Ustaz Hassan Shukri mengakhirinya hayatnya dalam perjuangan. Beliau kembali ke rahmatullah sekembalinya dari mengikuti Muktamar Tahunan PAS Pusat yang berlangsung di Putik, Kelantan.
Saya sempat menegurnya dengan ucapan tahniah apabila jasanya sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat satu ketika dulu dihargai oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dalam Muktamar Tahunannya kali ini. Beliau tersenyum simpul sambil mengucapkan terima kasih.
Dalam perjalanan ke LCCT petang tadi untuk mengikuti program bersama saudara baru di Sarawak anjuran Yayasan Amal, saya mendapat mesej mengatakan Ustaz Hassan Shukri telah meninggal dunia. Pada mulanya saya ragu menerima mesej tersebut, maklumlah satu ketika dulu saya menerima mesej mengatakan Ust Hassan Shukri meninggal dunia, ketika itu saya sedang mengikuti program di Sabah anjuran Pemuda PAS Sabah, lantas saya meminta para hadirin membaca Al Fatihah, rupanya orang lain yang meninggal dunia di Taman Melewar yang namanya sama. Begitu juga Al Marhum Ust Fadhil, berita mengenai kematiannya mendahului hari kematian yang sebenar, Dr. Abdul Aziz Hanapi juga pernah diberitakan begitu, sedangkan beliau masih sihat sehinggalah sekarang ini.
Jadi amat wajarlah orang ramai terutamanya ahli-ahli PAS meragui berita seumpama ini, sementalah pula beliau hadir dalam Muktamar di Kelantan dalam keadaan yang sihat, gembira dan ceria. Beliau juga kelihatan ketawa kecil melihat gelagat para pembahas yang mencuit hati dan juga celoteh Pengerusi Tetap yang tidak kering gusi dibuatnya.
Saya segera menghubungi YB Salehuddin Ayob yang juga menetap di Taman Melewar. Beliau mengesahkan berita ini. Lantas saya terus menghantar mesej pada semua pimpinan PAS dan kawasan-kawasan akan berita sedih ini.
Ahli-ahli PAS sangat sayang kepada Almarhum kerana pengorbanan dan komitmennya yang begitu tinggi dalam perjuangan. Tidak pernah kenal penat lelah, tidak pernah ambil hati, tidak pernah kecil hati, merajuk dan sebagainya. Betapa sayangnya kita semua kepadanya, namun Allah swt lebih menyayangi beliau berbanding para hambanya. Allah swt telah menjemputnya untuk ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solehin.
Sayang sekali, saya tidak sempat menziarahinya. Sekadar iringan Al Fatihah dan doa semuga rohnya ditempatkan oleh Allah swt bersama para syuhada dan solehin. Amin.
USTAZ HASSAN SHUKRI AKHIRI HAYATNYA DALAM PERJUANGAN
Dicatat oleh
MisbahulMunir
Tuesday, June 15, 2010