Seminar Memperkasakan Parti menolak Kerajaan Perpaduan yang menjadi isu panas sebelum ini. Perkara ini dipertegaskan oleh Datuk Presiden sendiri dalam ucapan perasmian dan penutup. Menurutnya isu ini tidak perlu dibangkitkan lagi. Keputusan menolak Kerajaan Perpaduan sudah lama diputuskan oleh PAS melalui muktamar tahunannya yang lalu, hanya media dan blog sahaja yang memainkan isu ini.
Seminar sehari suntuk itu juga telah menerima resolusi untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat, memperluaskan lagi hubungan dengan masyarakat Cina dan India melalui Kelab Penyokong PAS dan mendepani kemenangan dalam pilihanraya ke 13.
Suasana perbahasan dalam seminar walaupun agak panas namun tidak berlaku kekecohan dan pertelagahan sebagaimana yang cuba dibayangkan oleh media. Perbahasan yang panas masih dalam batasan yang penuh beradab. Perbahasan sebegitu memperlihatkan keterbukaan dalam PAS yang semakin dicemburui oleh pihak lain.
Datuk Presiden dalam ucapan penutup turut menyanjung segala kritikan dan teguran yang ditujukan kepadanya, beliau tidak merasa terhina dengan kritikan tersebut, malahan menerimanya dengan hati yang terbuka.