Tempoh berkempen akan tamat di Bagan Pinang menjelang pukul 12 tengahmalam ini. Esok semua pengundi akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memilih wakil rakyat yang baru. Masing-masing pihak sudah berkempen menemui setiap pengundi.
PAS sudah tentu meletakkan satu harapan yang tinggi bagi memenangi pilihanraya kecil kali ini melalui calonnya Zulkefly Mohammad Omar. Jentera PAS telah sepenuhnya membuat kerja-kerja pilihanraya dari memasang bendera parti, memasang poster calon, mengedar risalah, mencula undi, merayu undi rumah ke rumah, ceramah penerangan, solat hajat, munajat dan sebagainya.
BN pula menggunakan semua jentera kerajaan dalam kerja-kerja pilihanraya, segala media cetak dan elektronik berkempen untuk calon BN. Jentera PAS tidak berdepan dengan jentera UMNO atau BN, tetapi berdepan dengan jentera kerajaan.
Pengundi Bagan Pinang hendaklah menggunakan pemikiran dan pertimbangan yang waras berasaskan maklumat yang betul dan tepat dari sumber yang sebenar bagi memilih wakil mereka esok.