TEKS UCAPUTAMA PESURUHJAYA PAS PERAK

Dicatat oleh MisbahulMunir Sunday, May 24, 2009

KECEMERLANGAN DAKWAH TERAS KEMENANGAN

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dipertemukan di dalam konvensyen pada kali ini dalam suasana mahabbah dan ukhuwah meskipun berhadapan dengan kemelut politik negeri Perak yang berlarutan, namun semangat juang yang sedia ada meningkatkan kesedaran kita untuk memahami betapa pentingnya sifat istiqamah dan intima dalam perjuangan parti. Justeru itu dalam konvensyen pada kali ini saya mengajak semua ahli agar bermuhasabah dan berbincang untuk memperbaiki kelemahan, menyusun strategi, mengumpul kekuatan ke arah memajukan jemaah bagi kebaikan di dunia dan akhirat.

Pada kesempatan ini saya mengalu-alukan kehadiran tuan/puan dari seluruh negeri kawasan dan cawangan, pimpinan sayap parti serta mengalu-alukan juga wakil-wakil parti politik rakan Pakatan Rakyat, NGO serta orang perseorangan yang sudi hadir pada hari ini.

Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola konvensyen ini terutama PAS Kawasan Teluk Intan yang menjadi tuan rumah dan bertungkus lumus bagi menjayakan konvensyen pada kali ini. Semoga keterlibatan tuan/puan akan lebih memberikan makna yang besar dalam usaha kita memantapkan perjuangan.

Konvensyen PAS Perak kali ke-14 ini diadakan ketika berlaku kemelut politik negeri Perak. Dalam konvensyen pada tahun lalu, kita berada dalam suasana menyambut kemenangan politik bersama dengan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, apabila PAS diberi mandat sebagai Menteri Besar Perak walaupun hanya memenangi6 kerusi Dun. Ketika itu kita memperkatakan peranan pimpinan yang menduduki jawatan-jawatan EXCO, Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan, Ahli-Ahli Lembaga dalam GLC, agar masing-masing membuktikan kemampuan dan berkebolehan mengangkat imej parti dan menampilkan kepimpinan dalam mendokong kerajaan Pakatan Rakyat. Bahkan di peringkat akar umbi juga, kita menggesa ahli-ahli yang terpilih menjadi ketua-ketua kampong supaya menjalankan tugas dengan penuh ikhlas memikul amanah masing-masing.

Hari ini kita berkonvensyen, ketika kerajaan pilihan rakyat telah dirampas oleh UMNO/BN dengan begitu rakus tanpa memperdulikan undang-undang dan perlembagaan. Namun disebalik peristiwa yang sangat mencabar itu, terdapat hikmah yang besar, kerana kita dapat menyaksikan bahawa sokongan dan dokongan rakan Pakatan Rakyat dari rakan non-muslim semakin mantap dan menyakinkan kerana mereka melihat Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS memberikan jaminan atau saham semua rakyat dengan adil dan saksama. Ini bukan kerana slogan kita PAS untuk semua tetapi lebih daripada itu mereka mendapati bahwa ajaran Islam menjamin keadilan dan kebajikan untuk semua.

Antara mereka sudah mula merujuk kepada nas-nas Al-Quran dan cuba memahaminya.Namun dalam perkembangan positif di kalangan masyarakat non-muslim, kita seolah-olah tertanya-tanya mengapa orang Melayu masih belum membuat perubahan dalam pendirian politik mereka yang terus menyokong. Mengapa mereka tidak mendokong perjuangan PAS.

Konvensyen pada kali ini akan memfokuskan kepada persoalan dakwah sesuai dengan tema KECEMERLANGAN DAKWAH TERAS KEMENANGAN, kerana kita melihat bahawa prospek dakwah banyak memberikan input serta buah yang berguna terhadap masa depan parti serta persepsi masyarakat terhadap PAS bahawa PAS bukan sahaja parti politik tetapi juga bekerja keras untuk dakwah, tarbiyah, pendidikan dan sebagainya.

