, terutama kalangan ustaz dan pimpinan yang selalu terlibat dengan kempen melalui ceramah atau rumah ke rumah.
Semuga Tuhan Yang Esa sedia membekalkan kecekalan hati dan daya juang kepada para penceramah dan petugas kempen dalam pilihan raya Hulu Selangor. Nanti Pakatan Rakyat terus kekal di hati pengundi Hulu Selangor.
Catatan Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik MB Kelantan.