Dalam rangka kita menyambut bulan Syawal ini elok kita memperkatakan tentang kekuatan Islam dalam konteks perlembagaan. Sebelum ini saya menyebut betapa kedudukan Islam – berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan yang ada di dalam perlembagaan – begitu kukuh dan terpelihara. Bagaimanapun di luar sana kenyataan yang kita lihat adalah sebaliknya.
Dengan kata lain kedudukan Islam dalam perlembagaan yang kelihatan begitu tinggi dan kukuh itu lebih merupakan gambar yang hanya cantik untuk dijadikan hujah dan teori sedangkan bagi rakyat biasa itu semua tidak mereka rasakan. Bagi mereka Islam adalah sebahagian daripada bola politik. Dari sudut yang lain Islam kelihatan terancam dan terpinggir dan seterusnya.
Sebagai contoh di dalam perlembagaan Raja-Raja adalah ketua agama yang kuasanya mutlak; yang hanya tertakluk kepada hukum yang ditetapkan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Tetapi ini tidak kelihatan di masjid-masjid. Ada banyak sebab kenapa ia jadi begitu. Tauliah mengajar agama umpamanya boleh ditarik oleh orang politik sedangkan pada teorinya tauliah itu dikeluarkan oleh Sultan.
Hal yang sama berlaku dalam soal fatwa. Di sisi undang-undang ia tertakluk kepada perkenan Raja tetapi apa yang kita lihat ialah bahawa fatwa yang mengesahkan kedudukan dan keutamaan politik kerajaan begitu cepat dikeluarkan sedangkan fatwa-fatwa dalam perkara-perkara lain yang mungkin lebih penting begitu lambat diputuskan. Saya masih ingat lagi dalam satu forum di Johor Bahru pada 1996 di mana seorang tokoh UMNO berkata bahawa dalam agama ini “Raja bukan tahu apa”; sesuatu yang menggambarkan bagaimana parti ini melayan dan memandang Raja-Raja.
Sesekali memang ada Raja-Raja bertindak. Ini termasuklah tindakan menarik balik perintah bertukar yang dibuat oleh Datuk Seri Mohd. Nizar Jamaluddin ketika beliau memegang jawatan Menteri Besar Perak tahun lalu. Isu ini kemudian menyebabkan Pengerusi DAP Karpal Singh didakwa atas tuduhan menghasut.
Senario sebalik titah sultan
Saya tidak akan menyentuh isu hasutan Karpal di sini. Apa yang saya hendak sentuh ialah senario yang menjadi latar belakang kepada titah Sultan supaya Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) dikembalikan semula ke jawatannya. Berdasarkan kepada kedudukan dan kuasa Sultan sebagai ketua agama, Nizar akur. Tetapi beberapa soalan ditimbulkan; termasuk mengapa beliau mengambil tindakan tersebut. Dari apa yang dimaklumkan kepada saya Nizar mengambil tindakan tersebut kerana pegawai berkenaan dikatakan mengambil tindakan-tindakan yang kebanyakannya mengingkari dasar dan keutamaan pentadbiran Pakatan Rakyat: pendeknya pegawai berkenaan menjadi alat kepada UMNO yang tidak lagi memerintah negeri tersebut.
Sepanjang ingatan saya Sultan Perak tidak pernah mengambil tindakan yang sedemikian drastik sewaktu UMNO memimpin pentadbiran negeri. Mungkin ia pernah berlaku tetapi oleh kerana media massa dikuasai oleh parti itu maka ia tidak menjadi pengetahuan umum. Apa yang berlaku sekarang ialah meskipun UMNO sudah menjadi pembangkang di empat buah negeri semenanjung ia masih menguasai media dan Kerajaan Persekutuan dan ini digunakan sepenuhnya untuk mengitar berita-berita yang mereka fikir boleh menggoncang pentadbiran Pakatan di negeri-negeri berkenaan.
Seorang sahabat dari Jabatan Peguam Negara berkata, dalam satu forum baru-baru ini bahawa di Pulau Pinang agama berada di dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Menteri Lim Guan Eng tidak boleh berbuat apa-apa. Itu memang betul dan di negeri-negeri lain pun begitu juga. Bagaimanapun soal-soal rutin berhubung dengan peruntukan dan pentadbiran mahu tidak mahu terserah kepada pentadbiran negeri yang terletak di bawah orang politik.
Kita semua masih ingat ketika mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad naik berang dan memberhentikan bayaran perkapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) pada 2000. Tetapi kita tidak melihat sebarang tindakan dari Majlis Raja-Raja ke atas Mahathir. Berbeza dengan Mahathir sebaik-baik sahaja mengambil alih pentadbiran negeri Lim Guan Eng mengambil beberapa langkah yang umumnya baik untuk kedudukan Islam di negeri itu. Dari segi ini Lim Guan Eng adalah lebih baik kepada Islam berbanding dengan Mahathir.
Saya tidak menafikan kerja-kerja baik Mahathir untuk Islam. Tetapi beliau juga menyakitkan hati orang Islam kerana menafikan sesuatu yang merupakan hak mereka. Tindakan Mahathir terhadap SAR bukan sahaja salah dari segi Islam tetapi juga salah di sisi undang-undang. Alangkah baiknya kalau ada Raja yang mengambil tindakan kepada Mahathir sebagaimana yang dilakukan kepada Nizar di Perak itu.
Umat Islam perlu komited
Kedudukan dan peruntukan mengenai Islam di dalam perlembagaan penting. Tetapi ini sahaja tidak mencukupi. Peruntukan-peruntukan perlembagaan ini memerlukan dukungan dan pengisian. Hari ini ada pihak-pihak yang mempersoalkan peruntukan-peruntukan ini kerana ia digunakan dengan cara yang mempunyai kesan menafikan hak-hak mereka sebagai warganegara yang membayar cukai sebagaimana umat Islam. Dalam pada itu kedudukan Islam dipersoalkan kerana ia dilihat sebahagian daripada mekanisme yang menentang demokrasi dan kesamarataan yang menunjangi perlembagaan kita.
Dengan kata lain Islam menerima kesan daripada tekanan dan penafian yang dilakukan melalui undang-undang drakonia yang ada itu. Islam juga menerima tempias dari pelaksanaan Perkara 153 yang tersasar dari maksud asalnya. Sekiranya peruntukan yang mengkanunkan kedudukan istimewa Melayu itu dilaksanakan dengan betul dan konsisten mungkin hari ini kita tidak perlu lagi berdebat mengenainya kerana orang Melayu sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain.
Walaupun peruntukan-peruntukan mengenai Islam dalam perlembagaan tidak boleh dipadam kita tidak boleh mengharapkan bahawa itu semua adalah mantra dan formula yang boleh mendaulat dan memperkasakan Islam di negara ini. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan tegas mengisytiharkan, antara lain, bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan�.”. Tetapi ini akan tinggal slogan selagi ajaran Islam tidak hidup di dalam peribadi dan kehidupan masyarakat Islam di Malaysia.
Peruntukan-peruntukan yang ada di dalam perlembagaan sekarang sebenarnya cukup dan memadai. Tetapi oleh kerana Islam tidak hidup di dalam peribadi dan masyarakat Islam maka ia terus dagang di dalam negara ini. Saya percaya benar bahawa sekiranya bilangan jemaah Subuh di masjid-masjid negara ini menyamai bilangan jemaah Jumaat adalah mudah untuk melaksanakan Islam di negara ini. Umat Islam yang mampu bangkit subuh adalah umat yang tidak culas, yang tidak rasuah dan tidak mengemis di negara sendiri. Umat sedemikian adalah umat yang mandiri dan punya harga diri. Bukan golongan manusia yang mudah menjual undi untuk kepentingan dan keperluan semasa yang begitu remeh dan pendek.
Sebab itu prasarana sebenar untuk pelaksanaan Islam ialah komitmen kita terhadap Islam. Tanpa ini tidak mungkin kita meminda itu dan ini atas alasan mempermudah dan member laluan kepada Islam. Tanpa kewujudan umat yang komited segala pindaan dan inisiatif akan dipersoal dan dibahas dan ini meletakkan Islam dalam keadaan yang memalukan.
* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak
KEKUATAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN - PROF DR. ABDUL AZIZI BARI
Dicatat oleh
MisbahulMunir
Monday, September 28, 2009