Saya juga hadir dalam program yang menjadi isu hangat sekarang ini di Perak. Pimpinan UMNO mengambil kesempatan kononnya perbuatan Hj Nizar dan beberapa ADUN PAS yang lain melakukan amalan syirik yang bercanggah dengan Islam. Mufti Perak juga buat kenyataan yang sama. Ada juga pimpinan PAS yang turut memberi gambaran yang negatif dalam isu ini.
Pada pagi Jumaat seminggu yang lalu, Pakatan Rakyat Perak mengadakan sidang akhbar di Pejabat DAP Ipoh bagi menunjukkan rasa simpati terhadap insiden buruk yang sungguh menyayat hati itu. Dalam kenyataan bersama itu, Pakatan Rakyat melahirkan rasa terkejut dan simpati terhadap kejadian yang menimpa Teoh Beng Hock, PR Perak mendesak isu ini disiasat dan mahu SPRM bertanggungjawab sepenuhnya.
Selepas kenyataan akhbar, masing-masing yang hadir diberi lilin untuk dinyalakan. Saya sempat bertanya untuk apa ?. Mereka menjawab untuk menunjukkan rasa simapati dan berkabung di atas kematian Beng Hock. Saya bertanya lagi, adakah ini upacara agama Budha atau Kristian. Mereka menjawab bukan upacara agama, ini simbolik sahaja.
Kemudian lilinpun dinyalakan, masing-masing berdiam diri seketika sebagai tanda kesedihan dan simpati.
Esoknya keluar di dada-dada akhbar sehingga menjadi isu hangat. Yang tidak tahu menahu majlis tersebut juga turut membuat kenyataan, Zambry pula berlagak alim dan warak kononnya amalan ini bercanggah dengan Islam, beliau menyindir sinis Hj Nizar.
Saya bertanya dengan YB Khalil Lim dan juga Muhammad K. Y. Tiang yang sebelum ini mereka adalah penganut ajaran budha, Keluarga mereka penganut budha yang cukup taat kepada ajarannya. Mereka menafikan yang upacara menyalakan lilin putih ini sebagai upacara agama Budha, ini budaya dan adat resam sebagai tanda berkabung sahaja, begitu juga memakai baju hitam. Menurut Ann Wan Seng Abdullah yang sebelum ini juga penganut Budha, kalau upacara agama dalam kematian, mereka menyalakan colok merah, lilin putih yang dinyalakan tidak ada kaitan dengan agama, lagipun upacara itu diadakan di tempat lain yang mayat si mati tidak ada di situ.
Menurut YB Khalil yang sering berulang alik ke Cina, umat Islam di negeri Cina, juga menyalakan lilin dalam majlis-majlis tertentu sebagai satu budaya dan adat resam, malahan ketika umat Islam beramai-ramai ke Masjid untuk solat Sunat Aidil Fitri, mereka membawa lilin yang dinyalakan ketika berjalan ramai-ramai sambil bertakbir hari raya. Jadi menyalakan lilin selain adat resam dan budaya sesuatu kaum, ia juga sebagai tanda simbolik bagi kita menyatakan rasa simpati dan kesedihan terhadap kematian yang seumpama itu. Teoh Beng Hock bukan mati biasa, kematiannya mengejutkan dan penuh misteri serta menjadi tanda tanya. Kita mengesyaki kematiannya merupakan perbuatan jenayah dan khianat.
Lilin dalam upacara orang Melayu juga menjadi amalan biasa, orang Melayu yang terpengaruh dengan gaya hidup barat juga menggunakan lilin sewaktu menyambut hari jadi, lilin yang diucuk di tengah-tengah kek dinyalakan kemudian ditiup sambil orang ramai mengucapkan selamat hari jadi. Orang Melayu yang tinggi semangat kemelayuannya pula mengadakan majlis ulang tahun dengan pulut kuning. Semua majlis tersebut tidak ada kena mengena dengan agama, itu hanya adat resam budaya sahaja,selagi tidak ada unsur-unsur khurafat dan syirik dan menyalahi syariat, ia tidak bercanggah dengan agama.
UMNO menuduh pembangkang mempolitikkan isu ini, sebenarnya UMNOlah yang mempolitikkan isu ini, UMNOlah yang cuba mengambil kesempatan dalam isu bagi membangkitkan sentimen perkauman. Ini bukan persoalan siapa yang mati, tetapi punca kematian itu yang menimbulkan persoalan dan misteri yang SPRM dan kerajaan BN wajib memikul tanggungjawab ini.
Sebaliknya isu ini semakin menyatukan berbagai kaum di negara ini. Orang Melayu, Cina dan India begitu ramai menghadiri upacara pengkebumian jenazah Beng Hock di Alor Gajah Melaka bagi menunjukkan simpati, kesetiakawanan dan solidariti.