WAWANCARA BERSAMA EN ABDULLAH ANTONG

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, August 9, 2012

Baru-baru ini saya ada peluang bersama wartawan Harakah Perak mewawancara En. Abdullah Antong, bekas Setiausaha DUN Perak di Pejabat PAS Negeri Perak. Ikutilah wawancara yang sangat menarik ini, beliau menjelaskan banyak perkara yang rakyat Perak khususnya perlu tahu.


 
Harakah :
Baru-baru ini  En Abdullah telah mengiystiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat melalui satu program Hi-Tea. Apakah faktor yang mendorong tindakan tersebut?

Abdullah:
Saya berkhidmat selama 29 tahun dengan kerajaan sebelum bersara November 2010, suasana politik yang tidak selesa pada saya, menyebabkan saya tidak berminat untuk menyambung khidmat, di usia yang sudah mencecah 56 tahun saya tergerak hati untuk mengiyitiharkan diri sebagai penyokong PAS.

Faktor utama ialah Allah telah memberi saya hidayah untuk memilih PAS dan tindakan ini bukanlah disebabkan atas desakan mana-mana pihak dan individu, walaupun saya kenal rapat dengan beberapa pimpinan PAS.

Faktor lain ialah berdasarkan pemerhatian dan penilaian selama berkhidmat selama 11 bulan dengan PR, saya ikhlas menyatakan banyak perbezaan antara PR dengan BN terutama ketelusan, keupayaan dan juga beberapa karakter kepimpinan yang tidak dapat ditandingi oleh pimpinan UMNO BN.
Walau bagaimanapun kebanyakan yang menyertai PAS ialah kerana mendapat hidayah dan kesedaran daripada Allah.

Saya menyokong PAS bukan ada apa-apa kepentingan, juga bukan mendapat imbuhan dan balasan. Saya tidak berniat langsung untuk menjadi pemimpin PAS atau menjadi calon. Saya hanya mahu bekerjasama dengan PAS dan PR untuk tumbangkan UMNO BN dalam PRU akan datang.

Harakah :
En Abdullah pernah dilabel sebagai “conspirator” dalam insiden rampasan kuasa yang berlaku di Perak oleh blogger-blogger dan masyarakat khususnya penyokong Pakatan Rakayat yang mungkin tidak tahu situasi sebenar. Apakah perasaan En Abdullah apabila ditohmah begitu rupa, dan di waktu itu apakah kedudukan yang sebenar ?

Abdullah:
Secara peribadi saya berasa sedih kerana saya tidak boleh menjelaskan perkara sebenar ketika itu disebabkan tiada platform dan ruang untung menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.
Sehinggakan jiran-jiran saya berfikiran serong kepada saya yang dianggap telah bersekongkol dengan BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya ingin jelaskan dan tegaskan bahawa saya tidak terlibat langsung dengan apa yang dipanggil konspirasi apatah lagi sebagai konspiratornya. Saya hanya pegawai kerajaan  yang berjawatan Setiausaha Dewan Undangan Negeri, bertanggungjawab ke atas perjalanan sidang dewan dan juga yang berkaitan dengannya dan juga bertanggungjawab ke atas perjalanan mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang juga diberi tugas mencatat dan menyediakan kertas dan minit mesyuarat. Dalam DUN Bos saya ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, dalam mesyuarat EXCO bos saya ialah Menteri Besar dan dalam perkhidmatan kerajaan bos saya pula ialah Setiausaha Kerajaan negeri. Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

Di awal kemelut politik berlaku, tidak ada yang mengenali saya ketika itu. Nama saya hanya muncul apabila saya menyanggahi arahan Speaker DUN Perak.

Saya bertegas bahawa tindakan-tindakan adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan,  saya tidak upaya elak berbuat demikian kerana terpaksa menerima arahan pihak atasan.

Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontrovesi iaitu sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker yang sah ketika itu, YB V Sivakumar sebagai tidak sah.
Atas sebab kenyataan saya itu, tercatat memori dan sejarah dunia apabila sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan Rakyat dihalang memasuki dewan.
Jadi kenyataan itu tidak ada kaitan dengan konspirasi rampasan kuasa oleh UMNO BN.

Saya mahu  tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat termasuklah ‘membeli’ Adun dan sebagainya.
Dalam kesempatan ini saya ingin bersihkan nama saya yang dianggap menjadi “conspirator” dalam insiden rampasan kuasa oleh BN itu.

Harakah :
Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang apabila Adunnya melompat parti tetapi Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dan PR serta disokong oleh beberapa pakar perundangan bertegas bahawa YB Nizar tetap sebagai Menteri Besar yang sah. Jadi apa pandangan saudara ketika itu?

Abdullah:
Harus diingat, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku jenayah @ hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan, dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan majoritinya menyokong dan mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun membubarkan DUN.

Dato’ Seri Nizar tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya.
Saya lebih chenderong untuk setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Harakah :
Apa pandangan En Abdullah ketika insiden V Sivakumar diusung keluar yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai Speaker?