Justeru Konvensyen ini diharapkan akan membahas serta menggariskan hala tuju, bagaimana kemenangan boleh dicapai apabila kita mampu meletakkan MISI DAKWAH sebagai agenda penting parti hingga mencapai kecemerlangan. Kita mestilah mempunyai keyakinan bahawa Kecemerlangan Dakwah itulah yang menjadi Teras kemenangan perjuangan bagi mendaulatkan Islam.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak telah menyatakan 5 prinsip utama dalam mengemudi Kerajaan. Walaupun kerajaan Pakatan Rakyat telah dirampas oleh UMNO-BN, gerakerja kita untuk merealisasikan kerajaan yang ADIL, TELUS, BERKEBAJIKAN, BERINTEGRITI dan BERAMANAH terus menjadi Visi dan Misi kita dalam perjuangan seterusnya. Kita yakin Perak merupakan model utama bagi Kerajaan Pakatan Rakyat yang mantap dan berkesan. Bagi kita PAS Perak khususnya di kalangan aktivis PAS Perak pelbagai peringkat, ia merupakan pengalaman dakwah yang amat penting untuk menjaga kemenangan pada masa akan datang.

DAKWAH SATU PERJUANGAN

Dakwah adalah satu tanggungjawab dan amanah dari Allah SWT. Ia di antara sifat-sifat wajib bagi Rasul. Gerakerja dakwah perlu dilaksanakan dengan kesungguhan tanpa jemu, rasa bimbang atau takut celaan dari pencela. Pelarian dari tanggungjawab ini akan mengundang murka Allah SWT dan mengakibatkan turunnya bala Allah SWT. Dalam hal ini Nabi SAW memberi amaran keras kepada mereka yang tidak melaksanakannya samada secara kelompok atau individu, seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Apabila kamu melihat Umatku takut untuk berkata kepada orang zalim:

Wahai orang zalim, maka telah diucapkan selamat tinggal untuk mereka”

Yang dimaksudkan dengan dakwah ialah panggilan ke jalan Allah. Allah SWT berfirman;

قُلْ هَـذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَالْمُشْرِكِينَ

“Katakanlah ‘Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, mengajak (kamu) dengan hujjah yang nyata akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Dan yang dimaksudkan dengan ajakan ke jalan Allah ialah ke jalan agama Islam, agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW:

…إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللّهِ الإِسْلاَمُ

“Sesungguhnya agama (yang direhdai) di sisi Allah hanyalah Islam…”

Islam merupakan objek dakwah dan Rasul sendiri merupakan unsur pertama dakwah. Rasullullah SAW telah menyampaikan Islam semenjak beliau diangkat menjadi rasul sampai akhir hayat baginda, baginda diutus untuk berdakwah.

مُّنِيراً وَدَاعِياً إِلَى اللَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجاً .يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِداً وَمُبَشِّراً وَنَذِيراً

“Hai Nabi! Kami mengutuskan engkau sebagai saksi atas umat dan untuk memberi khabar suka dan khabar takut. Dan untuk menyeru manusia kepada agama Allah dengan izin Nya, serta menjadi pelita yang menerangi.

Nabi sebagai juru dakwah (daei) yang pertama, yang memanggil umat manusia ke jalan agama Islam dan dengan demikian rasul sebagai unsur dakwah yang ke dua. Umat Islam diajak atau diseru ke jalan Allah, baik orang Arab dan bukan Arab. Misi dakwah yang bersifat universal dan baginda diutus kepada umat manusia seluruhnya.

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيراً وَنَذِيراً وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Manusia yang diajak dan diseru ke dalam Islam merupakan unsur dakwah ke tiga. Rasulullah SAW menyampaikan dakwahnya menurut metoda dan melalui media yang diwahyukan, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah. Maka metoda dan media serta segala yang berkaitan dengan metoda dan media merupakan unsur dakwah yang ke empat. Dalam urusan tersebut dapat kita nyatakan bahawa dakwah mempunyai unsur, objek dakwah, juru dakwah (daei), penerima dakwah (mad’u), metoda (uslub) dan media (wasilah).

