Kutipan yuran sekolah bagi tahun 2009 yang mula dipungut sekarang membebankan ibu bapa. Biasanya kutipan yuran dipungut di awal tahun, dan ibu bapa sudah menyediakan bajet bagi membayar yuran-yuran tersebut. Tetapi tahun ini, kutipan yuran ditangguhkan dulu, ada makluman kononnya penangguhan kutipan yuran di awal tahun ada kaitan dengan perlantikan Datuk Najib sebagai PM yang baru, oleh kerana tidak ada penjelasan dari pihak sekolah berhubung dengan penangguhan yuran ini, kebanyakkan ibubapa membuat andaian dan mengharapkan Datuk Najib sebagai PM yang baru akan membuat pengumuman bahawa yuran sekolah pada tahun 2009 dikecualikan atau dihapuskan semua sekali.
Andaian dan apa yang diharapkan oleh ibubapa tidak menjadi kenyataan, pekeliling mengenai kutipan yuran telahpun dikeluarkan kepada ibubapa, yuran-yuran mula dikutip sekarang. Ramai ibubapa yang merungut, mengutip yuran di pertengahan tahun adalah membebankan, ini kerana dalam masa yang sama, mereka juga terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anak yang berjaya ke IPTA dan IPTS. Kemasukan ke IPTA telahpun bermula sejak sebulan yang lalu.
Ibubapa tidak faham, apa rasional kutipan yuran dikutip pertengahan tahun, tempoh pembayaran pula bukan sehingga hujung tahun tetapi dalam tempoh sebulan. Di sekolah anak saya, kutipan yuran hendaklah dijelaskan bermula 1 julai dan tarikh akhir pula 31 Julai. Bagi pelajar tahun 1 - 3 sumbangan yang kena bayar pada PIBG RM 42.00, pelajar tahun 4 - 5 RM 52.00, dan pelajar tahun 6 RM 82, selain itu, pakej bayaran tambahan juga dikenakan sebanyak RM 38.50 kepada setiap pelajar.
Bayangkan ibubapa yang mempunyai anak yang ramai di sekolah rendah dan sekolah menengah, sedangkan pendapatan mereka pula rendah atau di paras kemiskinan. Dalam masa yang sama, ada yang mempunyai anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA. Apatah lagi sumbangan dermasiswa RM 1000 oleh kerajaan Pakatan Rakyat Perak kepada pelajar-pelajar yang berjaya ke IPTA tidak lagi diteruskan oleh kerajaan BN.
Slogan yang dilaungkan oleh Najib 'rakyat diutamkan' hanyalah omong kosong, rakyat tetap dibebankan dengan jumlah yuran yang begitu tinggi.