Speaker DUN Perak membatalkan arahan Dato' SUK yang hanya membenarkan media tertentu sahaja membuat liputan Sidang DUN 7 Mei ini. Dalam kenyataan akhbarnya Speaker membenarkan semua media cetak, elektronik, blogger membuat liputan perjalanan Sidang DUN 7 Mei ini. Mereka boleh memohon untuk memasuki dewan mulai esok 4hb Mei jam 9.00 pagi di Pejabat Speaker.
Berikut adalah Kenyataan Media YB V.Sivakumar, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak pada 3 Mei 2009
Saya membuat ketetapan bahawa semua pihak media dibenarkan masuk untuk membuat liputan persidangan Dewan Negeri Perak pada 7 Mei 2009. Semua media termasuk mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk dewan diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.
Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya. Di sisni, saya menggunakan Perintah-perintah 84 yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil mana-mana jurnal menghadiri persidangan dewan. Perintah-perintah tetap ini juga membolehkan Yang Dipertua Dewan untuk membatalkan kebenaran yang diberi.
Arahan ini dikeluarkan untuk menjamin prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media. Rakyat harus mengetahui apakah yang berlaku dalam persidangan secara telus. Tidak ada sebab untuk menghalang mana-mana media untuk membuat liputan. Rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri.
YB. Sivakumar
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak