BAI'AH TALAK 3 - PANDANGAN DEWAN ULAMAK PAS

Dicatat oleh MisbahulMunir Wednesday, November 11, 2009

Ketika mana ahli-ahli PAS sedang berdebar-debar menantikan penganjuran Seminar Memperkasakan Parti di Taman Melewar, media perdana menggembar-gemburkan mengenai Bai'ah Ta'lik Talak 3 yang dilafazkan oleh calon-calon PAS ingin bertanding di dalam pilihanraya.

Berbagai persoalan dan bantahan dilaungkan samada oleh ulamak UMNO seperti Jamil Khir, Masyitah dan sebagainya hinggalah kepada ulamak pengampu UMNO seperti Prof. Mahmood Zuhdi dan Tan Seri Harussani. Entah dimana mereka memperolehi nas dan dalil bagi mengharamkan bai'ah tersebut. Antara alasan yang diberikan adalah seperti berikut :

a. Ianya meruntuhkan institusi kekeluargaan.
b. Ianya merupakan satu penghinaan terhadap kaum wanita.
c. Ianya mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, dimana wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian.
d. Ianya dasar yang berpaksikan kepada alasan dan sandaran aqal dangkal langsung tidak ada sandaran kepada Al Quran.

Membuat Ta'liq dalam perkahwinan termasuk dalam bab Munakahat dan ianya bukan ibadat khusus sebagaimana solat puasa dan sebagainya. Berbeza dengan ibadat yang perlu kepada nas untuk membolehkannya dilakukan, ta'liq harus dilakukan kecuali ada nas yang terang mengharamkanya. Oleh yang demikian pihak yang mengatakannya haram harus mengemukakan dalil pengharamannya, bukan sekadar hentaman berdasarkan akal fikiran semata-mata. Ada beberapa persoalan hukum yang berkait dengan persoalan ini seperti berikut : (http://www.zaharuddin.net/content/view/889/72/)

1) Hukum melafazkan Talaq tiga dengan sekali lafaz
a. Talaq sedemikian adalah HARUS ( dibenarkan) dan jatuh TIGA sekaligus : Ini merupakan ijtihad mazhab Syafie dan Hanbali serta majoriti ulama silam.
(al-Muhazzab, 4/282; Al-Mughni, 7/104 ;)
b. Ia adalah HARAM (DOSA) dan jatuh TIGA : Malik dan Abu Hanifah & Salah satu riwayat dari Ahmad. Ia juga pendapat majoriti Sahabat, tabien dan ulama silam.
(Hasyiah Ad-Dusuqi, 2/385)
c. Ia HARAM tetapi hanya jatuh SATU talaq sahaja : Sebahagian sahabat seperti Ali Abi Talib, Ibn Mas'ud, Abd Rahman Auf, Az-Zubayr Awwam.

Di Negara ini, Mahkamah Syriah adalah pihak yang berbidangkuasa dalam menentukan perkara ini dan biarlah Mahkamah Syriah yang menentukannya jika ada kes lompat parti ini berlaku melibatkan calon-calon PAS nanti.

2) Hukum berbai'ah dengan ta'liq talak.
Mazhab Hanafi dan Ibn Taimiah menegaskan sumpah tersebut adalah bergantung kepada niat, tetapi si pelaku berdosa. Berdasarkan pendapat ini, jika niat suami yang melafaz hanyalah sebagai ancaman kepada isteri atau menegahnya dari melakukan sesuatu perkara. Tatkala itu lafaz ta'liq itu dianggap bukan sumpah sebenar dan apabila ia dilanggari, perlulah si suami membayar kaffarah langgar sumpah yang ditetapkan oleh undang-undang Islam dan isterinya tidak tercerai.

Mazhab Syafie pula menfatwakan bahawa ianya bergantung kepada uruf setempat. Namun kebanyakkan ulasan ulama Syafie menjurus kepada jatuh talaq yang diikat atau dijadikan sumpah, iaitu jika dilanggar dengan sengaja tetapi tidak jatuh jika terlupa atau tidak sengaja.
3) Wajar atau tidak bai'ah dengan lafaz ta'liq tercerai isteri terutamanya dengan tiga talaq.

