Sidang DUN tergempar Perak terpaksa diadakan di bawah Pokok Sena di Bandar Ipoh Raya apabila speaker dan seluruh ADUN yang hadir dihalang dari memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan oleh pihak polis atas arahan Setiausaha Kerajaan Negeri. DUN Perak menempa sejarah baru yang belum pernah berlaku di mana-mana Dewan Undangan Negeri di seluruh negeri dan juga dunia. Rundingan antara beberapa wakil ADUN dan Speaker dengan pihak polis gagal bagi membolehkan sidang DUN diadakan di bangunan Perak Darul Ridzuan.
Dato' Setiausaha Kerajaan Negerilah yang bertindak menghalang sidang DUN dari diadakan di bangunan Perak DR sebagaimana yang diumumkan oleh pihak polis sewaktu berunding dengan wakil ADUN. Tidak wajar Speaker yang mengetuai perjalanan Dewan Undangan Negeri dihalang memasuki Dewan sedangkan beliau berkuasa penuh memanggil mesyuarat. Kejadian ini amat bertentangan sama sekali dengan satu usul yang pernah diluluskan oleh Parlimen Malaysia bahawa semua ahli Parlimen bebas keluar masuk ke kawasan Parlimen tanpa ada sebarang sekatan. Sepatutnya ADUN-ADUN di Perak juga bebas keluar masuk Dewan tanpa ada sebarang sekatan apatah lagi menghadiri sidang DUN tergempar. Kejadian pagi tadi cukup memalukan Malaysia, demokrasi di Perak telah mati.
Dalam peristiwa yang berlaku pagi tadi, rombongan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat telah sampai ke kawasan bangunan Perak DR dengan menaiki 2 buah buas dan beberapa buah kereta. Mereka disambut oleh ribuan rakyat yang menunggu ketibaan mereka sejak awal pagi. Cubaan bagi menghalang ADUN Pakatan Rakyat memasuki dewan dibuat oleh beberapa kumpulan yang dipercayai anggota Pakeda, mereka cuba membuat provokasi supaya ada tindak balas dari penyokong-penyokong Pakatan Rakyat, kesabaran ADUN-ADUN dan penyokong berjaya menghindari dari kejadian yang tidak diingini. Selepas berjaya mengharungi halangan dari kumpulan tersebut, kami berdepan pula dengan FRU yang berwajah bengis, masam dan ganas. tetapi sedikitpun tidak mengerunkan kami.
Walau bagaimanapun sidang DUN tetap diteruskan di kawasan lapang di bawah Pokok Sena Bandar Ipoh Raya pada jam 10.15 pagi. Dua usul yang dibentangkan oleh ADUN Titi Serong dan ADUN Teja dibahas dan diluluskan sebulat suara. Sidang DUN yang bersejarah itu dihadiri 27 ADUN Pakatan Rakyat dan disaksikan oleh ribuan rakyat Perak yang sejak awal menunggu di hadapan pintu masuk bangunan Perak DR bagi memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dua usul yang diluluskan itu ialah menyokong Dato' Seri Hj Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah di Perak, dan usul membubarkan DUN Perak bagi membolehkan rakyat Perak memilih kerajaan baru.
Sidang DUN ditangguhkan kira-kira jam 10.40 pagi.
Dalam sidang media yang diadakan sejurus sidang DUN ditangguhkan, YAB Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak yang sah akan memohon menghadap Sultan Perak bagi menyampaikan keputusan Sidang DUN dalam masa yang terdekat. Sementara itu, laporan polis juga akan dibuat oleh bererapa ADUN terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalang Speaker dan ADUN dari memasuki Dewan Undangan Negeri.