KELAINAN KONSERT HIJRAH ANJURAN SEMARAK

Dicatat oleh MisbahulMunir Friday, January 1, 2010


Malam tadi selepas bersama anak-anak mencari barang-barang keperluan persekolahan, kami sekeluarga ke Taiping menyaksikan persembahan konsert Hijrah anjuran SEMARAK (Sukarelawan Muslim Perak) di Taman Tasek, Taiping. Saya bukannya peminat konsert, tetapi saya tertarik kerana ia menampilkan artis-artis yang suatu ketika dahulu terkenal dengan imej rockers yang sekarang ini sudah berubah wajah. Dunia rock yang mengharumkan nama mereka ditinggalkan, namun mereka tetap mahu menghibur dengan imej dakwah dan kemanusian. Ini yang mengundang minat untuk saya menyaksikannnya.

Tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan konsert alternatif kepada orang ramai yang meminati konsert. Kebetulannya malam tadi orang ramai untuk menyambut ketibaan tahun baru masehi. Karnival jualan juga turut diadakan.
Imej yang cuba ditonjolkan oleh penganjur dalam konsert Hijrah malam tadi ialah Islam, bentuk publisiti juga berimejkan Islam dengan penampilan Ust Haslin Baharin sebagai hos istimewa, Azhan Atan (juara Akademi Nasyid), Radzi (Melissa), Mel (Wings), Blank (Gamma), Renggo (Arrow) dan Rahmat (Mega). Menariknya imej Ust ditonjolkan sebagai hos utama dalam konsert Hijrah.Walaupun imej yang cuba ditonjolkan Islam, rata-rata pengunjungnya adalah peminat rock, kelihatan remaja wanita yang tidak bertudung, berbaju t sahaja, seluar ketat, remaja lelaki pula dengan imej remaja rock, ada yang datang dengan pasangan masing-masing, ramai juga yang datang berkeluarga dengan penampilan yang sopan, berketayap, bertudung labuh dan sebagainya. Pendek kata semua lapisan masyarakat hadir dalam konsert malam tadi.Yang juga menarik, imej Islam yang cuba ditonjolkan oleh penganjur dan para artis berjaya mengubah suasana menjadi sangat sopan dan beradab, namun ia tetap menampakkan keceriaan dan kemeriahan. Orang ramai boleh menghormati konsep penganjuran yang dimahukan oleh penganjur. Tidak ada penonton yang menjerit-jerit menari bersama walaupun sebahagian lagu yang dinyanyikan oleh para artis merupakan lagu hit mereka dulu yang menjadi siulan anak-anak muda.

Ust Haslin sebagai hos utama malam tadi juga sangat menarik penampilannya, beliau membaca al Quran dan Hadis ala urdu dan hindi dengan suara yang sangat merdu, sekali sekali melagukan petikan-petikan lagu hindi dengan gaya yang cukup menarik. Celahan-celahan dalam bentuk tazkirah dan ceramah pendek cukup mengesankan, ia berkisar mengenai tanggungjawab seorang remaja muslim dan keluarga muslim terhadap Allah swt. Semua pengunjung merasa puas dengan persembahan malam tadi.

Konsert Hijrah malam tadi juga saya sifatkan sebagai satu pendekatan dakwah yang boleh menarik remaja-remaja muslim, peluang inilah yang terbaik untuk mereka didengarkan nasihat agama dan wasiat iman selain datang untuk berhibur.

Cuma yang mungkin terlepas pandang malam tadi ialah tidak ada pengasingan antara penonton (boleh dimaafkan kerana pengalaman pertama). Penonton lelaki di satu tempat yang berlainan dengan penonton perempuan, di tengah-tengah pula penonton yang membawa keluarga. Rasanya ia lebih manis dipandang sesuai dengan imej yang hendak ditonjolkan. Di tempat penonton pula gelap tidak berlampu, sekali-sekala sahaja sportligt dihalakan kepada penonton.

Namun sekalung tahniah diucapkan kepada Ust Akmal Kamaruddin dan Ust. Nuri yang menjadi tulang belakang penganjuran konsert hijrah malam tadi. Teruskan usaha saudara dalam melebarkan pendekatan dakwah bagi menarik anak-anak muda.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!