PRK Sibu – titik perubahan pilihan raya negeri Sarawak

Dicatat oleh MisbahulMunir Friday, May 14, 2010


Benar atau tidak politik Sarawak sedang dalam perubahan, pastinya akan terjawab selepas keputusan pilihan raya kecil Sibu diketahui. Atas alasan, kemungkinan sokongan pengundi di Sibu bakal memberi nilai yang tepat kepada senario politik Sarawak. Ini kerana pilihan raya Sibu merupakan ujian kepada Barisan Nasional (BN) yang berdepan dengan Pakatan Rakyat yang baru mendapat anggota baru, Sarawak National Party (SNAP) yang sebelum ini pernah menganggotai BN. Sementelah pula, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang lepas telah menyaksikan sokongan meningkat pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat. Apakah ia bakal mempamerkan warna sebenar politik negeri Sarawak di penghujung kepimpinan ketua menterinya yang paling lama memimpin negeri.

Sekadar ingatan, nilai sokongan itu sebenarnya boleh dilihat sejak pilihan raya negeri 1996. Ketika itu, BN dikenali BN4 yang disertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Sarawak United People’s Party (SUPP), SNAP, dan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS). Sementara parti pembangkang terdiri daripada Democratic Action Party (DAP) dan pihak Bebas sahaja. Keputusannya, BN4 telah memenangi 57 kerusi, sementara pembangkang memenangi lima kerusi (DAP 3 dan Bebas 2). Ia turut membuktikan penerimaan kepada pembangkang, khususnya pengundi Cina yang memberi kemenangan kepada DAP di kawasan bandar (Meradong, Bukit Assek, dan Kidurong).

Kemudian pilihan raya negeri 2001 BN meraih kemenangan 61 daripada 62 kerusi yang dipertandingkan. Parti komponen BN masih kekal empat parti, iaitu PBB, SUPP, PBDS dan SNAP. Sementara parti pembangkang pula terdiri daripada tiga parti, iaitu DAP, Parti Keadilan Nasional (KeADILan), dan buat kali pertama penyertaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Namun, PAS hanya bertanding di tiga kerusi sahaja, iaitu Samariang, Sadong Jaya dan Beting Maro. Ketika itu pembangkang hanya memenangi 2 kerusi, iaitu masing-masing satu DAP dan satu bebas. PAS tidak memenangi apa-apa kerusi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2006 pula berlaku sedikit anjakan senario politik apabila pihak pembangkang berjaya membentuk kerjasama melalui Barisan Bersatu Sarawak. Ia dianggotai tiga parti utama, iaitu SNAP, KeADILan dan DAP. Sementara PAS hanya menjalin kerjasama dengan KeADILan dan bertanding di satu kerusi sahaja, iaitu Beting Maro dalam parlimen Batang Lupar. Kesan kerjasama itu, pembangkang berjaya menambah kemenangan dari dua kerusi pada 2001 kepada sembilan kerusi, iaitu masing-masingnya satu SNAP, satu KeADILan, satu bebas dan enam DAP. Namun PAS masih gagal memenangi kerusi tunggal yang ditandingi. Jelas sekali, kesan kerjasama parti-parti pembangkang telah membawa pertambahan sokongan pengundi terutama di kawasan pengundi kaum Cina. Ini bermakna politik pengundi Cina agak utuh bersama pembangkang, khususnya bagi DAP yang saling bersaing dengn SUPP di atas sentimen kaum Cina.

Pada 2006, SUPP sebagai parti teras Cina dalam komponen BN bertanding 19 kerusi (16 kerusi daripadanya adalah dominan pengundi Cina) didapati tujuh kerusi di kawasan bandar. Kekalahan itu adalah kepada DAP (lima kerusi – Pending, Batu Lintang, Meradong, Bukit Assek dan Kindurong), KeADILan (satu kerusi - Padungan) dan SNAP (satu kerusi - Engkili). Apa yang menarik, kekalahan SUPP itu dianggap ‘teruk’ berikutan beberapa tokoh penting parti itu kecundang kepada DAP. Antaranya menteri muda, Datuk Sim Khend Hui dan Datuk Alfred Yap Chin Loi, dan Datuk Bandar Kuching, Chan Seng Khai. Termasuk tokoh yang kalah juga adalah penjawat utama jawatan parti, iaitu Setiausaha Agung, Naib Bendahari, Setiausaha Penerangan dan ahli jawatankuasa pusat SUPP.

