Semuanya bermula dengan haram, akibatnya semua jadi haram belaka. UMNO BN rampas kuasa tidak melalui mandat rakyat. 3 Adun dicolek oleh mereka kemudian mengisytiharkan keluar parti, menjadi bebas dan menyokong BN. Pakatan Rakyat hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri, Hj Nizar mengambil tindakan yang betul, beliau mengadap Tuanku mohon DUN dibubarkan supaya rakyat diberi mandat semula memilih kerajaan yang sah. Dalam masa yang sama Speaker dengan kuasanya dan berdasarkan surat perletakan jawatan ADUN yang ditandatangani oleh ketiga-tiga mereka memaklumkan kekosongan ketiga kerusi DUN tersebut kepada SPR, dan meminta SPR mengadakan pilihanraya.Pengisytiharan kosong kerusi tersebut tidak diendahkan oleh SPR.
Najib pula masuk mengadap selang 2 hari selepas Hj Nizar mengadap, memohon pada tuanku perkenankan lantikan MB yang baru dari BN tanpa terlebih dahulu ada usul undi tidak percaya kepada Hj Nizar di Dewan Undangan Negeri atau perletakan jawatan Hj Nizar sebagai MB atau pembubaran DUN.
Tuanku perintahkan Hj Nizar mengadap pada hari yang sama Najib mengadap. Tuanku minta MB Nizar letak jawatan, sebaliknya MB Nizar bertegas tidak akan meletakkan jawatan sebagai MB dan mohon DUN dibubarkan. Tuanku tidak mendengar nasihat MB Nizar supaya DUN dibubarkan sebaliknya minta Nizar letak jawatan. Pada hari itu dan seterusnya tidak berlaku perletakan jawatan secara rela hati oleh YB Dato' Seri Hj Nizar, tidak juga berlaku usul undi tidak percaya dikemukakan dalam dewan dan diterima dengan suara majoriti oleh anggota dewan.
Pada hari yang sama Najib mengisytiharkan pembentukan kerajaan haram BN dan melantik Zambry sebagai MB haram negeri Perak. Selang sehari kemudian, Zambry mengangkat sumpah sebagai MB haram negeri Perak.
Itulah rentetan ringkas bermulanya sejarah pembentukan dan perlantikan kerajaan BN yang haram, berikutan itu, semuanya jadi haram. Perlantikan Speaker juga haram, tata caranya bercanggah sama sekali dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perintah Tetap DUN Perak, akibatnya semua jadi haram. Persidangan yang dijalankan dengan Speaker haram juga jadi haram, pembentangan bajet juga haram kerana dibentangkan dan diluluskan cara haram. Jadi semunya haram belaka.
Hari ini, bajet dibentangkan dengan kelam kabut, diluluskan serta merta tanpa perbahasan. Sidang bajet sebelum ini dibentang dan dibahas paling kurang 2 hari, digulung dan dijawab oleh MB akhirnya diluluskan. Tetapi hari ini, sidang bajet dibentang dengan penuh kesangsian kemudian lulus begitu sahaja dan sidang ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang lain.
Dalam sidang 7 Mei yang lalu, Tuanku bertitah merasmikan sidang. Titah Tuanku juga tidak dibahas oleh Adun-adun, tidak ada usul menjunjung kasih di atas titah Tuanku, sidang ditanggunh tanpa disambung semula bagi membahaskannya sehinggalah sidang hari ini.
Itulah akibat bermula dengan haram, semua jadi haram. Dunia memerhatikan betapa jijiknya amalan dan permainan politik UMNO BN di Perak. Rakyat di Perak mahu DUN dibubarkan, buat pilihanraya semula, rakyat mahu mandat dikembalikan kepada mereka setelah mandat 2008 dirampas dengan cara yang tidak beradab oleh oleh UMNO BN.
Semua rakyat percaya, sekiranya DUN tidak dibubarkan, begitulah suasana politik negeri Perak. Ia menjadi tidak keruan, persidangan akan datang akan berulang kembali insiden yang sama. Ekonomi negeri tidak akan memberangsang, pelabur asing tidak berani melabur di Perak, rakyat tetap tidak puas hati.