UMNO-Pas dalam konteks perlembagaan

Dicatat oleh MisbahulMunir Monday, August 2, 2010


Saya tidak kisah sama ada Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria atau Datuk Dr Hassan Ali yang berbohong dalam soal inisiatif untuk membawa UMNO dan Pas duduk semeja atas nama Melayu dan Islam. Apa yang saya ingin sebut di sini ialah kesan isu tersebut terhadap perjalanan perlembagaan; khususnya cita-cita membentuk sebuah sistem dua parti yang kukuh dan dominan di negara ini.

Saya telah beberapa kali menekankan dalam ruangan ini betapa kita memerlukan sebuah sistem di mana dua parti - atau lebih tegas lagi dua gabungan parti-parti politik – dominan; sesuatu yang memberi peluang kepada rakyat untuk merubah kerajaan dengan mudah. Sistem dua parti ini penting kerana ketiadaan struktur inilah yang menyebabkan perlembagaan kita wujud hanya pada nama sahaja. Seperti yang kita maklum perlembagaan hanyalah sekadar sebuah dokumen yang tidak bermakna jika kita gagal melaksanakannya. Dan pelaksanaan ini tidak akan berlaku di dalam sebuah sistem di mana kerajaan yang memerintah tidak rasa takut dihumban keluar oleh rakyat. Rasa tidak takut ini wujud apabila kerajaan berkenaan berasa ia boleh melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa.

Minggu lalu saya telah menyentuh beberapa perkara yang menyebabkan sistem kita dimanipulasi begitu rupa; sesuatu yang menyebabkan rakyat biasa melihat institusi perlembagaan negara termasuk istana dan mahkamah tidak berupaya melaksanakan peranan dan fungsi mereka. Dan fenomena yang menyedihkan itu akan terus kekal sekiranya Barisan Nasional terus berkuasa selepas PRU ke 13 nanti. Ini kerana rakyat akan letih dan putus harap.

Masa depan Melayu dan Islam di negara ini tidak terletak pada UMNO. Ini kerana jika kita imbas kembali apa yang berlaku sejak 1957 UMNO sebenarnya telah melakukan banyak perkara yang kesannya melemahkan institusi Melayu dan Islam. Terbaru kita telah lihat bagaimana UMNO memperlekeh bahasa Melayu melalui PPSMI di bawah pentadbiran Mahathir. Malangnya dasar yang bertentangan dengan perlembagaan – khususnya Perkara 152 – dijunjung oleh mahkamah melalui gimnastik perundangan yang aneh. Dari segi ekonomi telah didedahkan betapa peruntukan saham untuk orang Melayu lesap entah ke mana. Dalam pada itu meskipun ada Raja yang sudah lupa apa yang UMNO buat parti itu sebenarnya masih berada di hadapan dalam menghina dan melumpuhkan institusi berkenaan. Jika tidak percaya semak kembali apa yang UMNO buat pada 1983, 1993 dan 1994 terhadap peruntukan perlembagaan mengenai Raja-Raja.

Kepentingan Melayu dan Islam sebenarnya telah pun dikanunkan dengan baik oleh perlembagaan. Dan saya berpendapat ia tidak semestinya dilakukan oleh kerajaan Melayu. Apa yang penting ialah tuntutan dan semangat peruntukan berkenaan dilaksanakan. Ini yang dibuat oleh pentadbiran Lim Guan Eng di Pulau Pinang. Orang UMNO berperi-peri menafikan. Tetapi mengapa mereka tidak lakukan apa yang DAP buat sekarang sewaktu UMNO menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri itu dari 1974-2008 yang lalu?

UMNO memujuk Pas kerana ia tahu jika parti ini setuju – atau jadi bingung – Pakatan Rakyat akan goncang dan menghadapi jalan sukar untuk ke Putrajaya. Ini sudah cukup untuk memberi talian hayat kepada UMNO. Selain itu Pas akan kehilangan banyak kerusi kerana kemenangan yang mereka capai pada PRU yang lalu adalah hasil dari sokongan bukan Melayu. Kesan negatif ini pastinya menguntungkan UMNO.

Sehingga ini hanya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan beberapa orang seperti Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Khalid Samad dan Datuk Husam Musa yang tegas menolak pujuk rayu UMNO. Kelihatannya Datuk Seri Abdul Hadi Awang – meskipun telah menegaskan komitmen dengan Pakatan – masih goyah. Begitu juga dengan mereka yang dikaitkan dengan gagasan kerajaan perpaduan tahun lalu. Media milik UMNO cukup suka mengitar kenyataan longgar yang Abdul Hadi dan kumpulannya buat.

Selain sistem dua parti Pakatan ada peranan yang penting dalam memperkasa politik baru. UMNO dan Barisan Nasional lebih selesa dengan politik lama. Lihat sajalah bagaimana UMNO menolak pelawaan melantik wakilnya sebagai Pengerusi PAC dalam DUN Selangor bulan lalu. Cukup pelik dan aneh politik Barisan ini.

Pas akan dikenang sekiranya ia terus komited dengan Pakatan kerana ia akan dapat memperlihatkan relevannya Islam dalam konteks masyarakat dan politik berbilang kaum di Malaysia. Sebaliknya Pas akan terus jadi parti Melayu yang sempit dan kampungan sekiranya ia termakan pujukan UMNO yang penuh dengan muslihat itu. Dan seperti mana yang disebut tadi Pas akan tersungkur dalam pilihan raya kerana rakyat berasa ragu siapa dan apakah sebenarnya wawasan politiknya.

Profesor Dr Abdul Aziz Bari


Loading...

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!