Dua Tahun Pakatan Rakyat, PAS Kekal Sebagai Komponen Yang Penting

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, March 9, 2010

Pada hari ini, 8 Mac adalah hari yang paling bermakna buat rakyat dan Pakatan Rakyat (PR). Dua tahun yang lalu iaitu pada 2008 rakyat telah menunjukan betapa seriusnya mereka mahukan perubahan dalam kepimpinan negara. Kelantan kekal di tangan PAS dan lima negeri lagi jatuh ke tangan PAS, PKR, DAP iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan (Mujurlah Wilayah tidak ada DUN).

Dengan kejayaan itu, ia memberikan inspirasi kepada penubuhan PR yang mengukuhkan kedudukan rakyat yang bencikan kezaliman BN. PR menguasai 82 kerusi Parlimen dan BN menguasai 140 kerusi Parlimen.

Selepas 8 Mac 2008, Umno kembali menyedari bahawa mereka kini kembali bersendirian menjadi juara BN selepas kekalahan teruk komponen lain kecuali parti-parti di Sabah Sarawak. Umno cuba memujuk PAS untuk bergabung di Selangor, Perak dan Kedah. Di Perak mereka mengunakan Mufti Negeri itu, Tan Sri Harussani Zakaria untuk memujuk PAS mewujudkan kerajaan campuran dengan Umno. Namun PAS terbukti sebagai parti yang mementingkan persahabatan dan tidak pernah lupa akan dosa-dosa Umno-BN kepada rakyat. Ke semua tawaran penuh tipu muslihat itu ditolak dan PAS nekad mewujudkan Kerajaan Pakatan.

Walaupun ramai yang mempersoalkan pendirian PAS berhubung usaha Umno itu, namun jelas bahawa PAS adalah parti yang berprinsip dan tidak mudah terpengaruh. PAS memiliki 3 Menteri Besar di Kelantan, Kedah dan Perak ketika itu.

Umno yang kecewa dan tidak berpuashati dengan kekalahan teruk itu menukar Presiden mereka pada tahun 2009 dan Tun Abdullah Badawi disingkirkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Sedang diperingkat PR, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen dan memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula di Permatang Pauh sebagai tiket untuk memasuki semula Parlimen sejak dipecat oleh Tun Mahathir pada tahun 1998.

Dengan kembalinya Anwar yang kemudiannya dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, PR menjadi lebih kukuh. Usaha mewujudkan PR secara rasmi dibuat dan PR didaftarkan secara rasmi dalam senarai Pendaftar Pertubuhan.

Kerusi PR bertambah selepas PAS kembali menguasai Parlimen Kuala Terengganu dan menjadikan kedudukan di Parlimen 83 PR, 139 BN pada Januari 2009. Dan BN ketika itu terdesak untuk melakukan rombakan strategi.

Tanpa memikirkan kepentingan dan sensitiviti rakyat, Umno-BN melakukan kezaliman terbesarnya dengan merompak Kerajaan PR di Perak melalui strategi membeli 3 orang ADUN- Behrang, Changkat Jering dan Jelapang.

Gabungan PR yang begitu muda, dengan usia kurang dari dua tahun ketika itu turut menerima pelbagai cabaran.Umpama anak kecil yang belajar bertatih, PR tidak mengenal erti putus asa.

Dengan kesepakatan PR, cadangan DAP Kedah untuk keluar PR ditarik balik dan semua pihak kembali bekerjasama.Di Selangor, Umno cuba melagakan PR dengan isu-isu Kerajaan Perpaduan, isu agama-Arak, Nama Allah, Kepala Lembu dan sebagainya. Namun PAS mempunyai cara yang tersendiri, dan PR tidak dapat digoyahkan.

Tidak cukup menyerang PAS, DAP di Selangor difitnah sebagai parti yang ditaja oleh samseng dan kongsi gelap. Malah isu kematian Teoh Beng Hock juga menjelaskan lagi usaha memfitnah DAP yang dikatakan menyalahgunakan dana rakyat melalui penyelewengan beberapa ADUNnya. Namun hingga kini belum ada ADUN yang disabitkan bersalah. Rakyat pula bertanya, kenapa ADUN PR dikejar oleh SPRM macam mengejar penjenayah besar, sedangkan Khir Toyo dan beberapa ADUN BN yang dilaporkan mengamalkan rasuah semasa memerintah lambat diambil tindakan.

PKR juga diserang dengan pelbagai isu, dari kes ADUN Bukit Lanjan hinggalah kes YBK yang mana jelas Umno cuba menunjukan kepada rakyat yang kononnya PR menindas rakyat.

Di Pulau Pinang, isu kontraktor Melayu tidak habis-habis diungkitkan. Tetapi rakyat tahu bahawa begitu banyak kontraktor Melayu mendapat manfaat dengan pemerintahan PR. Yang gagal dapat projek adalah kontraktor Umno yang selalu mengambil tender kemudian menjualnya pada bukan Melayu.

Di Kelantan, Umno-BN menumpukan serangan kepada batang tubuh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pelbagai isu peribadi beliau dijadikan bahan oleh Umno, namun rakyat Kelantan lebih mengenali beliau menolak fitnah-fitnah yang dilontarkan Umno.

Penat menabur fitnah, kini BN berusaha kembali untuk menguasai 2/3 Parlimen dengan membeli beberapa ahli Parlimen. Bermula dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas, BN kemudiannya membeli secara borong 3 ahli Parlimen PKR yang keluar secara bergilir-gilir.Bermula dengan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed, kemudian Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri. PKR turut memberikan satu lagi ahli parlimen yang paling bermasalah iaitu ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sebagai 'hadiah'- Beli 3 dapat 1 'percuma'. Yang pasti ramai menganggap mereka adalah 'sampah-sampah' terbuang yang dihambat keluar bagi membersihkan PR.

Walaupun PR kini tinggal 78 kerusi namun, itu sedikitpun tidak melunturkan kekuatan PR. Pergolakan Pakatan secara dalaman dan luaran adalah lumrah bagi mana-mana organisasi. Namun PR masih kekal bersatu walaupun permulaannya seperti anak-anak yang mula bertatih, namun PR cepat belajar dari apa yang berlaku.

PAS mengucapkan tahniah buat seluruh kepimpinan PR, ahli dan mereka yang menyokong PR selama 2 tahun kebelakangan ini. Kekuatan PR bukanlah kerana satu, dua atau tiga individu sahaja. ianya adalah kekuatan semua pihak dari akar umbi hinggalah ke pucuk pimpinan.

Kepada semua wakil rakyat PAS berharap agar anda menunaikan amanah rakyat dengan sebaiknya dan ingatlah, sesungguhnya amanat rakyat yang terpikul dibahu bukanlah barang mainan yang boleh digadai sana sini. Jika hari ini anda fikir boleh menjual diri anda dengan wang ringgit, ketahuilah ketika mati nanti tidak mustahil akan datang orang-orang yang membenci kezaliman itu diatas kubur anda pula.

Di peringkat PAS kita mengharapkan kerjasama dari semua ahli, penyokong dan kepimpinan untuk sama-sama melangkah kehadapan demi untuk kebaikan rakyat dan semua pihak. PAS meletakkan perjuangan Islam sebagai keutamaan dalam memberikan keadilan, kesejahteraan dan manfaat buat semua. Kerana perjuangan Islamlah yang meletakan PAS berdiri teguh pada hari ini dan menjadi komponen Pakatan yang amat penting, efektif dan progresif hari ini.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!