PAS : SEBUAH GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam mestilah sebuah gerakan Islah yang menjurus kepada perjuang kepada interaksi sosial dan kesedaran seorang untuk membina kebaikan serta menonjolkan nilai Al-Quran dalam dirinya. Gerakan Islam bertanggungjawab untuk mengerah dan mengarahkan kader-kader atau aktivis berkemampuan untuk melibatkan diri dalam perjuangan. Gerakan Islam mesti muncul gerakan yang memberi fokus kepada masa depan umat memandu masyarakat ke arah Al-Quran. Gerakan Islam berperanan untuk menyelamatkan sesuatu bangsa dan negara. Allah telah menyebut dalam Al-Quran bahawa antara sebab kehancuran sesebuah negara apabila golongan mewah melakukan kerosakan secara berleluasa dan berada diluar batasan yang normal.

Firman Alllah:

وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيراً

“Dan jika kami hendak binasakan sesebuah negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu supaya mentaati Allah tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri tersebut, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya ketentuan kami, kemudian Kami hancurkan negeri ini sehancur-hancurnya”

Sesebuah negara itu akan hancur sekiranya rakyat di negara itu tidak menahan kezaliman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh golongan al-mutrafin. Hanya golongan Islah yang dapat menyelamatkan negara tersebut dari menerima ketentuan Ilahi.

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa tugas gerakan Islam adalah penyelamat bangsa dan negara yang berada di dalam kemurkaan Ilahi akibat perbuatan Al-Mutrafin. Sekiranya Gerakan Islam tidak memainkan peranan sebagai juru Islah sudah pasti kita akan menerima ketentuan Ilahi.

Masa depan kerangka besar perjuangan PAS menuntut kita meneliti kesungguhan dan keberkesanan program dakwah dan tarbiyah untuk menuju kemenangan bergaya cemerlang di samping menilai kembali wasail dakwah dan tarbiyah yang perlu dijayakan. Imam syahid Syed Qutub RH pernah menjelaskan tentang perlunya tanzim yang kemas dan mantap agar kemenangan dapat dicapai dengan gemilang.

Agenda-agenda dakwah dan tarbiyah selepas ini perlu dimantapkan dan diperhebat sesuai dengan perubahan masa dan suasana. Justeru matlamat mega ini perlu dipopular dan ditafaqquhkan dengan penampilan skema dan modul terkini dan terangsang agar semua generasi masa kini memupuk semangat mesra dakwah. Sudah tentu acuan rabbani dan matlamat parti yang digariskan dalam perlembagaan parti itu dilaksanakan iaitu usaha-usaha mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan dan orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

Kita sudah berjaya apabila kefahaman, budaya hidup serta syariat Islam telah berjaya difahami oleh kebanyakan masyarakat termasuk bukan Islam. Mereka berusaha untuk mendekati serta memahaminya dengan penuh tekun dan perihatin melalui pemerhatian pada watak pimpinan, ahli-ahli serta perbandingan mereka dengan corak hidup ahli-ahli yang tidak menyokong perjuangan Islam, penyusunan gerak kerja dakwah yang tersusun, istiqamah dan mentaati pemimpin menjadi bahan bukti keyakinan mereka. Walau bagaimana ia masih perlu diperkasakan lagi bagi mencapai kegemilangan.

PEMBINAAN BUDAYA DAKWAH

Seluruh ahli dan kepimpinan dituntut agar memiliki sifat mesra dakwah. Dakwah dan tarbiyah sering beriringan mempadu antara satu dengan yang lain.Kita perlu memikirkan formula dan wasail dakwah yang terbaik untuk menempa kecemerlangan kini mahu pun kemudian agar beriringan dengan kesucian dan kemurnian hati dan akal, mantap serta padu akidahnya. Kita perlu melahirkan generasi du’at (pendakwah) yang berusaha menarik manusia kepada kebaikan. Di saat UMNO/BN yang hilang integrity dan karam dengan slogan Islam hadhari PAS bangun dengan wajah-wajah baru dalam dakwah, menanggung rasa cintakan umat, menggalas beban dan sengsara, menyentak hati-hati yang ragu dengan pendekatan yang tak pernah terfikir kejayaannya.

