Tun Dr Mahathir Ketinggalan Keretapi

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, August 12, 2010


Parti Islam Se-Malaysia PAS menyifatkan Tun Dr Mahathir orang yang ketinggalan kereta api dalam ulasan politik negara pada hari ini. Beliau menuduh bahawa kerjasama PAS dan DAP tidak ikhlas, hanya untuk mendapat sokongan orang Cina. Hebat sungguh Tun Dr Mahthir yang boleh membaca keikhlasan PAS, mungkin makamnya sudah sampai ke maqam mushahadah yang boleh tilik hati perut orang. Apakah salah PAS dan Pakatan Rakyat berpakat untuk menegakkan keadilan yang dilihat oleh semua kaum, dasar BN tidak lagi menjamin keharmonian dan pengagihan kekayaan kepada mereka yang berhak dibela. Umno yang tidak dapat menyembunyikan penindasan sesama bangsa dan agama. Perjuangan “Umno putera” seolah khazanah negara ini milik mereka sahaja.

Tun Dr Mahathir memberi pandangan kononnya PAS tidak ikhlas dalam Pakatan Rakyat, beliau hendak samakan sikap jahat yang ada pada beliau dengan apa yang ada kepada PAS. Janganlah perangai buruk beliau hendak disamakan dengan PAS. Ketika beliau berkuasa dahulu, Tun Dr Mahathir jika bercakap di pentas antarabangsa, memang hebat. Beliau pernah mendapat gelaran “Adi Wira Jagat” oleh puak pengampu dalam Umno. Beliau menjadi hero mengecam dunia barat yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia, sedangkan negara yang beliau pimpin waktu itu demokrasi dimatikan dan beratus mereka yang ditangkap dan disumbat dalam penjara kemunting tanpa bicara di bawah ISA. Zaman beliau permit Harakah digantung penerbitan, ceramah diharamkan, royalti di Terengganu ditarik balik, mufti dipecat, ulamak dikecam, bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat ditarik.

PAS berpandangan Tun Dr Mahathir semakin resah dengan perkembangan politik negara, yang sudah meninggalkan pemikiran politik perkauman yang beliau warisi. Generasi muda yang terdedah dengan maklumat terbuka mahu mewujudkan kerajaan yang telus dan adil. Paling menakutkan sekali ialah jika Pakatan Rakyat berkuasa di peringkat pusat, inilah yang menjadi mimpi ngeri beliau. Maka beliau cuba hendak menimbulkan keraguan kepada pengundi Cina terhadap kejujuran PAS. Dalam masa yang sama menakutkan pengundi Melayu supaya menjauhi PAS, kerana menjadi kuda tunggangan Dap.

PAS berpendapat Dr Mahathir seorang yang cukup kecewa dengan parti yang beliau pernah terajui selama 22 tahun. Beliau cuba hendak mengalihkan isu yang melanda negara pada hari ini samaada dari segi politik, ekonomi, kehakiman dan keruntuhan sosial di kalangan remaja. Kita mendoakan semoga Allah panjangkan umurnya untuk melihat kesan daripada dasar yang beliau laksanakan dan warisi kepada pengganti beliau sehingga rakyat dihimpit dengan berbagai masalah di negara ini.

Sebelumnya Tun Dr Mahathir cuba hendak bela secara membuta tuli Kerajaan BN kerana pelaburan langsung asing (FDI) yang lari daripada negara ini. Beliau mengatakan kebanyakan negara dan syarikat asing tidak mempunyai wang untuk dilaburkan di luar negara, sebaliknya mereka juga ingin melabur di negara sendiri berikutan kadar pengangguran yang tinggi di tempat masing-masing. Walaupun hakikatnya di negara-negara jiran FDI lebih baik daripada Malaysia. Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.


Beliau membela hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara. Tun Dr Mahathir juga kena membuktikan supaya Tun Abdullah Ahmad Badwi tidak menempelak beliau, kerana dulu beliau mengecam jikalau Tun Abdullah letak jawatan maka Umno dan negara akan maju. Sekarang Tun Abdullah mampu senyum dan biarkan Tun Mahathir terjun dengan labunya. Yakinlah PAS mampu menggantikan Umno di negara ini insyaAllah.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat


About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!