SEMASA artikel ini ditulis, Datuk Seri Najib Tun Razak baru sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Angkat sumpah ini melengkapkan Teori RAHMAN yang sekian lama dicanangkan oleh pemerhati politik tentang susun atur Perdana Menteri Malaysia. Kita bersyukur kepada Allah kerana proses peralihan kuasa ini berlaku secara tenang dan bersusila walaupun banyak juga pihak merayu kepada Seri Paduka Baginda agar menangguhkan dahulu angkat sumpah Najib ini. Walaupun saya sendiri tidak seronok berperdanamenterikan seorang yang dipalitkan dengan pelbagai skandal, tetapi saya tidak mahu peralihan kuasa berlaku dalam keadaan yang tegang seperti yang dialami oleh negara jiran kita, Thailand.

Kita tidak mahu angkat sumpah yang kecoh seperti yang berlaku di Kuala Kangsar tempoh hari apabila Dr Zambry Kadir mengangkat sumpah sebelum menteri besar sedia ada meletak jawatan. Hingga hari ini kegawatan politik tidak berhenti-henti di negeri timah itu. Kita tahu keadaan seperti ini tidak baik untuk rakyat, tetapi Datuk Seri Najib lakukan juga. Sebab itu, apabila PR membantah perlantikan Najib, kita tidak melakukan demonstrasi kerana tidak mahu periuk nasi rakyat terjejas. Mungkin Najib tidak berfikir begitu masa beliau menghuru-harakan Perak pada Februari lalu. Najib mungkin hanya berfikir bahawa dia mesti melakukan sesuatu untuk membolehkan dia dilihat sebagai ’hero’ sebelum menjadi Presiden Umno dan seterusya Perdana Menteri.

Apapun, saya amat bersyukur dan menjunjung kasih ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana memilih Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri keenam. Pertama, kerana Baginda telah melengkap teori RAHMAN, iaitu teori yang mengatakan perdana menteri dari Umno/BN dibentuk mengikut susunan ini berakhir dengan ’N’ iaitu Najib Razak. Ini sekali gus bermakna Najib adalah Perdana Menteri terakhir di kalangan pemimpin Umno/BN dan selepas selesai teori RAHMAN ini, maka giliran PR pula membentuk susunan perdana menteri yang baru. Kedua, pemilihan Datuk Seri Najib sebenarnya dengan sendiri mempermudahkan kerja PR dalam menumbangkan BN yang berkuasa sejak 1955 itu. Dengan imej yang begitu buruk, dari Paris ke Mongolia, mudahlah bagi PR untuk memberi rakyat tentang perdana menteri baru ini.

Pada 31 Oktober 2003 dahulu, ketika Tun Pak Lah mengambil alih tugas Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir, imej Pak Lah cukup baik di kalangan rakyat. Apa tidaknya, beliau cucu kepada seorang ulamak besar, bapanya seorang tokoh politik terkenal, belau sendiri berpendidikan agama dan terkenal dalam Umno sebagai Mr Clean. Dengan imej itu, mudahlah beliau meyakinkan rakyat untuk menggantikan seorang perdana menteri yang diimejkan oleh rakyat dengan imej ’Mahafiraun’ dan ’Mahazalim’. Tetapi suasana peralihan kuasa hari ini berbeza sama sekali kerana Mr Clean akan digantikan oleh Mr Altantuya! Nama Najib begitu comot di mata rakyat dengan isu kapal selam, Eurocopter, politik wang / rasuah, rampasan kuasa di Perak dan juga Altantuya. Kegagalan Najib memimpin jentera pilihan raya BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu adalah natijah daripada kecacamerbaan imej ini.

Sebagai seorang penghuni di Seri Perdana, Najib sebenar membawa imej yang amat tercalar kerana beliau tidak membersihkan dirinya dari pelbagai tuduhan dan dakwaan. Bukan hanya suara rakyat dalam dalam negeri, bahkan media massa di luar negeri seperti Perancis, Indonesia, India hingga ke Korea memperkatakan kredibiliti Najib. Najib digambarkan seorang yang tidak bermoral, tidak punya integriti dan ketiadaan kredibiliti. Apa tidaknya, rakyat didedahkan pelbagai persoalan. Nama Najib tidak dibersihkan ketika dipalitkan dengan isu pembunuhan Altantuya. Isterinya, Rosmah Mansur turut disabitkan sama. Mereka hanya menafikan, tidak membersihkan. Isu ini adalah isu antarabangsa yang melibatkan pelbagai pihak. Bukan Najib sahaja yang dituduh, bahkan seluruh Malaysia dimasukkan ke kandang tertuduh.

