Selamat bertemu kembali dalam blog saya ini kepada semua pengunjung-pengunjung. Saya menyepi seketika kerana kurang berkesempatan membuka internet. Dua hari sebelum Syawal, saya bersama keluarga beraya di kampung tercinta di Sungai Tiang Darat, hampir seminggu berada di kampung. Kampung Sungai Tiang Darat bukanlah kawasan pendalalam sangat, tetapi line untuk kemudahan internet tidak berapa clear. Tidak terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya e'idul fitri, taqaballlahu minna wa minkum, wa siyamana wasiyamakum, minal a'edin wal faizin, kullu am wa antum bikhair.
Solat E'dul Fitri dikerjakan di Masjid Istiqamah, masjid yang usianya hampir 100 tahun, seni binaan masih asli walaupun sentiasa diubah suai untuk keselesaan ahli jamaah. Masjid ini dibina atas semangat gotong royong, menerima hanya sumbangan orang ramai. Tidak menerima sebarang sumbangan dari pihak kerajaan. Masjid ini masih mengekalkan beberapa amalam tradisi seperti jamuan makan selepas selesai khutbah raya, jamuan makan dibawa sendiri oleh penduduk kampung. Inilah saat yang paling seronok, kerana inilah peluang bertemu dengan rakan-rakan sepermainan dulu ketika diusia kanak-kanak. Kami makan dalam daun pisang yang dibawa dalam ambeng oleh penduduk kampung.
Hari pertama, kedua dan ketiga inilah peluang kita kunjung mengunjung dari rumah ke rumah, dari rumah yang paling dekat hinggalah yang agak jauh. Kesempatan ziarah raya, saya sempat diminta untuk mentahnik dan mencukur bayi seorang sahabat yang baru seminggu dikurniakan cahaya mata.
Sepanjang Ramadahan Alhamdulillah PAS Kawasan Bagan Datoh berjaya menganjurkan program ehya' Ramadhan. Antara program yang berjaya dianjurkan majlis berbuka puasa, tazkirah dan solat sunat tarawikh di beberapa buah masjid, surau dan markaz di sekitar Bagan Datoh. Alhamdulillah semua program tersebut dapat dihadiri walaupun berulang alek selanh sehari dari Ipoh ke Bagan Datoh. Selain itu, program tersebut diserikan dengan majlis tazkirah dan penyampaian hamper kepada warga Bagan Datoh yang memerlukan. Alhamdulilllah tahun ini lebih 300 orang warga miskin diberi sumbangan hamper berupa keperluan dapor. Semua sumbangan adalah hasil derma orang ramai yang disalurkan melalui PAS Kawasan. kepada semua penderma diucapkan ribuan terima kasih.
Antara kampung yang sempat saya kunjungi untuk berbuka puasa, bertarawikh, tazkirah dan penyampaian sumbangan hamper ialah Masjid Matang Kunda, Masjid Rungkup Kecil, Masjid Simpang 3, Surau Yasiniah Sg. Batang, Surau Pt. Che Maja Baroh, Surau Tebuk Imam Baroh, Surau Sungai Betul, Surau Pt. 1 Sg. Pergam, Masjid Sg. Hj Muhammad, Surau Tebuk Che Agus, Surau Sg. Nipah Baroh, Surau Rumah Awam Bg. Datoh, Dewan Sg. Lancang Rungkup, Kg Kunci Ayer dan Markaz PAS Sg. Tiang Darat. Mana-mana warga miskin yang uzur, sumbangan hamper disampaikan dari rumah ke rumah.
Usaha murni ini ada juga segelintir pengomen dalam blog ini yang mempertikaikan, kononnya sedikit sumbangan yang dihulurkan tidak mampu mengubah nasib rakyat yang miskin, kononnya apa yang BN buat selama itulah yang mampu mengubah nasib rakyat. Kita akui sumbangan hamper tidak mampu mengubah status hidup rakyat, tetapi sekurang-kurangnya sumbangan tersebut meringankan beban rakyat dan juga sebagai tanda simpati, kasih sayang dan tanggungjawab sesama insan.
UMNO dan Datuk Zahid turut memberi sumbangan hamper yang boleh jadi nilainya lebih banyak berbanding yang disumbangkan oleh PAS juga tidak mampu mengubah nasib, bukan itu sahaja malahan banyak program yang dianjurkan bagi membantu rakyat miskin di Bagan Datoh, namun kehidupan mereka masih juga tidak berubah dengan menjadi kaya serta merta. Kalau tidak masakan orang yang sama sahaja setiap tahun menerima sumbangan hamper. Dan PAS tidak pula mempertikaikan usaha yang dibuat oleh UMNO dan Datuk Zahid, usaha yang baik bagi membantu rakyat miskin kita alu-alukan, tetapi jangan mempertikaikan usaha dan amal baik yang orang lain buat.
Yang boleh mengubah nasib adalah kaum itu sendiri sebagaimana maksud firman Allah swt. dalam surah Ar-Ra’du ayat 11:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.
