HASAN ALI AKUI TEMUI MUFTI PERAK

Dicatat oleh MisbahulMunir Saturday, July 24, 2010


Tandatanya siapa pemimpin PAS yang menemui Mufti Perak terjawab apabila YB Dr. Hasan Ali mengakui beiaulah yang bertemu dengan Mufti Perak. Beliau menyatakan melalui kenyataan akhbarnya setelah desas desus kuat mengaitkan beliau yang menemui Mufti Perak.

Berikut kenyataan akhbar YB Dr. Hasan Ali.


KENYATAAN AKHBAR YB DATO DR HASAN BIN MOHAMED ALI
AHLI EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menyekat malah sentiasa menggalakkan ahli-ahli Exconya mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka. Pertemuan seperti ini diatur bagi meningkatkan keupayaan, kemampuan, prestasi serta profesionalisme ahli-ahli Exco berkenaan. Dengan cara ini sistem pengurusan dan pembangunan negeri terus dapat dipertingkatkan.

Pertemuan saya dengan Dato’ Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada kira-kira dua bulan yang lepas merupakan salah satu daripada “engagement” sedemikian yang dilakukan atas sifat saya sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab secara langsung antara lainnya portfolio Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu.

Pertemuan tersebut diatur bagi membolehkan saya meninjau ilmu dan pengalaman beliau secara amali mengurus Hal Ehwal Islam dan Adat-adat Melayu. Saya dimaklumkan beliau telah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Mufti dan sebelum itu menjawat jawatan sebagai Kadhi Besar Negeri Perak Darul Ridzuan. Ilmu dan pengalaman yang begitu luas yang beliau miliki sudah tentu dapat dimanfaatkan untuk kebaikan bersama dan umat Islam seluruhnya.

Saya ingin menegaskan bahawa:


1. Pertemuan tersebut adalah pertemuan di antara saya selaku ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor dengan beliau selaku Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan;

2. Pertemuan diatur bagi meraih kebaikan bersama demi untuk kemajuan Islam dan kesejahteraan umat;

3. Pertemuan tersebut bukan pertemuan sulit, malah diadakan secara terbuka ditempat yang terbuka.

4. Saya tidak pernah diberi mandat oleh parti saya untuk membincangkan hal-hal politik perpaduan, oleh itu tidak ada agenda khusus membincangkan soal itu;

5. Pertemuan tersebut tidak menatijahkan apa-apa tindakan susulan di kedua-dua pihak bahkan tidak ada sebarang perhubungan antara kami berdua selepas itu;

6. Pertemuan itu diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Saya telah diminta mewakili kerajaan negeri dalam mesyuarat tersebut. Saya menjadikan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaan saya menghadiri mesyuarat tersebut.

Kepada sesiapa yang mempunyai prasangka dan agenda jahat terhadap saya dalam hal ini, saya menyeru supaya mereka dapat merenung semula dan bermuhasabah diri agar tidak menghabiskan masa dengan kerja-kerja yang tidak memberi manfaat kepada kemajuan agama, parti yang sama-sama kita cintai dan umat seluruhnya. Marilah kita bersama-sama menumpukan tenaga dan pemikiran bagi menghadapi cabaran Pilihanraya Umum Ke 13 yang dijangka akan berlaku tidak berapa lama lagi.

Sekian terima kasih.

24 Julai 2010

YB Dato’ Dr Hasan Bin Mohamed Ali
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam,
Adat-adat Malayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam
Tingkat 2, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Loading...

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!