Menurut Ghazali dan Lee (2009) yang mengkaji politik Cina Sarawak dalam pilihan raya negeri 2006, punca kekalahan SUPP itu adalah antaranya disebabkan isu dalaman parti SUPP seperti faktor calon, perpecahan dalaman dan faktor ekonomi (kenaikan harga minyak petrol, harga pajakan tanah dan perasaan dipinggirkan dari arus pembangunan nasional). Meskipun begitu, kajian mereka itu tidak melihat aspek perpaduan parti pembangkang dan peranan tokoh pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang turut memainkan peranan meyakinkan pengundi Cina di Sarawak.

Natijahnya, faktor pengundi Cina dilihat berombak antara pilihan raya negeri 1999, 2001 dan 2006. Misalnya dalam pilihan raya negeri 2001 sokongan pengundi Cina kepada SUPP memuncak kepada 66.2 peratus, tetapi merundum kepada 49.2 peratus tahun 2006. Kesannya pada pilihan raya umum 2008, prestasi BN khususnya SUPP kembali pulih apabila menerima lonjakan undi dan berjaya mengekalkan kawasan tradisi di semua parlimen kecuali Bandar Kuching kekal dimenangi DAP. Berdasarkan realiti ini, apakah pilihan raya kecil Sibu kali ini menjadi titik perubahan sokongan pengundi Cina menjelang pilihan raya negeri Sarawak nanti. Rekod pilihan raya yang lepas cukup membuktikan dominasi BN adalah di semua parlimen di Sarawak, kecuali pilihan raya 1995 parlimen Bintulu dimenangi DAP dan di parlimen Sibu dimenangi DAP pada pilihan raya 2004 dan 2008. Sedangkan dalam tempoh pilihan raya umum 2008, anjakan sokongan pengundi Cina dari BN kepada parti-parti pembangkang berlaku agak ketara di Semenanjung. Ia tidak berlaku di Sarawak.

Walau bagaimanapun, mood pengundian ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor meskipun dimenangi BN, tetapi pola pengundian kalangan pengundi Cina amat tegas menolak BN. Ia terbukti apabila di Kuala Kubu Bharu, salah satu dewan undangan negeri yang dominan pengundi Cina didapati Pakatan Rakyat mengatasi BN, sedangkan pada pilihan raya umum 2008 ia dimenangi BN. Mungkinkah mood itu menular ke Sibu?

Menjawab persoalan di atas, sebenarnya Sibu dengan pengundinya adalah majoriti kaum Cina Foochow ada keunikannya. Pihak mana yang akan menang sebenarnya masih terikat kepada performance parti-parti dan calon bertanding. Atas kefahamanan inilah, pihak DAP telah meletakkan pendekatan kempen yang seimbang bagi mendekati pengundi Cina, Melanau, Melayu, Iban dan Bidayuh. Sedangkan pihak SUPP pula didapati menjayakan kempen mengutamakan citarasa pengundi Cina sehingga merancang perarakan Tua Pek Kong akan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib di penghujung kempen. Namun, gelagat pengundi Cina dijangka lebih bijak berasaskan respons pasukan kempen Pakatan Rakyat yang mengunjungi mereka di gudang, pasar dan perumahan. Segala-galanya akan terjawab pada 16 Mei nanti. Sejauh mana tegarnya gelagat pengundi Cina Hulu Selangor menolak BN, natijah persekitaran sosial dan politik serta ekonomi dan perniagaan di Sibu terlalu bebeza dengan di Hulu Selangor. Jika latar politik Semenanjung menjadi senario untuk meramalkan keputusannya, maka pilihan raya kecil Sibu bakal menyaksikan titik perubahan pola pengundinya menafikan dominasi BN. Selayaknya Pakatan Rakyat mampu menang selesa.

Wan Nik yusuf
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan/
Timbalan Pengarah I JPN PAS Kelantan

Loading...

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!