Jika diteliti, luka paling parah di dalam Umno terselak dan ternampak merah apabila Presiden UMNO tidak mengiktiraf kepimpinan Pemuda apabila Ketua Pemuda tidak dipaku apa-apa jawatan dalam cabinet, sedangkan Razali orang nombor dua Pemuda Umno dan Mukhriz calon Ketua Pemuda yang kecundang di tangan Khairy Jamaluddin diberikan jawatan. Meskipun jawatan itu timbalan menteri, sebenarnya maruah Pemuda Umno telah direndah-rendahkan oleh presidennya sendiri Mohd Najib.
Begitu pula, parti PPP sepatutnya keluar BN sebaik sahaja menerima padah akibat kemerosotan sokongan rakyat dalam pilihan raya umm 2008. Paling dayus ialah Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang kalah di Taiping telah dihina apabila cabinet Mohd Najib terus mengekalkan T. Murugiah berada di jawatan timbalan menteri. Sedangkan Murgiah tidak mendapat restu, malah berlawan dengan Kayveas. Jelas PPP akan terus kecut pengaruh jika terus dalam BN, kerana rakyat melihat pemimpinnya sudah gagal memartabatkan kewibawaan parti .
MCA, tidak kurang juga berpura-pura bergembira selepas pemilihan khasnya pada bulan 28 Mac lalu. Alih tak alih, Chua Soi Lek yang mengaku terlibat dengan skandal seks dipilih sebagai Presiden. Di mana lagi moral MCA. Tetapi itulah realiti pemimpin-pemimpin parti dalam BN. Mereka sudah korup, lalu dilihat korup-sekorup-korupnya (absolutely corrupts). Semuanya angkara Muhyidin yang menasihatkan MCA jadi begitu sehingga dipilih semula Soi Lek. Lalu Chew Mei Fun, Ketua Wanitanya terasa malu, terus meletak jawatan. Mei Fun lebih bermoral daripada Soi Lek!
Apa dah jadi dengan MIC? Kata-kata Samy Vellu, presiden parti India terbesar di Negara ini telah tidak laku gadai. Keputusan mesyuarat tertinggi parti itu (peringkat kepimpinan pusat) telah memutuskan mahukan G Palanivel sebagai calon BN di Hulu Selangor. Keputusan itu adalah kegagalan MIC . Parti India itu dilihat gagal mencium bau protes rakyat, tatkala empat penggal Palanivel selaku menteri dan ahli parlimen di Hulu Selangor, tiba-tiba rakyat menolaknya tahun 2008. Ia bukti kukuh jasa-jasa pembangunan atas nama ‘Ini satu lagi projek kerajaan BN’ telag tidak mengubah nasib hidup pengundi Hulu Selangor, khas pengundi India.
Paling malang lagi bagi MIC, tatkala Najib mengumumkan kerusi Hulu Selangor akan kekal untuk MIC bertanding, tiba-tiba muncul lagi juak-juak sebelah Umno dok menjaja nama Tan Sri Muhammad Mohd Taib sebagi calon BN. Tidak padan dengan menjaja nama,mereka juga telah menaikkan sepanduk gambar Muhammad sebagai bukti hasrat ahli Umno tidak ingin MIC jadi calon Hulu Selangor. Apabila Umno gagal mempengaruhi Mohd Najib atas nama Muhammad, mereka menjaja pula V Mugilan, Ketua Pemuda MIC di situ.
Sehubungan itu, MIC patut keluar BN atas angkara Umno itu. Malah ahli jawatankuasa Umno bahagian Hulu Selangor sendiri patut membubarkan Umno bahagian dan sebagai tanda protes mereka boleh menyertai KeADILan.
Justeru itu, adalah benar sekali pendirian dan tujahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (dari Mekah melalui telefon) dalam menanggapi kemelut politik di balik pilihan raya kecil Hulu Selangor.
Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, “Umno kalut berkempen nak ko Mat Taib jadi calon Hulu Selangor, sedangkan di situ kerusi MIC, padanlah dengan pendirian PAS yang tak terima untuk berbaik dengan Umno.”
Maksud jelas daripada tujahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu adalah agar PAS sentiasa menoleh ke depan dan menilai setiap tingkah laku pemimpin Umno di dalam mengurus permuafakatan dan kerjasama politik dengan parti kawan dan parti lawan. Apa yang jelas, pengalaman PAS yang pernah berkawan dengan Umno, hakikatnya parti itu tidak boleh dipercayai. Umno akan bersikap oportunis dan pragmatis semata-mata untuk meraih untung politik di atas kesusahan parti kawan dan parti lawan serta rakyat jelata menyokongnya. Sebagaimana tahun 1969, ketika Umno lemas dek kerana rusuhan kaum, pemimpin Umno bersujud sembah merayu-rayu memujuk PAS bersama mereka. Namun, malang sekali tatkala PAS bermasalah, mereka mencurah gasoline ke dalam rumah tangga PAS. Akhirnya PAS terbelah dan kecundang di Kelantan. Pengalaman inilah yang menjadi ukuran dan hujah bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tegas menolak Umno dan terus serik tidak nak berbaik-baik dengan UMNO.
Sesungguhnya, Tuhan Yang Esa Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-Nya yang sentiasa bertaubat dan bertekad membina perpaduan utuh sesama makhluk.
Wan Nik Yusuf
Setpol YAB MB Kelantan