Petang tadi saya sampai di Manek Urai, terus melapor diri di UPU Manek Urai Lama, tempat petugas Perak ditempatkan. Sebaik saya sampai, soalan pertama yang ditanya oleh penduduk tempatan, "Bilo MB Nizar nok mari ceramah sini" Saya menjawab ringkas, "Insya Allah, dia akan mari". Rata-rata pengundi Manek Urai menunggu-nunggu kedatangan Hj Nizar.
Begitulah aura Hj Nizar, diminati oleh seluruh rakyat di Malaysia, pengundi Manek Urai juga ingin mendengar dan melihat sendiri secara dekat wajah dan suara Hj Nizar. Dalam kempen BN, mereka sentiasa menjadikan Perak contoh seolah-olah DAP dan Cina yang perintah Perak, BN sudah kehabisan modal, dalam semua kempen PRK di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau, itulah modal kempen BN. Hj Nizar dan PAS Perak menjadi sasaran mereka, kononnya Hj Nizar dan PAS boneka dan kuda tunggangan Cina dan DAP, gadai tanah Orang Melayu bagi pada Cina, derhaka pada sultan dan sebagainya.
BN silap, pengundi Manek Urai jauh lebih cerdik dari pengundi BN di Perak yang mudah tertipu oleh diayah dan propaganda jahat BN. Penggundi Manek Urai walaupun tinggal jauh di ceruk kampung, tetapi pandangan dan pemikiran politik mereka jauh ke hadapan, mereka tidak mudah diperdaya, orang kampung di Manek Urai reti dan faham berpolitik, mereka berpolitik bukan untuk dapatkan benda, tetapi berpolitik untuk menegakkan kebenaran, menolak kebatilan, rasuah, salah guna kuasa, kezaliman dan ketidak adilan.
Sebab itu, wakil-wakil rakyat di Kelantan hormat dan takut kepada rakyat, rakyat akan bertindak berani menolak mereka yang rasuah, tidak amanah, sombong, tidak prihatin dan mesra rakyat walaupun mereka berdarah raja atau ulama sekalipun. Kelantanlah satu-satunya negeri yang wakil rakyatnya sering bertukar. Rakyat Kelantan memilih wakil rakyat yang boleh memperjuangkan nasib mereka, merasai bersama kesusahan rakyat, tidak ulama dan berpendidikan tinggi sekalipun, rakyat Kelantan akan mengundi calon yang boleh menjiwai sifat kerakyatan.
Ciri wakil rakyat yang sedemikian itu ada pada Al Marhum Pak Su Wei (bekas wakil rakyat Manek Urai) dan Abe Uji (Calon Manek Urai). Mereka tidak berpendidikan tinggi, pidato mereka pula tidak sehebat Mat Sabu tetapi berjiwa rakyat, tinggal bersama rakyat, susah senang bersama rakyat, senang didekati di mana sahaja, semua lapisan masyarakat tua muda, lelaki perempuan sangat senang dengan mereka. Mereka tidak berpura-pura dalam menjalani kehidupan, apa yang kita lihat pada pandangan mata kita, itulah realiti kehidupannya.
Saya yakin, UMNO BN akan kecundang sekali lagi dalam PRK Manek Urai. Daripada bertanding dalam pilihanraya yang sudah tentu kalah, lebih baik gunakan peruntukkan pilihanraya untuk membantu rakyat yang miskin, barulah bertepatan dengan slogan rakyat di dahulukan, Manek Urai yang pastinya akan kalah di kesampingkan.
Malam tadi, Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi ceramah di Manek Urai Lama, kehadiran tidak sampai 100 orang, itupun bukan pengundi tempatan, yang ramai pengiring-pengiring dari luar. Dua hari sebelum itu, Mahfuz Omar berceramah di Manek Urai lama, ribuan pengundi Manek Urai membanjiri padang berhampiran markas PAS Manek Urai Lama.
Khairy Jamaludidn dan Pemuda UMNO sebelum ini juga menganjurkan bengkel membaiki motosikal percuma di Sekolah Menengah Manek Urai. Saya diberitahu, penduduk kampung Manek Urai tidak ada yang menghantar motosikal untuk dibaiki secara percuma, yang ada orang luar yang sengaja dibawa oleh pemuda UMNO dengan membawa motor masing-masing.
Begitulah sedikit catatan Manek Urai, Insya Allah akan bersambung lagi nanti.