Abdullah:
Apabila kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan, BN ketika itu tidak nampak ada satu lagi institusi ataupun jawatan penting iaitu Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada guna mendapat kuasa Menteri Besar jika belum mendapat kuasa Speaker kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Undangan Negeri
Jadi jika inginkan kuasa sebenar kerajaan  dalam sidang DUN, BN ketika itu perlukan kuasa sepenuhnya di dewan dan ini  yang mereka terlepas pandang.

Semasa sidang yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN, ketika itu V Sivakumar masih duduk di kerusinya.
Tiba-tiba Timbalan Speaker, YB Hee Yit Fong adakan satu sidang dewan di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik, saya baca buku perintah tetap tentang tindakan Hee itu namun saya tidak menjumpai  satu fasal pun yang membenar keadaan itu berlaku, ini bermakna Peraturan Tetap Dewan telah dilanggar.

Saya tidak pasti siapa yang mengusung V Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ianya bukan staff dewan kerana saya mengenali semua staff-staff.
Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara.

Harakah :
En Abdullah ada pengalaman yang lama dengan BN berbanding dengan PR yang cuma 11 bulan, jadi apakah perbezaan yang ketara antara kerajaan PR dengan BN.

Abdullah Antong:
Semasa mula-mula Pakatan Rakyat memulakan tugas, kami tertanya-tanya bagaimana corak pemerintahan dan adakah Pakatan Rakyat mampu memerintah. Saya sendiri tidak berapa yakin dengan PR ketika itu.
Sebagai pegawai kerajaan, saya menjalankan tugas seperti biasa. Kami pegawai kerajaan hanya sebagai pelaksana terhadap dasar dan polisi kerajaan PR, apa yang mereka putuskan, kami wajib melaksanakannya.

Perbezaan yang sangat ketara ialah Adun-Adun Pakatan Rakyat terutama EXCO sangat mesra dan mudah mendampingi pegawai dan kakitangan kerajaan. Tidak birokrasi.  Tidak pernah sebelum ini seorang  Menteri Besar boleh turun makan tengah hari di kantin bersama pegawai-pegawainya melainkan Dato’ Dato’ Seri Nizar.

Semua Exco Pakatan Rakyat termasuklah dari kalangan DAP cukup merendah diri dan tidak sombong dan egois.

Pemerintahan Pakatan Rakyat sangat telus sehinggakan Nizar sering  menasihatkan kepada Exco-Exconya supaya tidak mengambil kepentingan parti melainkan kepentingan rakyat.

Dari segi ketekunan, saya sangat terkejut mesyuarat dijalankan begitu panjang sehingga ada kalanya melewati lepas Asar. MB dan para EXCOnya begitu teliti terhadap semua kertas mesyuarat sama ada mahu melulus atau menolak. Semua diberi peluang untuk memberi pandangan. Tidak ada di kalangan EXCO yang meminta kertas itu dan kertas ini didahulukan dalam agenda mesyuarat.

Dalam kos jamuan keraian anjuran kerajaan negeri juga dikurangkan termasuklah jamuan sewaktu mesyuarat EXCO. Setiap kali mesyuarat EXCO kos jamuan hanya RM 45 sehari sekepala berbanding dulu hanya untuk minum pagi sahaja RM 45 sekepala.

Waktu solat, surau di pejabat SUK sangat meriah,  Dato’ Seri Nizar sendiri akan mengimamkan solat berjemaah seterusnya menyampaikan tazkirah. Ini sangat berbeza dengan pemerintahan BN.
Ketika bulan Ramadhan dihiasi dengan pelbagai program seperti tazkirah setiap pagi,   

Semua EXCO, ADUN yang muslim serta beberapa pegawai kerajaan termasuk SUK, pegawai kewangan dan Mufti diberi peluang menyampaikan tazkirah Ramadhan. Ia sangat mengesankan sekali. Ada EXCO DAP beritahu saya juga turut merasa seronok mendengar tazkirah pagi.
Pemberian bubur lambuk yang dibuat sendiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan pelbagai lagi program untuk mengimarahkan bulan Ramadhan.

Ini baru perkara-perkara kecil, belum sentuh bab lain seperti pemberian air percuma, pengecualian kompaun, pemberian tanah hak milik kekal kepada kampung tersusun dan Kampung Baru, dermasiswa kepada pelajar-pelajar yang ke IPT, dan sebagainya. 

Tetapi yang dibesar-besarkan oleh UMNO untuk tujuan mengelirukan rakyat ialah pemberian hak milik kekal kepada penduduk Cina di Kg Baru, manakala pemberian hak milik kekal kepada orang Melayu di Kg Tersusun yang majoritinya orang Melayu tidak pula disebut oleh mereka, sedangkan jumlahnya lebih banyak berbanyak Kg. Baru.

Setiap kali mesyuarat, Dato’ Seri Nizar bersama barisan exco sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan ini menggambarkan betapa tekun serta bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.

