KABINET NAJIB - TIDAK ADA LEBIHNYA

Dicatat oleh MisbahulMunir Friday, April 10, 2009

Orang Agama Dalam Kabinet Najib
Kabinet baru Najib baru sahaja dibentuk. Pada saya tidak ada lebihnya kabinet baru yang dibentuk oleh Najib. Seperti biasa, bila tidak ada orang agama dalam MT UMNO atau orang agama dalam Parlimen BN, PM akan melantik orang agama dari luar UMNO. Amalan ini dimulakan sejak zaman Dr. Mahathir lagi, Antaranya yang pernah dilantik dalam Kabinet UMNO yang asalnya bukan Ahli Parlimen atau bukan MT UMNO ialah Dr. Yusuf Noor, Hamid Osman, Hamid Zainal Abidin, Abdullah Mat Zain, dan kini Jamil Khair Baharom. Nakhaei Ahmad dan Mustapa Taib sahaja yang tidak pernah ditawar menjadi anggota kabinet. Nakhaei Ahmad pernah menjadi MT UMNO di zaman Mahathir suatu ketika dulu, tetapi tidak pernah ditawar menjadi anggota Kabinet. Kedua-duanya bekas pimpinan PAS. Selain itu, orang Agama yang berkhidmat dengan UMNO ialah Datuk Dusuki, itu pun sebagai Setiausaha Politik PM (Dr Mahathir). Wan Mokhtar pula sebagai Menteri Besar Terengganu.

Semua PM sebelum ini pun terfikir pentingnya orang agama dalam MT UMNO dan Kabinet Malaysia, tetapi orang agama dalam UMNO sendiri tidak pernah dihargai oleh UMNO dan ahli-ahli UMNO sendiri. Adanya orang agama dalam UMNO dan kabinet pun tidak berupaya mengubah kepada yang lebih islamik. Islam yang mereka ketengahkan hanyalah Islam yang mengikut acuan pemimpin UMNO, bukan Islam yang syumul.

Mereka gunakan orang agama hanya untuk berdepan dengan PAS yang majorti pimpinannya adalah ulama, kalau bukan berlatar belakang ulama sekalipun, kebolehan pimpinan PAS bercakap dan mengupas isu-isu yang berkaitan agama mengatasi ulama-ulama dalam UMNO, contohnya Dato' Seri Hj Nizar, Ahli Parlimen baru Bukit Gantang, beliau tidak berlatarbelakangkan pendidikan agama, beliau seorang jurutera profesional, tetapi mempunyai keupayaan dalam bidang agama sehingga orang ramai jemput beliau menyampaikan kuliah dan ceramah agama, mengimami solat, memimpin tahlil, talqin dan sebagainya. Boleh pula berbahasa Arab dengan baik. YB Dr Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga AJK PAS Pusat, beliau bukan ulama, kepakarannya adalah dalam bidang toxicology, tetapi beliau mampu mengulas isu-isu semasa berasaskan fiqh dan qawaid fiqhiyah, penguasaan bahasa Arabnya juga boleh tahan, begitu juga YB Husam Musa, beliau tidak juga berlatar belakang agama, tetapi penguasaan bahasa Arabnya juga baik. Siapa dalam UMNO yang bukan orang agama tetapi mempunyai keupayaan yang sedemikian ?. Zahid Hamidi! Dia ada basic agama di Izuddin dulu, tetapi di IPT tidak juga dalam bidang agama, Asmuni Awi rakannya di Izuddin dulu jauh lebih baik penguasaan agamanya berbanding Zahid.


Sebenarnya UMNO tidak pernah menghormati orang Agama, dalam pilihanraya baru-baru ini, berapa kerat ahli UMNO yang dipilih sebagai calon. Dalam pemilihan jawatan tertinggi dan MT UMNO, berapa orang agama yang dicalonkan dan dipilih oleh perwakilan. Dalam pilihanraya P.059 Bukit Gantang, ada calon lain yang lebih baik daripada Ismail Shafian, iaitu Kamarullail Sulaiman, beliau bukan juga berlatarbelakang agama, tetapi sebagai pensyarah di Kolej Islam Darul Ridzuan, walaupun bukan bidang agama, imej Kolej Islam itu sendiri sekurang-kurangnya memberi gambaran beliau berimejkan Islam, juga tidak dicalonkan sebagai calon, sekurang-kurangnya latarbelakang perkhidmatannya di Kolej Islam dan akhlak serta peribadinya jauh lebih baik daripada Ismail Shafian, UMNO akar umbi dan Bahagian Bk. Gantang mahukan beliu sebagai calon tetapi Najib tolak.

Dan kebanyakan orang agama yang duduk dalam kabinet tidak pernah kekal lama selama Rafidah Aziz, Samy Vello, Hamid Albar, Nazri Aziz dan sebagainya. Sepenggal dua akan ditukar orang agama yang baru, atau setelah bertukar PM baru akan ada orang agama baru dilantik menganggotai Kabinet. Jamil Khair ni pun berapa lama duduk dalam kabinet kita tidak tahu. Orang Agama dalam UMNO diberi kepercayaan jaga hal ehwal agama semata-mata, itu pun tidak boleh melangkaui had dan batasan yang ditetapkan oleh pemimpin mereka.

