PERHIMPUNAN DI IPOH HARI INI - PROVOKASI JAHAT MUSUH PR

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, December 31, 2009

Hari ini kononnya ada perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat bagi mendesak Dr. Zambry meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak dan menyerahkan semula jawatan tersebut kepada YB Hj Nizar Jamaluddin.

Pakatan Rakyat Perak sejak dulu lagi memang tidak mengiktiraf Zambry sebagai Menteri Besar yang sah di Perak. Berbagai usaha telah dibuat oleh Pakatan Rakyat samada melalui gerakan politik dan undang-undang bagi menuntut keadilan. Apa yang Pakatan Rakyat buat semuanya melalui proses yang betul.

Sehingga sekarang, rakyat masih menunggu dengan sabar keputusan penghakiman dari Mahkamah Federal terhadap kes tersebut, rakyat Perak bahkan seluruh Malaysia hairan mengapa kes seumpama itu begitu menyukarkan hakim-hakim Mahkamah Federal yang arif dan bijaksana membuat penghakiman. Akibatnya rakyat semakin hilang kepercayaan proses keadilan di Malaysia.

Boleh jadi juga UMNO dan penyokong-penyokongnya sudah hilang keyakinan kepada Zambry dan BN di Perak, justeru itu kemungkinan besar perhimpunan hari ini dianjurkan oleh penyokong-penyokong UMNO bagi mendesak Menteri Besarnya sendiri meletakkan jawatan. Oleh kerana mereka mahu penyokong PAS, PKR dan DAP turut hadir sama dalam perhimpunan tersebut, maka mereka menyebarkan melalui pesanan SMS kononnya Pakatan Rakyatlah yang menganjurkan perhimpunan ini.

Saya sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Perak yang sering berbincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dalam mengatur program-program politik di Perak tidak pernah membincangkan perhimpunan yang kononnya akan diadakan pada hari ini. Penafian telahpun dibuat semalam oleh Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Ada beberapa kemungkinan mengapa perhimpunan ini cuba diadakan. Pertama boleh jadi juga sebagaimana yang saya disebutkan di atas, penyokong UMNO sendiri hilang keyakinan kepada Zambry dan BN Perak sebagai Menteri Besar yang sah di Perak, Mahkamah Federal pula lambat membuat penghakimannya, tidak dinafikan adanya penyokong UMNO yang rasional dan berfahaman terbuka, mereka tidak sanggup menanggung kemunafikan yang begitu lama, kesedaran ini memaksa untuk mereka menganjurkan perhimpunan seumpama ini.

Kedua mungkin sahaja anjuran rakyat Perak yang tidak menyebelahi mana-mana pihak di atas kesedaran yang sama dan mereka pula mula membuat perbandingan bahawa amalan pentadbiran dan dasar-dasar pemerintahan PR sebelum ini lebih amanah, adil, telus, wibawa dan berkebajikan, atau boleh jadi juga perhimpunan diadakan bagi menimbulkan provokasi jahat, ganas dan sebagainya yang kononnya dibuat oleh penyokong-penyokong PR.

Pakatan Rakyat mempunyai strategi tersendiri yang tidak perlu didedahkan di sini bagi menghadapi kemelut dan situasi politik di Perak. Pakatan Rakyat dengan semangat muafakat dan kesepakatan bersama mempunyai strategi politik jangka pendek dan jangka panjang bagi mengembalikan semula hak demokrasi. Rakyat akan diberi pendidikan politik yang sihat bagi menghadapi kemungkinan pembubaran DUN, kemungkinan pilihanraya kecil di mana-mana kerusi sekiranya berlaku kekosongan kerusi atau berhadapan dengan pilihanraya umum ke 13 akan datang.

Diharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan agenda dan provokasi jahat musuh-musuh politik yang sentiasa mahu menggugat keyakinan rakyat terhadap perjuangan PR di negara ini. Setelah cubaan mereka gagal di Selangor bagi mendesak PAS Selangor keluar Pakatan, kini mereka mencuba dengan strategi yang lain di Perak dan kita yakin strategi jahat mereka pasti akan gagal dan hancur. Sekali mereka boleh perbodohkan rakyat, bukan bermakna selama-lamanya rakyat akan jadi bodoh macam mereka.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!