Pengakuan bersumpah oleh penyiasat persedirian, Balasundram yang mendakwa wujud skandal antara Najib dengan Altantuya, bahkan berlaku hubungan seks songsang antara keduanya tidak boleh dipandang ringan. Saya bukan mengiyakan dakwaan bersumpah ini, tetapi tuduhan seperti ini mesti dibersihkan. Ia nampak begitu bersimpang-siur dan saling menyulam antara satu sama lain apabila Lans Koperal Sirul Azhar memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai sebab untuk membunuh Altantuya samada dia dibunu atau tidak Sirul tidak berpeluang untuk menjadi Ketua Polis Negara ataupun Perdana Menteri Malaysia. Bahkan, kata Sirul, beliau hanya dikambinghitamkan oleh orang yang berada di luar mahkamah. Seluruh mata rakyat memandang kepada Najib. Mengapa? Kerana imej Najib semenjak dikaitkan dengan skandal bersama artis di Port Dickson hinggalah isu Altantuya ini tidak pernah dibersihkan.

Sebagai Perdana Menteri, Najib bukan hanya memerlukan majoriti, tetapi juga integriti. Apabila BN tewas pada 8 Mac 2008, segala kesalahan dilonggokan ke atas kepala Pak Lah. Seolah-olah semua ini adalah dosa Pak Lah dan bekas perdana menteri itu mesti bertanggungjawab ke atasnya. Adakah kita lupa bahawa Umno/BN bukan ditadbir oleh Pak Lah seorang, tetapi semua pemimpin Umno/BN. Dahulu sebelum Pilihanraya Umum 2008 ketika Pak Lah mengambil pendirian yang salah, mengapa mereka tidak menyanggahnya. Mengapa Najib berdiam diri sahaja? Malah Najid pertahan Pak Lah ketika diserang oleh Tun Mahathir. Kenapa Najib tidak berani menyatakan kebenaran di atas kesilapan Pak Lah? Inikah pemimpin yang berintegriti? Hakikatnya, buruk kerajaan BN bukan semata-mata kerana Pak Lah, tetapi kerana seluruh kepemimpinan Umno/BN, termasuk Najib yang terutamanya. Menukar nahkoda untuk memimpin sebuah kapal buruk yang hampir karam tidak ada maknanya, lebih-lebih lagi bernahkodakan seorang yang lebih nakal dari nahkoda lama. Berubahpun tetap rebah!

Saya bukan dengki dengan Najib kerana dia menjadi Perdana Menteri. Tetapi saya mahu berperdanamenterikan seorang yang bersih dan dilihat bersih oleh rakyat dan dunia seluruhnya. Seorang perdana menteri yang bermoral, berintegriti dan mempunyai kredibiliti untuk memimpin rakyat. Pada satu masa dulu, saya pernah difitnah oleh Utusan Malaysia kononnya saya mencabar Datuk Shaziman Abu Mansur (Menteri Kabinet) bertumbuk di Parlimen. Saya menyaman Utusan Malaysia untuk membersihkan nama saya, dan mahkamah telah memberikan hak itu kepada saya. Utusan Malaysia diperintah oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi malu kepada saya sebanyak RM 120,000. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga pernah difitnah oleh Daily Mirror, sebuah akhbar di London yang mengaitkan presiden PAS dengan pengganas antarabangsa. Dan mahkamah di U.K memerintahkan akhbar tersebut membayar ganti rugi malu kepada Presiden PAS Sebanyak RM 500,000. PAS menyaman akhbar tersebut dan mereka terpaksa membayarnya. Kami bukan mahukan duit mudah, tetapi nama dan maruah mesti dibersihkan, walaupun hanya sebagai seorang pemimpin kecil dan kerdil.

Najib sebagai perdana menteri mesti membersihksan diri dari semua tuduhan ini. Najib tidak boleh membiarkannya terus membarah dan memburukkan nama Malaysia dalam suasana ekonomi dunia yang suram ini. Jika Najib terus membisu, rakyat akan bertanya mengapa Najib tidak berani untuk membersihkan namanya? Apakah takut akan terbongkar segala rahsia jika tuduhan-tuduhan ini dibawa ke mahkamah. Maknanya, jika tidak membersihkan diri, PR akan beruntung kerana ia mempercepatkan proses menamatkan teori RAHMAN sebagai perdana menteri tersingkat. Jika membersihkan diri di mahkamah, PR juga akan untung kerana terlondehlah segala kemungkaran yang selama ini tersembunyi. Kita lihat apa nasib Najib 7 April ini. Patik menjunjung kasih Tuanku Yang Di Pertuan Agung, kerana perkenan melantik memanda Perdana Menteri terakhir dari Umno/BN yang memudahkan kerja buat PAS dan Pakatan Rakyat!

Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku ! Daulat Tuanku !

Mahfuz Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!