Tahaluf siasi yang dilaksanakan oleh pendekatan PAS membuka banyak pihak terutama ahli serta rakyat sendiri bagaimana keindahan dakwah boleh dinikmati oleh semua golongan asal saja kalimah diaplikasi dan dilaksanakan oleh orang yang keluar dari Madrasah Tarbiyah Rabbaniyah. Setiap ahli mesti merasai diri sebagai DAEI.

Sekurang-kurangnya ada bebarapa faktor yang melambatkan proses membudayakan dakwah:

Dakwah bukan tugas semua orang dan ia hanya untuk orang tertentu dan yang memegang jawatan tertentu.

Keporak-perandaan senario politik dan rendahnya mentaliti pemikiran masyarakat dalam mewajarkan mafhum dakwah.

Terbatasnya thiqah serta curangnya mental dan fizikal dalam mewarnai dakwah terutama dakwah bilhal.

Terperangkapnya sebahagian ulama dan pendakwah dengan rasa keegoan diri sehingga berada dalam gelanggang dakwah jumud, tertutup dan fardiyah sehingga membataskan ruang kerjasama dan bersepadu dalam arena dakwah kulliyyah.

Kejumudan ahli-ahli dalam menangani gerakerja dakwah secara terancang malah ada yang terlepas pandang dengan hanya mengalihkan kepada isu politik semata-mata tanpa dihiraukan peluang dan ruang dakwah yang lebih terbuka.

Ahli hendaklah sentiasa prihatin dan sentiasa mempunyai fikrah dakwah (fikrah da’wiyah) dan berusaha bagi mencapai matlamat parti. Longgar dan lompang dalam mencapai hasrat parti akan mengikis keyakinan masyarakat terhadap jenama parti yang memang sudah terkenal sebagai parti dakwah. Keterlibatan beberapa individu dalam dakwah liar tidak harus dipandang ringan kerana ia akan menjejaskan imej parti. Kesepaduan antara matlamat dan wasilah perlu dipertemukan agar kedua-duanya dapat dihasilkan dengan tepat dan berjenama. Dalam hal ini dapat dipastikan bahawa di antara matlamat dakwah ialah:

Meningkatkan kualiti daei serta pengurusan dakwah sesuai dengan keperluan zaman.

Memberi kafahaman Islam sebenar dalam semua aspek terutama dalam pembentukan minda rakyat

Mengeratkan ukhuwah di kalangan masyarakat dan kaum di negara ini

Memberi khidmat kebajikan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam dalam menangani gejala sosial dan juga isu-isu nasional

Memartabatkan Islam sebagai addin dan mampu menyelesaikan segala keperluan untuk semua yang berkaitan akidah, syariat dan akhlak

AKTIVIS GERAKAN DAN PENDAKWAH

Pendakwah yang berjaya mempunyai pemikiran yang boleh melihat dan membaca realiti sekelilingnya. Melihat kepada realiti perkembangan politik semasa khususnya di negeri Perak, petugas-petugas PAS mesti melihat semua pergerakan, aktiviti dan program mestilah mengarah kepada gerakan dakwah. Sheikh Jum’ah Amin Abdul Aziz


  • Rabbaniyyah - Bersumberkan dari wahyu Allah Ta'ala.
  • Wasatiyyah - pendekatan Kesederhanan dan seimbang.
  • Ijabiyyah - Positif dalam memandang alam, manusia dan kehidupan.
  • Waqi’iyah- Memahami reality semasa.
  • Akhlaqiyyah - menjaga adab, etika dan tatasusila sebagaimana akhlak Rasullullah SAW.
  • Alamiyyah -Pendekatan global.
  • Syuriyyah - syura sebagai sistem terpenting dalam membuat keputusan.
  • Jihadiyyah -Melaksanakan tugas Dakwah dengan seluruh potensi dimanfaatkan secara maksima.
  • Salafiyyah- Memastikan keaslian dan kemurnian Islam terpelihara dari penyimpangan.

