MENGAPA MOHON SEMBAH DERHAKA?

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, March 17, 2009

Najib mempertikai tindakan Hj Nizar yang mohon sembah derhaka kepada sultan, dan beliau menyatakan tidak ada dalam sejarah pemimpin Melayu yang mohon sembah derhaka kepada Tuanku.

Dalam amalan berbahasa di istana, apabila Tuanku bertitah sesuatu kepada rakyatnya termasuk pembesar-pembesarnya, bahasa yang digunakan sebagai mematuhi titahnya ialah "Ampun Tuanku, titah Tuanku patik junjung" sebaliknya kalau tidak bersetuju dengan titah Tuanku disebabkan pembesar-pembesar ada pandangan yang lain, bahasa yang digunakan sebagai tanda tidak setuju pada Tuanku ialah "Ampun Tuanku, sembah patik harap diampun, patik mohon sembah derhaka", ungkapan itu diikuti dengan pandangan-pandangan yang bertentangan dengan titah Tuanku. Ungkapan dan pandangan yang diberi tidak berniat derhaka kepada Tuanku.

Di Perak ungkapan "patik mohon sembah derhaka" adalah amalan biasa, dan Tuanku Sultan Azlan selalu sangat mendengar ungkapan ini kerana Tuanku adalah pengerusi mesyuarat Ahli Dewan Negara negeri Perak, Raja Muda pula iala Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perak. Sewaktu Tuanku berdua mempengerusikan mesyuarat, mana-mana ahli mesyuarat yang ada pandangan lain dari titah Tuanku selalunya akan berkata "patik mohon sembah derhaka".

Dalam sejarah Melayu klasik, Bendahara Melaka pernah dua kali tidak setuju dengan titah Tuanku Sultan apabila Hang Tuang difitnah oleh pembesar-pembesar raja. Bendahara tidak menghukum Hang Tuah sebagaimana yang dititah oleh Tuanku. Kali kedua Hang Tuah difitnah dan dijatuhkan hukum bunuh oleh Tuanku, sahabat karibnya Hang Jebat menuntut bela dan mengisytiharkan derhaka kepada Tuanku, Jebat menguasai istana, yang akhirnya Tuanku berpindah ke rumah Bendahara, ketika itulah Tuanku menyatakan rasa sesalnya kerana menjatuhkan hukum bunuh kepada Hang Tuah, antara yang keluar dari mulut Sultan Melaka "kalaulah Tuah masih hidup, tidaklah jadi begini" begitulah yang disebutnya setiap hari kepada Bendahara sambil menangis.

Akhirnya Bendahara membuka rahsia besar yang disimpannya selama ini dengan berkata "Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun, mohon patik sembah derhaka Tuanku, Hang Tuah masih hidup Tuanku". Bendahara terpaksa bercakap sedemikian, kerana perbuatan Bendahara yang tidak melaksanakan titah Tuanku dahulu supaya membunuh Hang Tuah dianggap melanggar titah Tuanku. Inilah kebijaksanaan Bendahara Melaka yang bertindak sebagai seorang Memanda Menteri , tidak semua titah Tuanku dijunjungnya apabila pada pandangannya ada unsur-unsur fitnah dan kezaliman.

Hj Nizar mohon sembah derhaka kepada Tuanku bukan berniat derhaka kepada Tuanku, tetapi sebagai pernyataan tidak setuju dengan saranan Tuanku untuk meletak jawatan sebagai Menteri Besar, dan Hj Nizar bercakap dengan Tuanku begitu panjang lebar berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Perak supaya Tuanku membubarkan sahaja DUN bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang baru. Tuanku tidak menunjukkan wajah murka pun pada Hj Nizar apabila Nizar mohon sembah derhaka.

Ternyata Najib seorang yang buta sejarah, beliau berkata mana ada dalam sejarah pemimpin Melayu mohon sembah derhaka. Betul, tidak ada pemimpin UMNO yang bercakap dengan Tuanku mohon sembah derhaka apabila tidak bersetuju dan menentang Raja-raja Melayu. Sebab pemimpin UMNO biadab, mereka tidak setuju dengan Tuanku tetapi tidak menggunakan bahasa beradab yang biasa diguna di istana. Hj Nizar adalah seorang yang beradab, mohon sembah derhaka apabila tidak setuju dengan titah Tuanku, mohon sembah derhaka bukan bemakna mahu derhaka, tetapi itu adalah adab berbahasa dengan Tuanku. Walaupun pemimpin UMNO tidak pernah mohon sembah derhaka kepada Tuanku, tetapi Pemimpin UMNOlah yang mempepolopori untuk derhaka pada Tuanku.

Bermula dengan Dato' Onn Jaafar bersama abang dan kakaknya, semuanya diisytiharkan derhaka oleh Sultan Johor sehingga mereka bertiga dibuang ke Singapura. Abang Dato' Onn dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor dan turut dibuang ke Singapura, begitu juga kakaknya.

1974 Ghazali Jawi dan UMNO juga derhaka kepada Sultan Perak kerana memperdaya Tuanku konon menjadi Menteri Besar selama dua tahun sahaja, dan tidak meletak jawatan apabila diminta berbuat demikian oleh Tuanku. UMNO mempertahankan tindakan Ghazali Jawi yang tidak mahu meletak jawatan dengan mengatakan Tuanku tidak ada kuasa melucut jawatan MB walaupun ada kuasa melantik MB, berlaku krisis yang hebat pada ketika itu antara istana dengan kerajaan.

Seterusnya apabila berlaku krisis antara pemimpin UMNO dengan Raja-raja Melayu pada tahun 1979 (antara Rahim Bakar, MB Pahang dengan Sultan Pahang), Media dan UMNO mengkritik Sultan Pahang secara terbuka. Pindaan Perlembagaan 1983 dan 1993, UMNO dan pemimpinnya membuat kenyataan terbuka dalam akhbar menghina dan mengaibkan Raja-raja Melayu, beberapa siri rapat umum dianjurkan oleh pemimpin UMNO untuk menyokong Mahathir Muhammad dan mengecam Raja-raja Melayu.

1990, UMNO kalah teruk di Kelantan, UMNO Kelantan berdemontrasi menghantar memorundum pada Sultan membantah tindakan Sultan yang kononnya menyebelahi pembangkang ketika itu, kemuncak penderhakaan UMNO ketika itu ialah apabila Anuar Musa dan UMNO Kelantan menabalkan Tengku Ibrahim Inderaputera sebagai Sultan Kelantan di Ketereh pada tahun 1993 bagi mengantikan Sultan Ismail. Adakah ini tidak derhaka wahai Najib?

Shahidan Kasim juga secara biadab mempertikaikan kedudukan Sultan Ismail sebagai Sultan Kelantan yang sah. Muhammad Taib (ketika itu MB Selangor) melarikan puteri Tuanku dan mengahwininya tanpa pengetahuan Istana sehingga Tuanku murka. Tidakkah itu juga derhaka wahai Najib? Bagaimana pula dengan tindakan 24 Adun Terengganu mengugut akan memboikot majlis angkat sumpah Mohd Said sebagai MB Terengganu kerana tidak bersetuju dengan pilihan Tuanku, adakah itu juga tidak derhaka namanya?

Banyak lagi sebenarnya tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dalam menjuarai dan mempelopori penderhakaan terhadap Raja-raja Melayu. Tetapi sejak PAS ditubuhkan sehingga sekarang, belum ada dalam sejarah PAS ada pemimpin-pemimpin PAS yang derhaka dan membuat kenyataan terbuka mengecam Raja-raja Melayu.





About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!