Perpaduan Melayu : Supaya Lupa Isu Negara

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, July 22, 2010


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan kepada semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat jangan terpedaya dengan tektik media Umno untuk menenggelamkan isu negara yang bertimbun-timbun sekarang yang mengambarkan kerajaan yang ditunjangi Umno di negara ini semakin rapuh dan reput. Ketika gelombang krisis keyakinan kepada Umno dan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang karam, maka perpaduan Melayu dijadikan sebagai benteng untuk menutup bangkai gajah yang terlalu besar. Slogan 1 Malaysia nampak tidak menjadi dengan gelagat Perkasa dan kenyataan Datuk Nasir Safar.

PAS menyedari ini adalah sebahagian daripada tektik media untuk mengalih isu yang sebenar dan melupakan isu pokok yang mencengkam rakyat. Mereka melontarkan isu ini melalui proksi mereka Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantara, untuk menunjukkan bahawa mufti yang mencadangkan perpaduan ini, apabila PAS menolak maka ada peluang untuk menuduh PAS sombong dan angkuh.

Perlu diingat bahawa isu perpaduan Melayu diuar-uarkan ketika rakyat didahulukan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga gula pada 16/7/2010. Pemimpin Umno hendak rakyat leka dan berbincang mengenai isu perpaduan Melayu, yang tidak pernah berbangkit langsung dalam mesyuarat tertinggi PAS. Hajat mereka supaya rakyat tidak marah mengenai kenaikan harga minyak dan gula. Perlu dingatkan bahawa gula, tepung dan minyak akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat kearah untuk menghapuskan subsidi di negara ini dalam masa 3-5 tahun.

PAS hendak mengingatkan kepada rakyat, bagaimana media diarahkan supaya jangan sama sekali meletakkan tajuk berita “harga barang naik”, ketika ditaklimat pada 15 hb Julai 2010. Sebaliknya media perlu meletakkan “subsidi dikurangkan”, “rasionalisasi”, menstrukturkan semula supaya rakyat yang tidak faham dan ada yang faham harga barang turun. Maka tidak hairanlah kepada kita pada hari ini media proksi Umno memainkan isu perpaduan supaya rakyat lupa isu negara yang begitu banyak dan kenaikan harga barang.

PAS hendak memaklumkan kepada semua ahli dan pimpinan PAS supaya fokuskan kerja kita untuk menggantikan Umno di negara ini. Penerangan dan dakwah kepada ahli Umno yang tidak faham perjuangaan PAS perlu dilakukan secara berterusan, usahkan dilayan segala ajakan dan pujuk rayu Umno untuk melamar PAS, kita biarkan cinta Umno tidak berbalas dan biarkan Umno “angau” seorang diri.

Petunjuk ekonomi negara semakin tertekan dengan kadar faedah pinjaman bank dinaikkan. Bank Negara Malaysia pada 8 Julai lalu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi kali ketiga tahun ini kepada 2.75 peratus. Susulan itu, bank turut menaikkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing. Maybank menaikkan BLRnya sebanyak 0.25 peratus kepada 6.30 peratus. Semuanya gara-gara pemimpin negara yang boros dan rasuah sehingga amat dirasai oleh rakyat biasa di negara ini.

Begitu banyak isu-isu negara yang mengambarkan Umno sudah tidak mampu mengemudi negara, antaranya peruntukan saham bumiputera lesap sebanyak RM52 bilion, jenayah meningkat, anak luar nikah Melayu sahaja 17,303 orang (2009), enjen kapal terbang hilang, kapal selam berharga RM1.7 bilion tidak boleh menyelam, hutang negara RM362.4 bilion, serah telaga minyak blok L dan M pada Brunei yang bernilai RM320 bilion (kalau perbelanjaan negeri Kedah RM400 juta, dapat belanja selama 700 tahun), terlepas Pulau Batu Putih pada Singapura, Pos Malaysia rugi RM 227 juta, 217 hektar tanah serah pada Singapura, serah 50 peratus kepada Singapura untuk membangun Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), wang Felda susut daripada RM4.08 bilion 2004 hanya tinggal RM1.35 bilion pada tahun 2009, membazir wang rakyat RM77 juta kepada APCO Israel setahun untuk menjadi penasihat komunikasi.

Isu-isu inilah yang perlu disampaikan kepada rakyat, maka jangan kita hiraukan pujukan Umno melalui proksinya, PAS sudah tegas dengan Pakatan Rakyat. PAS tidak akan mencari nahas untuk untuk mencari pasangan hidup dengan orang yang ada masalah kesihatan yang sukar hendak diubat.


Ustaz Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Loading...

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!