Kemeriahan Syawal diserikan dengan tiga orang anak angkat dari Sarawak yang tidak berhari raya di kampung halaman mereka di Sarawak. Mereka adalah antara pelatih-pelatih sukarelawan dakwah yang sedang mengikuti kursus selama setahun anjuran Yayasan Amal Malaysia. Saya kagum dengan kekentalan jiwa mereka yang tidak terusik dengan kesedihan apabila mendengar laungan takbir raya, pada hal itulah kali pertama mereka beraya di perantauan. Sepanjang berhariraya bersama kami, mereka merasai kelainan budaya yang menjadi pengalaman yang tidak mudah dilupakan.Tahun ini PAS Bagan Datoh berjaya menganjurkan Jamuan Raya bersama anak rantau Bagan Datoh. Program yang julung-julung kali diadakan berjaya menghimpunkan hampir 100 anak rantau Bagan Datoh yang pulang bercuti di kampung. Mereka begitu gembira kerana diraikan oleh PAS Kawasan Bagan Datoh. Dalam ucapan mengalu-alukan kehadiran anak rantau saya sempat melancarkan kempen mengundi balek kampung kepada anak-anak rantau yang berada di luar kawasan, mereka menyambut baik kempen ini, dan turut akan mengembelingkan tenaga bagi berkempen di luar bagi memastikan anak rantau Bagan Datoh mendaftar sebagai pemilih di kampung halaman masing-masing.
Saya juga sempat melancarkan kutipan Tabung Pembinaan Banguan Dewan Serbaguna PAS Kawasan Bagan Datoh yang sedang dalam pembinaan. Dewan tersebut bakal menjadi pusat aktiviti PAS Kawasan Bagan Datoh yang lebih selesa dan besar. Sumbangan-sumbangan dari anak-anak rantau sangat dialu-alukan. Sekiranya dana mencukupi Insya Allah awal tahun depan dewan tersebut boleh digunakan.
Majlis jamuan hari raya PAS Kawasan Bagan Datoh kali ini berbeza dengan jamuan yang lepas, kali ini majlis diadakan di empat zon, Zon Rungkup telahpun diadakan beberapa malam yang lepas, Jumaat ini di zon Selekoh bertempat di Kg. Sungai Batang, akan datang di zon Bagan Datoh dan Zon Sungai Sumun serta Hutan Melintang. Program ini diadakan diperingkat zon bagi membolehkan orang-orang kampung menghadirinya.
Saya juga berkesempatan memenuhi jemputan berbuka puasa dan menyampaikan tazkirah di tempat-tempat lain. Istimewanya di Kg Raja, Kelang, kerana apa ? Beberapa rakan bukan Islam dari kaum Cina & India turut menghadiri majlis berbuka puasa dan juga mendengar tazkirah yang disampaikan.Turut hadir YB Shuhaimi ADUN Sri Muda, YB Dr Xavier ADUN Sri Andalas, Dewan Himpunan Penyokong PAS serta YB Dr Siti Mariah Mahmud Ahli Parlimen Kota Raja.
Hampir seminggu berada di kampung berhari raya, kini kami berada pula di Ipoh untuk berhari raya di sini pula, Alhamdulillah rumah pertama yang kami ziarahi rumah Pesuruhjaya PAS Perak, dan rumah Ketua Dewan Ulama PAS Perak. Anak angkat bertambah dari 3 kepada 6 orang, penambahan bilangan anak angkat menceriakan lagi suasana raya di Ipoh. Kesemua anak-anak angkat turut saya ajak menziarahi PJ dan Ketua Dewan Ulama PAS Perak, kesempatan ziarah diisi dengan sedikit tazkirah dan amanat oleh pimpinan, Alhamdulillah ia cukup mengesankan sekali.
Sepanjang minggu ini dan minggu depan, kesempatan masih dalam suasana syawal, saya gunakan peluang ini untuk program ziarah menziarahi sahabat handai. Budaya di Ipoh tidak sebagaimana di kampung. Tiga tahun tinggal di Ipoh, saya tidak mengecapi nikmat syawal melalui budaya ziarah menziarahi antara rumah ke rumah. Tuan rumah yang ingin mengundang sahabat handai ke rumah kena anjur rumah terbuka, tuan rumah akan mengundang rakan taulan, yang tidak terima undangan sudah pasti tidak akan datang.
Berbeza budaya di kampung, tanpa buat majlis rumah terbuka, setiap hari ada sahaja jiran tetanga, saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan sekampung kunjung mengunjung. Suasana inilah yang memeriahkan syawal. Selama berada di Ipoh, tidak ada sahabat handai yang datang ziarah. Mereka tunggu untuk diajak datang ke rumah. Kalau kita mahu ziarah orang lain sekalipun kena beritahu nak datang ziarah. Hujung minggu pula memenuhi undangan ke jamuan raya kawasan-kawasan dan rumah terbuka pimpinan PAS. Suasana masih lagi meriah. Alhamdulillah rumah terbuka PAS Kawasan Bukit Gantang dan rumah terbuka Al Fadhil Ust Ahmad Awang sempat kami kunjungi. Program seumpama ini berjaya menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.