PERMATANG PASIR, 20 Ogos - Yusri Ishak hari ini mempertahankan dirinya dan mendakwa tuduhan yang dibuat oleh Ahmad Maslan seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online bertarikh 19 Ogos 2009 bahawa Rohaizat tidak mempunyai apa-apa penglibatan dan tidak tahu menahu tentang perkara tersebut, adalah bohong.
Berikut adalah kenyataan penuh yang dibaca oleh Yusri dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.
Pada tahun 2002, Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang Berhad mencadang membeli sebidang tanah untuk meluaskan perniagaan mereka dan telah melantik Firma Guaman Saif Ariff and Rohaizat untuk menguruskan pembelian tanah tersebut.
Yusri dan Rohaizat telah berbincang dengan lembaga pengarah koperasi tentang syarat syarat perjanjian jual beli. Setelah semua dipersetujui Yusri telah menyediakan perjanjian jual beli tanah tersebut.
Untuk tujuan pembelian ini, koperasi telah memohon pinjaman RM320,000 dari Jabatan Pembangunan Koperasi. Pinjaman tersebut telah diluluskan dan wang tersebut dideposit ke dalam akaun klien di firma guaman.
Namun atas sebab masalah komunikasi dengan penjual, yang tinggal di Acheh, jual beli tersebut telah tidak disempurnakan.
Dalam pada itu, koperasi memerlukan sejumlah wang untuk tujuan pengembangan perniagaan mereka. Yusri telah menandatangan satu cek berjumlah RM100,000 atas nama koperasi dan diberikan kepada pihak koperasi. Maka baki RM220,000 masih tersimpan di dalam akuan firma.
Sementara itu, seorang pelanggan, kenalan Rohaizat yang telah membeli sebidang tanah dengan harga RM130,000 telah memohon jasabaik firma (guaman) untuk membiayai bayaran baki RM100,000. Beliau terdahulu telah membayar RM30,000 kepada penjual.
Firma telah bersetuju untuk meminjamkan RM100,000 yang diambil dari wang koperasi kepada pelanggan (tersebut) untuk menyempurnakan jualbeli tanah tersebut dengan syarat beliau membayar balik pinjaman.
Setelah pelanggan gagal membayar balik pinjaman, Rohaizat telah berbincang dan bersetuju untuk mengambil alih milik tanah berkenaan dan melupuskan pinjaman tersebut.
Malangnya, firma gagal menjual keseluruhan tanah (tersebut) sebagai pecahan lot dan tidak dapat membayar kembali wang koperasi yang telah digunakan.
Sebahagian daripada baki dalam akaun pelanggan dan akaun syarikat telah digunakan untuk memberi pinjaman kepada salah seorang pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan yang juga kenalan Rohaizat yang menghadapi masalah kewangan yang teruk dan juga untuk pengurusan cawangan baru firma di Ipoh.
Saya bertanggungjawab menguruskan cawangan firma di Ipoh, sementara Rohaizat menumpu sepenuhnya di firma Butterworth.
Saya tidak lagi memantau akaun-akaun pelanggan di cawangan Butterworth sehinggalah saya meninggalkan firma pada November 2003.
Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Maslan seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online bertarikh 19 Ogos 2009 bahawa Rohaizat tidak mempunyai apa-apa penglibatan dan tidak tahu menahu tentang perkara tersebut, saya ingin tegaskan bahawa ia adalah satu pembohongan.
Ini adalah kerana segala urusan pembelian tanah tersebut dan penggunaan wang koperasi di buat dengan pengetahuan dan penglibatan Rohaizat seperti yang dijelaskan di atas.
Mana mungkin pengaliran keluar dan masuk wang dalam sesuatu akaun syarikat tidak diketahui oleh Rohaizat yang juga penandatangan yang sah untuk akaun-akaun tersebut.
Sepatutnya Rohaizat menceritakan perkara sebenar dan tidak meletakkan tanggungjawab dan kesalahan hanya kepada rakan kongsi untuk membebaskan dirinya sendiri.
Merujuk kepada kepada kenyataan Ahmad Maslan yang mengangkat Rohaizat sebagai “wira” kerana membayar balik wang koperasi baru-baru ini, saya ingin tegaskan sesungguhnya beliau sewajarnya menyelesaikan pembayaran pada 2003 lagi ketika cawangan Ipoh telah menjana pendapatan yang agak lumayan.
Seyugia diingatkan bahawa cawangan Ipoh ditubuhkan dan diuruskan dengan sebahagiannya menggunakan wang dari akaun klien koperasi pekebun getah Pulau Pinang.
Beliau berharap dengan kenyataannya hari ini dapat menjelaskan kedaan sebenar dirinya yang telah 'dikambing hitamkan' dalam kes kecuaian Rohaizat yang membawa kepada pembatalan pendaftaran beliau sebagai peguam bela dan peguam cara itu.
Ketika ditanya sebab Rohaizat bertindak demikian, beliau menjawab, tindakan Rohaizat itu hanya cita-cita tingginya untuk berada di tempat tinggi dalam bidang politik, walaupun hakikatnya beliau tahu masalah yang dihadapinya dalam kes berhung lesen guamannya.
"Pada pandangan saya, mungkin Rohaizat bercita-cita tinggi dalam bidang politik untuk menjadi yang Yang Berhormat, beliau tahu masalahnya (lesen guaman) tetapi beliau tidak menyatakan kepada pucuk pimpinan Umno, sehinggakan pimpinan Umno melantik beliau menjadi calon," katanya.
"Menjadi tanggungjawab saya keluar menjelaskannya hari ini kerana ianya melibatkan kesan berat yang terpaksa dihadapi oleh keluarganya sebaik sahaja berita itu keluar," tambah menjawab persoalan pendedahannya hari ini.
RAKAN KONGSI ROHAIZAT (CALON BN) BERI PENJELASAN ISU PENYELEWENGAN DUIT KOPERASI
Dicatat oleh
MisbahulMunir
Thursday, August 20, 2009