ALLAHYARHAM YB ROSLAN AKAN DIKEBUMIKAN LEPAS ASAR PETANG INI

Dicatat oleh MisbahulMunir Monday, February 9, 2009

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Changkat Larang lewat petang ini. Manakala Solat Jenazah akan dilangsungkan jam 6.00 petang di kediaman Allahyarham di Kg. Changkat Larang, Batu Gajah. Allahyarham meninggal dunia pagi tadi setelah diserang penyakit jantung ketika menunggang basikal yang dipinjam dari rakannya. Allahyarham meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazahnya kemudian terus di bawa ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.

Allahyarham mula melibat diri dalam politik sepenuh masa sejak tahun 1999 apabila dipilih oleh PAS untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum 1999 di Parlimen Bukit Gantang. Nasibnya kurang baik, Allahyarham gagal memenangi kerusi tersebut. Kemudian bertanding pula di DUN Rapat Setia pada pilihanraya 2004, sekali lagi gagal. Pada pilihanraya umum 2008 yang lalu, Allahyarham kembali bertanding di Parlimen Bukit Gantang dan berjaya menewaskan Calon BN, Abdul Azim bin Mohd Zabidi (Bendahari UMNO) dan calon Bebas dengan majoriti 1566.

Sebelum menceburkan diri dalam politik sepenuh masa, beliau pernah berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, jawatan yang terakhir ialah Pengarah Sumber Tenaga Manusia & Pentadbiran PKNP. Allahyarham berkelulusan Sarjana (Master) Sains Pembangunan Sumber Manusia UPM, dan juga Diploma Islamic Study UIA. Allahyarham meninggalkan seorang balu (Puan Safiah bt. Harun) dan meninggalkan 11 orang anak.

Selain berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Allahyarham dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sebagai Pengerusi Yayasan Perak. Sepanjang perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Allahyarham begitu aktif berkhidmat dan berbakti kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman agama dan politik. Sikapnya yang mudah mesra dengan orang ramai begitu disenangi oleh para pengundi, sementelah pula, Allahyarham juga seorang pengamal perubatan Islam As Syifa'. Dalam siri-siri lawatan beliau ke setiap kampung, beliau bukan sahaja menyampaikan sumbangan, memberi tazkirah, ceramah atau merasmikan majlis malahan turut memberi rawatan perubatan As Syifa' secara percuma.

Sebagai Pengerusi Yayasan Perak, Allahyarham telah berjaya menaikan imej Yayayan Perak dan Kerajaan Perak melalui program pemberian Dermasiswa Rakyat, Kelas Tusyen Gemilang, Tabung Pinjaman Perniagaan Kecil dan sebagainya.

Kini beliau telah mendahului kita untuk bertemu Allah Rabbul Jalil, semuga rohnya akan dicucuri rahmat, dan diharap ahli keluarganya bersabar dengan ujian ini.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!