Harakah :
Semasa pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan dahulu, PAS dan MBnya sering dimomokkan sebagai "boneka" atau "kuda tunggangan" DAP, Dato’ Seri Hj Nizar pula hanya ikut telunjuk EXCO DAP dalam membuat apa sahaja keputusan. Jadi apa pandangan En Abdullah ?

Abdullah Antong:
Saya lihat inilah yang menjadi modal utama BN bagi memberi persepsi buruk masyarakat terahadap PAS dan ini adalah tidak betul sama sekali.

Dalam mesyuarat Exco Pakatan Rakyat, mereka tidak langsung membawa kepentingan peribadi berbanding dengan BN yang sentiasa membawa kepentingan peribadi.

Tuduhan UMNO BN yang mengatakan DAP menguasai mesyuarat dan MB mengikut arahan DAP ternyata fitnah semata-mata. Semua perkara dibincangkan secara menyeluruh dan Dato’ Seri Nizar memberi peluang semua ahli mesyuarat untuk berucap dan menyatakan pandangan mereka.

Saya mengambil contoh satu kes menggazetkan surau di Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham selaku Adun kawasan tersebut pergi melihat  sendiri situasi surau tersebut. Pada mulanya mesyuarat mewartakan setengah ekar untuk kawasan surau itu, Dato’ Ngeh mencadangkan untuk meluaskan lagi tapak surau tersebut bagi memudahkan parking kereta umat Islam yang hendak beribadah. Ini membuktikan DAP tidak mempunyai sikap anti Islam dan perkauman.

Berlaku lagi satu kes meluluskan satu tapak tokong Cina di Tambun. Kawasan yang terletak di tepi gua tersebut sangat bahaya dan tidak sesuai untuk medirikan tokong. Jabatan yang berkaitan tidak bersetuju dan menasihatkan tidak diluluskan. Mesyuarat menerima cadangan syor tersebut, lalu menolak permohonan tapak tokong. Dan saya tidak lihat Exco dari kalangan DAP yang membantah keputusan itu atau mempertahan permohonan tersebut dan mereka semua setuju.
Saya lihat persefahaman antara Ecxo sangat baik dan menghormati Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar walaupun DAP majoriti.

Harakah :
Selepas mengisytiharkan diri sebagai penyokong perjuangan PAS dan PR, adakah terdapat kekangan-kekangan dan tawaran yang datang dari kerajaan BN Perak?

Abdullah Antong:
Sahabat-sahabat saya tiada masalah dengan tindakan saya menyertai PAS, ada juga yang membantah. Ramai yang terkejut kerana tiba-tiba dengan tindakan saya. Mereka fikir, selepas pencen saya duduk sahaja.
Seorang bekas pegawai tinggi kerajaan ada berjumpa saya menasihatkan saya supaya membatalkan hasrat untuk menyertai PAS. Saya tidak pastilah , itu kehendak dia ke atau diminta oleh pemimpin UMNO untuk memujuk saya.

Saya hairan kenapa mereka sangat takut dengan tindakan saya, adakah ianya isu hangat, adakah saya ini terlalu bahaya kepada BN. Sedangkan ramainya bekas pegawai tinggi kerajaan menyerta PAS dan PR seumpama satu fenomena masa kini.

Kemungkinan juga kerana saya banyak mengetahui cerita dan rahsia. Saya tahu ada perkara yang boleh diceritakan, ada rahsia yang tidak boleh didedahkan. Perkara-perkara kecil yang tidak menjadi rahsia kerajaan bolehlah saya kongsikan.

Sampai sekarang ini, mereka masih memerhatikan saya dan mengikuti perkembangan ini. Saya juga diminta berjumpa dengan orang politik UMNO BN untuk kononnya tarbiah saya atau “brainwash” saya.
Saya bertekad untuk tidak berjumpa dengan mereka dan  saya akan tolak jika ada apa-apa imbuhan dan sogokan daripada mereka.

Harakah :
Buat masa ini En Abdullah belum lagi menjadi ahli PAS secara sah, bila agaknya akan mengisytiharkannya secara rasm.

Abdullah :
Saya menyerahkan kepada PAS Perak untuk memilih masa yang sesuai dan saya sudah bersedia berbuat demikian. Namun saya belum bersedia untuk naik di pentas ceramah kerana faktor kesihatan yang belum sembuh sepenuhnya setelah menjalani pembedahan yang agak kritikal.


Harakah :
Untuk yang terakhir ni, apa seruan En Abdullah kepada seluruh rakyat Perak dalam PRU akan datang.

Abdullah Antong
Saya nak beritahu, UMNO BN sekarang ini bukanlah kuat sangat, mereka dapat kuasa pun bukan dengan cara demokrasi. PR dapat  mandat dari rakyat melalui PRU yang lalu sekalipun dengan majoriti yang terlalu kecil. UMNO BN dapat kuasa setelah 3 orang Adun mengkhianati mandat rakyat. Oleh itu, saya rayu dan seru seluruh rakyat Perak buat perubahan dengan berani pada PRU akan datang. Kembalikan semula kuasa PR melalui kuasa rakyat. Saya yakin Insya Allah, PR akan kembali memerintah Perak selepas ini.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!