Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap desas desus kononnya beberapa ADUN BN akan melompat dari parti mereka, saya bimbang ini hanya gimik untuk meletakkan harga yang tinggi ke atas mereka. UMNO BN sudah tentu tidak akan berdiam diri untuk mengikat adun-adun BN, jutaan ringgit dan berbagai tawaran pasti akan dihamburkan kepada mereka.
Alasan untuk meninggalkan UMNO BN pula sekadar tidak puas hati kerana Zambry terlalu melebihkan dan melayani 3 adun yang melompat dulu berbanding mereka. Kalau inilah alasan, lompat yang seumpama ini lompat yang tidak bermoral dan berprinsip. Lainlah kalau alasan itu atas dasar prinsip, amalan rasuah UMNO BN, penyelewengan, salah guna kuasa, penghalalan judi bola dan sebagainya. Kalau inilah alasanya, perbuatan mereka terpuji dan ia bukan melompat tetapi berhijrah dari perkara yang tidak baik kepada yang lebih baik. Dan amalan ini wajar dicontohi oleh orang-orang UMNO BN yang lain.
Saya setuju dengan pandangan YB Hj Nizar supaya mana-mana Adun UMNO BN yang sememangnya tidak puas hati dengan kepimpinan Zambry sebagai Menteri Besar sewajarnya mengusulkan undi tidak percaya kepada Zambry di Dewan Undangan Negeri Perak, saya percaya semua ADUN PR pasti akan menyokong dan memberi undi terhadap usul tersebut. Sekiranya usul tersebut diterima dengan kelebihan undi, Zambry mesti letak jawatan bersama seluruh EXCOnya dan DUN Perak hendaklah dibubarkan. Inilah kaedah yang lebih adil dengan memberi hak kepada rakyat memilih semula parti yang akan memerintah Perak dalam pilihanraya DUN. Semua calon masih boleh bertanding. Dan kaedah inilah yang diperjuangkan oleh PR apabila berlaku krisis politik yang berlarutan sehingga setahun.
Atau dengan meletakkan jawatan sebagai ADUN di DUN yang diwakili, risikonya adun tersebut tidak lagi boleh bertanding dalam pilihanraya.
Pakatan Rakyat (PR) dan sebahagian besar rakyat Perak mengalu-alukan tindakan mereka meninggalkan Umno/BN dan menyertai PR. Setahun lebih mereka memerintah Perak, banyak kepincangan berlaku dalam amalan pentadbiran, salah guna kuasa, pembaziran, pegawai-pegawai kerajaan ditukar sesuka hati, menyalah gunakan duit rakyat dan kerajaan dengan memberi peruntukan kepada parti seperti MCA dan sebagainya.
Jadi amat wajar adun-adun BN yang tidak puas hati meninggalkan UMNO BN dan menyertai PR. Langkah terbaik hanya melalui usul undi tidak percaya bagi membolehkan pembubaran DUN. Saya sangat hormat dan tabik kepada mana-mana ADUN BN yang mengusulkan undi tidak percaya kepada Zambry.
Sebelum ini, ada beberapa adun BN dikatakan menemui pimpinan PR Perak bagi menyatakan ketidak puashatian mereka terhadap Zambry dan berhasrat untuk meninggalkan parti itu.
PR Perak bagaimanapun menegaskan, mahu Adun-Adun yang tidak berpuas hati itu menggunakan saluran yang betul dan mengikut undang-undang, tidak boleh dengan cara lompat parti, usulkan undi tidak percaya, kita mahu hak rakyat dikembalikan semua dengan membubarkan dun.
Sekiranya betul dakwaan adun BN menyertai PR, itu kerana kesedaran mereka yang tinggi terhadap kepincangan, penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, ketidakadilan, isu APCO, judi dan sebagainya. Berbeza dengan Adun PR yang melompat meninggalkan parti. Mereka dipujuk dan disogok dengan berbagai tawaran, bahkan ada konspirasi melalui tuduhan rasuah yang membabitkan mereka melalui SPRM. Ternyata usaha jahat mereka berjaya.
Belumpun lagi Adun-adun BN yang didakwa mahu meninggalkan parti, tiba-tiba Adun DAP dari Malim Nawar pula meninggalkan DAP dan menjadi bebas sekarang, serta mengisytiharkan sokongan kepada BN. Adun tersebut adalah antara beberapa Adun DAP yang mendedahkan ada menerima tawaran puluhan juta supaya menyertai BN, Adun tersebut juga yang lantang menghentam mereka yang melompat parti dan menuntut supaya meletakkan jawatan, membubarkan dun serta mengikuti siri-siri jelajah Perak oleh PR.
Untuk memberi keadilan kepada rakyat di Malim Nawar yang mengundinya, beliau sangat wajar meletakan jawatan dan memberi mandat kepada rakyat memilih semula wakil rakyat mereka. Saya percaya, rakyat di Malim Nawar mengundi bukan atas sifatnya sebagai calon tetapi parti, dia bukan tokoh yang dikenali di Malim Nawar sebelum ini, rakyat Malim Nawar lebih mengenali DAP dari calonnya. Kita percaya siapa pun calon yang bertanding di Malim Nawar ketika itu, pasti akan diundi asalkan bukan BN yang bertanding.
Apapun kemelut politik di Perak semakin bercelaru, macam-macam boleh terjadi. Ini semua akibat hak rakyat dinafikan, undang-undang dilanggar, kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat dan sebagainya.
LEBIH BAIK USULKAN UNDI TIDAK PERCAYA DI DUN PERAK
Dicatat oleh
MisbahulMunir
Tuesday, June 15, 2010