    Semua petugas dan aktivis PAS Perak, mestilah melihat secara menyeluruh bahawa pendekatan dakwah mestilah sentiasa diteruskan dan dipupuk walau apapun yang berlaku terhadap kegawatan politik yang berlaku. Dakwah perlu diangkat menjadi satu kerjaya yang profesional. Langkah awal yang perlu di ambil perhatian ialah dengan mengemukakan satu layanan perkhidmatan yang setaraf kepada tenaga muda yang terbaik untuk berkecimpung di arena dakwah secara bebas dan terjamin. Kalau kita bersikap ala-kadar terhadap segala pergerakan dan program kita maka kita tidak mampu untuk berkembang jauh dari masalah yang dihadapi.

    DAKWAH YANG BERKESAN

    Gerakan dakwah yang berkesan memerlukan komitmen daripada pimpinan-pimpinan dalam pelbagai peringkat. Tanggungjawab ini mestilah dipikul oleh semua pimpinan bagi memastikan terdapat kemajuan dan ketinggian untuk menjadi contoh terbaik kepada manusia keseluruhannya dalam menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

    Allah berfirman:

    “Kamu telah dijadikan sebaik-baik umat kepada seluruh manusia untuk menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah”

    Setiap pendokong PAS, mestilah menjadi pemimpin dalam beragama dan menganjurkan nilai-nilai yang terpuji. Tugas kita mestilah mengajak manusia untuk melakukan kebaikan sehingga kebaikan-kebaikan dapat dibina. Untuk melaksanakannya kita petugas PAS, mestilah menunjukkan contoh yang terbaik dalam menegakkan keadilan, memelihara hak-hak asasi manusia dan sebagainya.

    Telah di riwayatkan ketika Saad Ibn Abi Waqas menakluk Hems, sebuah Bandar di utara Syria, beliau telah mengutip jizyah daripada penduduk bukan beragama Islam. Apabila beliau diarahkan untuk bertugas di bandar lain, beliau telah memulangkan semula cukai yang dikutipnya dengan berkata:

    “Kami telah memungut duit ini untuk melindungi anda, tetapi sekarang kami akan berpindah dan tidak dapat lagi melindungi anda semua, oleh itu kami memulangkan semula duit anda”. Lalu berkata penduduk beragama Kristian tersebut:

    “Tidak pernah ada orang melayan kami sebaik ini sama ada orang Rom atau Parsi”. Kerana kagum dengan kemuliaan dan keadilan Islam, ramai mereka memeluk agama Islam. Itulah kesan keadilan dan kemuliaan Islam yang mampu menawan masyarakat bukan Islam dan akhirnya kebenaran dan kemuliaan Islam diakui oleh masyarakat.

    Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz adalah satu contoh yang terbaik sebagai contoh seorang negarawan yang adil. Semasa pemerintahannya kemiskinan dapat dihapuskan sehingga tidak ada orang miskin yang menerima zakat. Natijahnya ramai orang bukan Islam telah menganut Islam sehingga ada gabenornya mengadu kerana hasil jizyah berkurangan. Lalu Khalifah Umar mengutuskan kepada mereka surat yang mengatakan bahawa Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW kepada manusia sebagai petunjuk dan bukannya sebagai pemungut cukai.

    Hakikatnya peranan umat Islam dalam dakwah adalah paling berkesan dalam menyebarkan syiar Islam. Allah telah mengingatkan kita bahawa sekiranya umat Islam seluruhnya meninggalkan atau berpaling daripada melakukan tugas dakwah ini, Allah akan mengantikannya dengan umat yang lain yang akan melaksanakannya dengan lebih baik. Bagi mencapai dakwah yang berkesan, umat Islam mesti membina niat untuk melakukan tugas yang terbaik dan berkhidmat menyeru yang baik dan mencegah kemungkaran.

    Sebagaimana yang ditekankan, bahawa setiap muslim lelaki atau wanita adalah bertanggungjawab untuk berdakwah mengikut kadar kemampuannya. Menjalankan dakwah adalah penting untuk menjaga keimanan seseorang dan mengelakkan diri daripada kekufuran.

