Saya belum pernah berjumpa pengalaman bertugas dalam pilihanraya sebagaimana di Muara Tuang, Samarahan. PAS kali pertama bertanding di situ. PAS tidak pernah wujud di Muara Tuang, ahli dan cawangan PAS tidak ada, tiba-tiba PAS menyertai pilihanraya. Bayangkan, kami datang bertugas dengan satu cawangan dan ahli PAS yang tidak pernah wujud.
Berbekalkan semangat dan pengalaman di tempat lain sekalipun berbeza situasi, akhirnya kerja-kerja pilihanraya dapat dijalankan dengan baik. Setiap malam ada sahaja ceramah diadakan, dan setiap kali ceramah, penduduk kampung di situ mahu PAS ditubuhkan. Alhamdulillah sehingga sekarang 5 cawangan berjaya ditaja untuk ditubuhkan. Kg. Pinang, Kg. Singgang Baru, Kg. Tanjung Bundong, Kg. Pengkalan Kuop dan Taman Desa Ilmu.
Kunjungan pimpinan PAS dari Semenanjung disambut baik oleh masyarakat setempat, hanya seorang dua yang kurang senang dengan kehadiran kami. Di Kg. Lubuk Ria, Ketua Kampung dengan berlagak sombong dan angkuh cuba menghalang kami berceramah di sebuah rumah, pada hal tuan rumah memberi keizinan dan polis memberi kebenaran.
Kami bersabar, manakala tuan rumah semakin bersemangat untuk meneruskan majlis, orang kampung yang hadir disuruhnya pulang oleh Ketua Kampung, kami juga dimintanya meninggalkan kampung tersebut. Amarannya kami tidak pedulikan, ceramah diteruskan sehinggalah selesai. Semua yang hadir puas hati, gambaran yang Ketua Kampung beri kononnya ceramah PAS memecah belahkan masyarakat meleset, ceramah kami lebih kepada memperkenalkan perjuangan PAS dan Islam, sedikit sebanyak mendedahkan amalan rasuah kerajaan sekarang.
Diperkampungan rumah panjang kaum Iban di Kg. Pati hampir sama kejadiannya. Ketua Kampung cuba menghalang dengan berbagai ugutan. Kami tetap teruskan, penduduk di rumah panjang menerima kedatangan kami dengan baik, kami diberi peluang menyampaikan ucapan. YB Husam, Hanipa Maydin dan beberapa yang lain menyampaikan ceramah. Penduduk rumah panjang bersorak gembira dan bertepuk tangan mendengar ceramah yang kami sampaikan.
Ini semua petanda yang cukup baik untuk PAS terus bertapak di Kota Samarahan. Kemaraan PAS umpama air yang turun dari langit menuju ke bumi, tidak ada kuasa yang boleh menghalang melainkan Allah swt. Sifat air pula bila sampai dibumi, ia akan mengalir, sekalipun ada halangan, air tetap akan mengalir untuk menuju ke muara sungai, sekiranya dihadang, ia akan membelok ke kiri atau kanan, sekiranya halangan besar, air akan berkumpul, dan bila ia sudah besar pasti tembok atau apa sahaja yang menghalang akan dirempohnya. Matlamatnya mesti sampai ke tempat yang dituju. Begitulah perjuangan PAS. Kita akan mengelak bila cuba dihalang, kita akan cari jalan yang lain. Sehinggalah halangannya begitu kuat, pasti PAS akan merempoh halangan tersebut untuk menuju ke sasaran.
Setiap hari pimpinan PAS dan PR dari Semenanjung bergilir ganti ke Muara Tuang. Semalam dua tokoh besar PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat turun ke Muara Tuang. Kehadiran mereka ditunggu-tunggu, seluruh lapisan rakyat menghadirinya.
Sehingga sekarang, tokoh-tokoh besar PA yang sudah turun ke Muara Tuang ialah Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Cikgu Mustapa Ali, YB Mahfuz Omar, YB Husam Musa, Hanipa Maydin, Ust Abu Bakar Chik, Mohd Sabu dan lain-lain.
Tiga hari selepas penamaan calon, kami berdepan dengan masalah calon yang sering diganggu oleh perbuatan sihir. Hari pertama kami selepas penamaan calon, Kak Ani, calon PAS tiba-tiba tidak mampu menjawab soalan wartawan, lidahnya jadi kaku. Pada sebelah malamnya, calon sekadar boleh memberi salam, selepas itu, mulutnya tiba-tiba terkunci, tidak boleh meneruskan ceramah.
Malam itu, kami berkekang mata, menjaga dan membantu memulihkannya. Kejadian berulang lebih empat kali setiap hari. Sehingga calon tidak boleh bergerak cergas. Kami diberitahu, di sini memang kuat amalan sihir. Sehinggalah rombongan anak buah Dr. Harun Din dari Kuching sampai membantu merawat melalui kaedah sifa', Alhamdulillah, calon semakin pulih dan baik kesihatannya. Calon kembali cergas untuk turun menemui pengundi.
Apabila rakyat tahu Tuan Guru Nik Abd Aziz akan turun ke Muara Tuang, setiap hari mereka bertanya bila program dengan Tok Guru diadakan. Malahan ramai yang menawar diri untuk menjadi tuan rumah, orang Iban di rumah panjang dan Bidayuh turut menawarkan diri menjadi tuan rumah. Kedatangan Tuan Guru sememangnya dinanti-nanti. Mereka ingin melihat wajah Tuan Guru dan mendengar ucapan Tuan Guru. Tuan Guru yang sering diburuk-burukkan oleh media BN rupaya dinanti-nanti kehadirannya di Muara Tuang dan Sarawak umumnya.
Saya bersama petugas Perak yang lain sentiasa memakai baju atau jaket yang ada lambang PAS. Pada awalnya takut juga memakai baju yang ada lambang, bimbang keselamatan atau akan dijauhi oleh orang kampung. Rupaya tidak begitu, memakai baju yang ada lambang PAS memudahkan orang ramai mengenali. Setiap orang yang ditemui atau ketika berselisih di pasar, kedai, market atau di restoran, orang ramai segera menyapa dan meminta samada bendera untuk digantung di rumah mereka, poster calon atau baju. Kami segera memberinya dan mengajak mereka datang ke markaz untuk ambil bendera dan baju. Dan mereka mengambilnya.
Sayang sekali, saya tidak boleh lama berada di Muara Tuang. Genap seminggu terpaksa berlepas pulang ke Semenanjung. Ada program lain di bawah tanggungjawab saya untuk dilaksanakan. Mesyuarat Agung PAS Kawasan dan Ijtima' PAS ganti UMNO yang akan menghimpunkan ribuan petugas PAS seluruh Perak, dan juga membantu adun-adun kita membuat persiapan menghadapi sidang DUN yang sedang berlangsung sekarang.
Walaupun sudah kembali ke Semenanjung untuk menumpukan tugas lain, rakan-rakan baru saya dari Muara Tuang masih menghubungi saya untuk bertanya program terkini dan meminta buat ceramah di kampung mereka. Jalinan persaudaraan tetap diteruskan walaupun berjauhan. Saya berhasrat untuk ke Muara Tuang sekiranya ada peluang nanti bagi membantu mengembangkan dan menguatkan PAS.