Saya keluar seawal pagi selepas menghantar anak-anak ke sekolah untuk menghadiri sidang DUN Perak. Kami akan berkumpul di Grand View Hotel dan akan memulakan perjalanan bersama dengan semua ADUN PR.
Saya sampai lewat ke hotel disebabkan sekatan jalanraya dan jalan jem teruk. Saya bersendirian ke Bangunan Perak Darul Ridhuan, cuba menembusi beberapa sekatan polis tetapi gagal. Saya tunjuk surat perlantikan Setiausaha DUN oleh Speaker tetapi tidak dipeduli oleh polis. Sekatan semi sekatan saya lalui semuanya gagal.
Polis hanya menerima kad masuk yang dikeluarkan oleh Pejabat MB dan SUK sahaja. Surat Speaker tidak laku. Saya bertengkar cara baik dengan polis untuk membolehkan masuk namun gagal.
Di satu sekatan yang lain, pegawai polis agak bertimbang rasa, saya dibenarkan masuk tetapi hendaklah parking kereta di tempat yang lain dan berjalan kaki kira-kira 3 kilometer. Akhirnya saya berjaya menembusi sekatan polis dengan berjalan kaki sejauh 3 km.
Saya singgah dulu di pejabat PAS dan meninjau keadaan. Persidangan belum berjalan lagi, pemeriksaan perbarisan pun belum bermula lagi. Speaker dan Hj Nizar menghubungi supaya segera ke DUN. Saya tidak dapat berbuat demikian, kad masuk tidak ada pada saya.
Sementara itu, berhampiran bangunan SUK keadaan kecoh apabila FRU menyerbu kedai minum di bawah pejabat DAP dan membuat tangkapan demi tangkapan. Antara yang ditangkap YB Salehuddin, YB Mujahid, YB Jayakumar dan ramai lagi.
Seorang pegawai ADUN PR memberi saya kad masuk ke bangunan SUK, saya terus bergegas ke SUK. Sampai dipintu pagar, sekali lagi saya dihalang dan tidak dibenarkan masuk oleh pihak polis yang telah mengambil alih sepenuhnya kawalan keselamatan.
Saya cuba merayu dengan tunjuk surat Speaker tetapi gagal. Kad saya tidak laku sebab kad itu untuk isteri ADUN. Sementara itu tangkapan-tangkapan tersus dilakukan oleh pihak polis.
Saya cuba hubungi beberapa ADUN di Dewan, dan mereka melaporkan, persidangan telah dimulakan tanpa menunggu kehadiran saya selaku Setiausaha DUN dengan berlaku beberapa kekecohan. Abdullah Antong terus menjalankan tugas sebagai Setiausaha DUN.
Saya kembali ke Pejabat Perhubungan PAS Perak, saya mengikuti perkembangan sidang DUN melalui cinaislam.blogspot.com.