    REALITI POLITIK PERAK: PAS PERAK MISI DAHWAH DALAM SIASAH

    Semua pendokong PAS Perak, malah secara umumnya PAS seluruh Malaysia serta penyokong-penyokong dari pelbagai peringkat telah melihat bagaimana kita telah berjaya menguruskan kemenangan kita. Hampir sebelas bulan kita bersama-sama Pakatan Rakyat
    telah memimpin Kerajaan Negeri Perak. Walaupun kita dirampas secara tidak demokratik oleh UMNO/BN, tetapi disebalik peristiwa tersebut terdapat hikmah yang besar yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Perak telah menjadi negeri yang pertama sebagai model Kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui PAS. Model kerajaan Pakatan Rakyat yang memberikan penekanan kepada keadilan dan kebajikan kepada rakyat keseluruhannya yang terdiri dari berbagai kaum.

    Selama 11 bulan kita diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Pakatan Rakyat, namun kesan dakwah yang kita laksanakan amat besar ertinya kepada perjuangan dan perkembangan Islam di Negara kita. Politik dan dakwah tidak boleh dipisahkan. Gerakan politik yang kita laksanakan selama ini merupakan salah satu misi dakwah kita.

    Di Perak kita telah berjaya melaksanakan tanggungjawab politik secara berkesan dan bertanggungjawab. Misi dakwah yang kita lakukan di dalam parti politik telah berjaya menyatukan rakyat di negeri Perak. Masyarakat bukan Islam yang selama ini dipesongkan pemahaman dan pemikiranya tentang Islam, telah berjaya kita yakinkan tentang kebenaran, keadilan dan kemuliaan Islam. Masyarakat bukan Islam tidak lagi takut untuk bersahabat dengan PAS yang membawa Visi dan Misi Islam. Malah mereka tidak segan silu untuk membela kebenaran dan keadilan Islam malah ia memberi motivasi kepada petugas-petugas dan aktivis kita untuk terus berjuang menegakkan Islam dalam gerakan kita. Ini salah satu keberkesanan kita dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi melaksanakan tugas dakwah.

    Kecenderungan rakyat bukan muslim kini sudah mula mencari keindahan syariat Islam dan dinamika perubahan. Apabila PAS mengutarakan slogan PAS Untuk Semua (PAS For All) ternyata ia merupakan satu slogan yang matang dan bersifat terbuka. Mereka melihat sepenuhnya akan kebenaran Islam menerusi kacamata politik. Mereka lebih yakin melihat menerusi teropong politik daripada minda lain. Kezaliman serta keangkuhan UMNO/BN di samping hilangnya integriti adalah punca perbandingan dibuat. Secara tidak disedari orang-orang bukan Islam sudah berjaya duduk semeja malah mendengar dan membaca ayat-ayat Allah. Inilah satu peluang memperkenalkan produk dakwah sepertimana yang diamalkan Nabi Muhammad SAW dalam siri dakwah baginda bergaul dengan bukan Islam, menziarahi musuh-musuh politik, kanak-kanak, orang tua, bersukan, bermujadalah dan sebagainya.

    Dalam kontek minda politik hari ini sudah semestinya pendekatan dakwah akan memberikan kesan positif, berkualiti serta cepat, jauh mengatasi pendekatan yang tidak berjenama politik. Mengapa ini tidak dijelmakan secara yang lebih konprehensif dan sistematik agar persepsi politik kotor yang dipelopori oleh musuh-musuh kita sebelum ini dapat dipadamkan dengan satu struktur dan mekanisme baru dalam membina polisi dakwah yang luhur dan suci. Buta dakwah dan siasah secara bersepadu perlu ditangani jika tidak ia akan menghasilkan daei yang terpisah dari politik.

    AGENDA MEMPERKASA URUSAN DAKWAH

    1. Membangun Tenaga Sumber

  • Pemimpin pelbagai peringkat, negeri, dewan, kawasan dan cawangan PAS.
  • Pemimpin NGO’s Islam pelbagai peringkat, negeri, dewan, kawasan dan cawangan PAS.
  • Golongan profesional seperti guru, doktor, peguam dan lain-lain
  • Belia-belia aktivis Gerakan
  • Tokoh pimpinan masyarakat seperti Ketua Kampung, Pengerusi dan AJK dalam pelbagai persatuan dalam masyarakat.
  • Pimpinan masjid dan surau.

