Perselisihan faham dalam apa sahaja perkara dalaman parti tidak akan selesai sekiranya semua pihak menggunakan media dan blog untuk tujuan penyelesaian. Kebebasan media bukan bererti,kita bebas bersuara tanpa ada asas pengetahuan yang kukuh terhadap sesuatu isu, apatah lagi isu dalaman.
PAS ada perlembagaan yang tersendiri, semua perselisihan boleh diselesaikan dengan menghayati semangat perlembagaan itu sendiri. Selain itu, PAS juga ada saluran tersendiri bagi ahli menyuarakan pandangan terhadap kemelut dalaman parti. Gunakan saluran tersebut bagi membantu mencari jalan penyelesaian, bukan terus memberi pandangan melalui blog atau media dengan cadangan-cadangan dalam bentuk tindakan atau hukuman. Kebanyakan blog yang kita baca bukan pula dimiliki oleh aktivis parti yang komited, sekadar penulis blog yang aktif sahaja. Mereka hanya dapat gambaran isu tersebut melalui media dan blog semata-mata. Pernahkah mereka berjumpa sendiri dengan beberapa individu yang disebut-sebut dalam isu ini.
Perselisihan faham pemimpin adalah masalah dalaman parti, ia bukan seumpama isu rasuah pemimpin negara, salah guna kuasa pemimpin, jenayah, bajet, undi pos, isu ekonomi, kenaikan barang, rampas kuasa di Perak dan yang seumpamanya. Isu tersebut bebas dibahas dipentas politik, media dan blog. Isu dalaman hanya wajar dibincang di peringkat dalaman parti dengan tertib dan bersiplin, ia sama sekali tidak wajar untuk didebatkan di media terbuka.
Kalau kita mahu berlaku adil dalam mengulas setiap isu dalaman parti, lebih baik berjumpa dengan semua pihak yang terbabit bagi mengetahui isu pokok yang menjadi punca perselisihan. Kemudian kalau ada pandangan, berilah pandangan yang adil yang bukan tujuan untuk memenangkan sesiapa tetapi untuk kebenaran. Kalau itu tidak mampu, lebih baik tunggu, lihat, bertenang, bersabar dan serahkan kepada kebijaksnaan pucuk pimpinan bagi mencari jalan penyelesaian.
BERSABAR, BERTENANG DAN TIDAK EMOSI DALAM MENGHADAPI ISU DALAMAN PARTI
Dicatat oleh
MisbahulMunir
Monday, October 26, 2009