Pimpinan PAS dan calonnya melafazkan bai'ah sedemikian dalam keadaan sedar dan yakin bahawa mereka akan terus istiqamah dalam perjuangan Islam melalui PAS, dan bai’ah tersebut hanya sebagai pengukuh kepada iltizam tersebut dan bukan untuk meruntuhkan rumahtangga mereka. Mereka menganggap wadah perjuangan ini sebagai suatu yang amat penting dalam hidup mereka. Kecintaan kepada perjuangan suci ini amat dicintai sama seperti cintanya mereka kepada isteri dan rumahtangga mereka.

Mungkin juga seseorang isteri meletakkan syarat berta’lik seperti tersebut kepada suaminya sebagai para syarat kepada kelangsungan rumahtangga mereka. Tidak ada nilai seorang suami bagj seseorang isteri jika sekiranya beliau sanggup mengkhianati perjuangan dan apakah jaminan bahawa rumahtangga mereka juga tidak akan dikhianati.

Maslahah Ammah mesti didahulukan daripada Maslahah Khassah. Bagi mereka yang kenal erti perjuangan, menjaga amanah yang diberikan oleh pengundi adalah amat besar dan pengkhianatannya adalah mudharat yang amat besar.

Kejatuhan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak hanya disebabkan pengkhianatan 3 individu yang menumpang nama parti untuk mendapatkan kerusi adalah mala petaka yang amat besar bagi majoriti rakyat Perak yang memilih Pakatan Rakyat bagi memimpin mereka.

Maka keruntuhan sebuah institusi keluarga yang sebenarnya ada berbagai cara untuk dibina semula, jauh lebih kecil mudharatnya berbanding keruntuhan sebuah kerajaan yang dipilih oleh orang ramai.

Persoalan mudharat dan hukuman berganda yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak maka apakah bezanya dengan Ta’liq yang dipaksakan ke atas suami oleh Jabatan Agama Islam Perak seperti berikut :
Jika ada perbalahan di antara kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku ………………........... bt ………………kepada mana-mana Kadi Syariah dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka mengakulah aku akan berta’liq seperti yang dipersetujukan oleh Kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada berta’liq sedemikian itu maka guguirlah satu talaq di atas isteriku itu.

Tiap-tiap aku ruju’ akan isteriku…………………bt…………….dengan tiada redhanya maka tertalaqlah ia satu talaq pula.

Tidakkah ini membayangkan bahawa suami dipaksa melafazkan sumpah tanpa kerelaannya demi menjaga kepentingan isterinya sedangkan ada kaedah lain seperti fasakh yang boleh digunakandan apakah kepentingan majoriti rakyat sebuah negeri atau negara tidak begitu penting sepenting kepentingan seorang isteri kepada seorang lelaki.

Apa yang penting lafaz Ta’liq adalah haq suami sama sepertimana hukum cerai yang menjadi hak mutlaq bagi suami. Dalam masa yang sama hak bertanding menggunakan bendera parti adalah hak mutlak parti bukan hak seseorang calon.

Oleh kerana sistem demokrasi yang terlalu banyak kepincangannya ini boleh menyebabkan terjadinya pengkhianatan oleh seseorang calon terhadap amanah yang diberikan oleh majoriti rakyat maka kemudharatan ini mesti dicegah.
Parti berhak menetapkan syarat bagi membolehkan seseorang mewakili parti.

Seseorang ahli tidak pernah dipaksa mewakili partinya. Dia bebas memilih untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh parti ataupun tidak bertanding ataupun bertanding bebas atau boleh sahaja melompat parti sebelum bertanding. Oleh yang demikian lafaz ta’liq tersebut adalah hak suami tersebut yang bebas untuk diucapkan sama seperti ta’liq ; “jika kamu keluar dari rumah melalui pintu jatuh talak” yang pastinya tidak mempunyai sebarang kemaslahatan untuk dipelihara.

Untuk semua ahli parti, sebaiknya kita merujuk kepada Majlis Syura Ulamak atau Dewan Ulamak untuk mendapatkan penjelasan dan tidak perlulah kita melatah kerana mustahil perkara yang sebegini besar boleh dilakukan oleh pimpinan hanya berdasarkan nafsu dan pemikiran semata-mata.

Sumber :
dewanulamakpasperak.blogspot.com

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!