    Latihan Pendakwah Secara Sistematik

  • Sumber tenaga – diberi latihan sebagai Pendakwah.
  • Perkukuhkan program tarbiyyah
  • Memperkasakan peranan Ulama/Ulama Muda
  • Mengurus pimpinan muda dengan pelbagai latihan.
  • Membentuk kumpulan ulama yang berkemahiran dalam bermuzkarah/berbahas
  • Menggiatkan lagi program Usrah diperingkat kawasan dan cawangan (satu cawangan satu usrah)

    Program Ibadah

  • Penubuhan halaqah, zikir dan munajat di semua peringkat dewan-dewan dan kawasan serta cawangan
  • Penubuhan kumpulan-kumpulan sukarelawan mengajar mengaji Al-Quran dan ibadat solat terutama di peringkat pemuda dan muslimat

    Kelab Penyokong PAS

  • Perkasakan pelaksanaannya
  • Kemaskinikan organisasi
  • Latihan Peningkatan Kefahamanan

    Program Kebajikan Menyeluruh

  • Membela masyarakat miskin dan terpinggir.
  • Membela anak yatim dan ibu tunggal
  • Mengurus bantuan pendidikan
  • Mentarbiyyah kelompok yang terpinggir
  • Memberikan khidmat pengurusan jenazah

    Program Pendidikan

  • Tafaquh fiddin untuk masyarakat
  • Kelas bimbingan/tuisyen

    Program Rekreasi dan Hiburan

  • Penubuhan kumpulan-kumpulan nasyid dan drama
  • Penubuhan Kelab Sukan dan Rekreasi di kalangan muda mudi

    Program Masyarakat bukan Islam

  • Dialog Pemimpin Masyarakat pelbagai peringkat
  • Program bersama dengan masyarakat bukan Islam

    Usaha-usaha yang lebih praktikal perlu dilaksanakan bagi menyuburkan misi dakwah kita. Setiap aktiviti dan program yang ingin kita lakukan mestilah mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk mencapai misi dakwah.

    MUHASABAH GERAKAN ISLAM : PAS

    Setiap tahun kita mengadakan Konvensyen dan Muktamar, bagi melihat sejauh manakah keberkesanan gerakan dakwah kita. Amanah dakwah yang kita pikul ini perlu kita laksanakan dengan penuh iltizam. Sebagai pimpinan peringkat negeri mahupun peringkat dewan atau kawasan dan cawangan tidak harus mengenal erti kecewa, penat atau ingin bersara dalam perjuangan menegakkan risalah murni ini. Perjuangan ini adalah perjuangan sepanjang hayat dan bersifat jangka panjang. Perjuangan ini menuntut semua aktivis gerakan berjuang dengan penuh kesabaran kerana hasilnya perjuangan dakwah tidak boleh dinikmati dengan segera. Ada kalanya kita perolehi nikmat perjuangan semasa kita hidup dan ada kalanya nikmat perjuangan akan dirasai oleh generasi akan datang. Tugas kita hanyalah berdakwah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan hasilnya kita serahkan kepada Allah SWT.

    PENUTUP

    Kita berdoa agar kita akan terus mengukuhkan semangat yang tinggi dan dapat menghadapi cabaran dengan ikhlas, tabah dan tawakkal. Semoga aktivis kita dapat meneruskan budaya gerakan dakwah dengan penuh tanggungjawab dan penghayatan yang tinggi, maka insyaAllah ikatan hati dan ruh akan bertambah kuat dan ukhuwah di kalangan kita semakin mantap. InsyaAllah kita akan terus membina saf dan terus mengukuhkan Gerakan Islam PAS sebagai satu gerakan dakwah yang utama bagi menegakkan syariat dan syiar Islam. Kita telah menyakini dan menyedari bahawa kita berdakwah melalui politik dan yakin kita akan mendapat kemenangan.

    Sekian, wabillahit taufiq wal hidayah.

    Allahu Akbar
    Allahu Akbar
    Allahu Akbar.

  • About Me

    My photo
    Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

    Ahlan wa Sahlan

    Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

    Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




      Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!