Berbeza dengan PAS, pimpinan PAS yang berlatar belakangkan agama diberi kepercayaan untuk memegang jawatan yang profesional dan mereka boleh melaksanakannya dengan begitu baik. Ustaz Abd. Ghani Shamsuddin diberi kepercayaan dalam IT, dia berjaya dalam membudayakan PAS dan ahlinya dalam IT, sekarang IT PAS jauh ke hadapan. YB Ustaz Mujahid Yusuf diberi tugas dalam bidang perpaduan nasional atau hubungan antara kaum, dia juga berjaya dalam menjalankan tugas dan peranan, begitu juga Ustaz Abu Bakar Chik satu ketika dulu yang diberi tugas menjaga hal ehwal pertanian sewaktu menjadi EXCO kerajaan PAS Terenganu dan juga Pengerusi Lajnah Pertanian PAS Pusat, dia juga berjaya dalam memainkan peranan dalam bidang pertanian. Dalam UMNO, ulama hanya diberi tugas baca doa, pimpin tahlil, anjur program hari-hari kebesaran Islam dan tilawah al Quran tetapi tidak diberi tempat dalam bidang ekonomi, pertanian, industri, pendidikan dan sebagainya.

Di Perak, YB Kapten Najmuddin adalah orang agama, beliau tidak dilantik oleh Zambry sebagai EXCO agama, hanya sebagai penasihat agama yang bertaraf EXCO. Dia dibayar gaji, elaun dan kemudahan sebagai EXCO tetapi tidak boleh hadir mesyuarat EXCO bagi menentukan polisi dan dasar-dasar kerajaan, sedangkan kerusi EXCO ada empat lagi kekosongan. Jadi di mana peranan orang agama dalam UMNO dan kerajaan, selain tukang urus jenazah, baca doa, baca talqin, pimpin tahlil, anjur maulid nabi dan tilawah Quran. Mereka tidak dilibatkan dalam menentukan polisi dan dasar-dasar kerajaan.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tidak ada orang agama dalam EXCO, kerana ulama-ulama PAS yang bertanding semuanya kalah belaka, tetapi Dewan Ulama PAS Perak memainkan peranan yang sangat penting dalam memantau perjalanan kerajaan negeri Perak, mereka turut terlibat dalam menentukan polisi dan dasar-dasar kerajaan supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Hj Nizar sentiasa merujuk Dewan Ulama dan meminta nasihat daripada ulama PAS selain Mufti sebelum mengambil sesuatu tindakan yang perlu pandangan agama terlebih dahulu.

Melantik Pemimpin Yang Ditolak oleh Rakyat
Najib juga mengekalkan amalan Dr. Mahathir dengan melantik pemimpin politik yang ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya umum bagi menganggotai kabinet. Anuar Musa kalah dalam pilihanraya 1990 di Kelantan, dilantik dalam Kabinet, Mustapha Mohamad kalah pada tahun 1999 juga dilantik dalam Kabinet. Dr. Koh Tsu Koon dan Shahrizat Jalil juga kalah dalam PRU juga dilantik anggota Kabinet. Najib juga turut melantik pemimpin yang ditolak oleh perwakilan UMNO dalam kabinet, Khairy yang menang bertanding Ketua Pemuda tidak diberi tempat dalam kabinet, Mukhriz anak Mahathir yang kalah pula dilantik sebagai Timbalan Menteri. Begitu juga Naib Ketua Pemudanya dilantik sebagai Timbalan Menteri. Samalah macam Datuk Zahid yang berjaya merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO daripada Rahim Tamby Chik, beliau tidak dilantik dalam Kabinet, sebaliknya Naib Ketuanya Hishamuddin Tun Hussein pula yang dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Sebenarnya slogan mengutamakan rakyat yang dilaungkan oleh Najib sudah tidak ditepati di peringkat awal pembentukan kabinet lagi. Melantik pemimpin yang telah ditolak oleh rakyat dalam PRU dan ditolak oleh perwakilan UMNO sendiri bermakna tidak menghormati dan memberi keutamaan kepada kehendak dan keputusan rakyat yang telah menolak mereka. Apakah BN sudah ketandusan pemimpin untuk menganggotai kabinet, ataupun sememangnya tidak ada yang baik dan layak selain dari mereka yang ditolak oleh rakyat.

Saya percaya Dr. Mahathir adalah sifu Najib dalam menentukan pembentukan kabinet, dan Dr. Mahathir mungkin ada agendanya tersendiri yang belum selesai yang Pak Lah tidak mahu menyelesaikannya. Justeru itu, selagi Mahathir hidup dalam UMNO selagi itulah Najib akan jadi boneka Mahathir. Saya percaya, Dr. Mahathir akan menyerang Najib sekiranya Najib tidak ikut perintah dan agenda Mahathir dan tidak mustahil Mahathir akan umum keluar UMNO sekali lagi kalau Najib ingkar perintahnya.





About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!