Mahkamah Persekutuan hari ini akhirnya membenarkan permohonan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan itu dibuat tiga Hakim Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Tan Sri Ariffin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin. Dengan keputusan ini, jelas menunjukkan peluang untuk rakyat Perak melihat keadilan berlaku masih terbuka biar pun dihambat dengan berbagai isu yang jelas membelakangkan undang-undang dan perlembagaan sebenarnya.
Masalah politik Perak yang kini sebenarnya masih "kritikal" biarpun ditutup oleh media arus perdana. Rakyat Perak kini semakin benci dan meluat dengan kelibat MB Haram, Zambry Kadir. Bahkan mereka langsung tidak mengikhtiraf beliau sebagai ketua negeri itu. Apa yang pasti, Nizar masih tetap dihati rakyat dan hanya keadilan sahaja yang boleh mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. UMNO dan BN boleh mendabik dada kononnya mereka menang dalam isu Perak, susulan melihat mahkamah memihak kepada mereka. Walhal, hakikatnya apa yang berlaku itu adalah petanda kejatuhan dan kehancuran mereka di Perak.
Ramai yang melihat, tindakan BN merampas kuasa di negeri itu bakal menyebabkan ramai wakil rakyat BN bakal menjadi "rakyat biasa" selepas pilihanraya umum ke-13 nanti. Oleh itu, rayuan dan saranan seluruh rakyat agar kuasa dikembalikan kepada mereka dan DUN Perak dibubarkan haruslah diberi perhatian sewajarnya oleh Sultan Perak. Tindakan menggunakan mahkamah untuk menghalang proses demokrasi bakal menyebabkan kesatbilan politik dan pentadbiran Kerajaan Negeri Perak kucar kacir.
Semoga dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini bakal membuka lembaran baru ke arah perubahan di negeri itu. Rakyat masih berharap biarpun "jalannya" nampak terlalu sukar untuk menjadi kenyataan. Namun, kita hanya merancang tetapi tuhan yang menentukan. Segalanya boleh berlaku jika diizinkanNya.