TUDUH PRESIDEN PAS PRO UMNO: PANDANGAN PRO DR AZIZ BARI DISANGGAH

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, October 20, 2009

Saya hormat beliau sebagai seorang yang hebat dalam bidang perundangan. Beliau yang hanya sebagai ahli akademik tidak sama dengan orang yang duduk di medan perjuangan. Melebelkan seorang dalam kepimpinan PAS ada yang pro Umno adalah tuduhan yang berat. Apa asas beliau mengatakan pimpinan PAS pro Umno (Sinar Harian 19/10/09). Adakah semata-mata kerana buat rumah terbuka orang umno datang maka orang ini dianggap pro umno.

Kalau itulah tuduhan yang tidak ada fakta yang kuat amat malanglah sebagai seorang ahli akademik. Perlu diingat PAS sebagai sebuah parti yang besar dan matang dalam sepak terajang politik, pernah berada di dalam Kerajaan persekutuan (BN) dan pernah hanya menang 1 kerusi Parlimen sahaja dalam pilihanraya umum. Sebagai parti yang dihormati oleh kawan dan lawan, parti yang ada prinsip, yang tidak pernah hanyut oleh suasana dan keadaan. Setiap perubahan yang hendak dibuat kita mengambil kira aspek hukum yang dipandukan kepada Al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias.

PAS bukan parti yang ikut suasana dan peralatkan agama untuk kepentingan politik. PAS tidak pernah khianat kawan dalam apa keadaan sekalipun. Prof Aziz boleh lihat tidak ada sejarah PAS meninggalkan kawan dalam apa-apa keadaan. Kalau Tuan Guru Haji Hadi Awang gila sangat dengan umno, kenapa beliau menolak awal-awal lagi pelawaan Dato’ Seri Abdullah Badwi membentuk kerajaan bersama Umno selepas PRU 2008. Kalau beliau gila sangat dunia beliau tidak korbankan ijazah sarjana (MA) di awal tahun 1970 an. Kalau beliau hendak dunia lebih baik beliau menjadi ahli akademik, sewaktu itu berapa orang sangat yang ada kelulusan MA di negara ini.

PAS bertahalluf dengan parti yang berlainan ideologi adalah hasil ijtihad ulamak Pas yang bersandarkan hukum. Untuk pengetahuan Prof Aziz bukan senang hendak meyakinkan penyokong PAS berkenaan dengan tahalluf politik dengan bukan Islam. Bukan senang hendak menyuruh ahli PAS memangkah DAP, kerana selama ini kita telah diajar tidak boleh menyokong calon bukan Islam.

Orang yang membuat kertas kerja tahalluf ini ialah Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang dan dibawa ke dalam majlis syura ulama’ dan diluluskan. Begitu juga ketika PRK Bukit Selambau Kedah kerana sudah ada di kalangan mereka yang tidak mahu membantu calon PKR dalam pilhanraya kecil tersebut kerana beliau ialah calon bukan Islam. Tuan Guru Presiden terpaksa dua kali buat perjumpaan dengan petugas di PRK Bukit Selambau.

Dalam soal kenyataan mengenai politik di Selangor seolah-olah Presiden berdiam diri, adalah tidak betul. PAS ada cara tersendiri dalam menyelesaikan masalahj ini. Kita tidak perlulah memberi tahu kepada Prof apa yang kita buat. Sepatutnya Prof kena tanyalah kepada orang yang berkenaan, jangan kumpul maklumat berdasarkan blog semata-mata. Kita tidak menggunakan media umno, untuk menyelesaikan masalah parti dan Pakatan Rakyat. Bila musuh pernah ehsan dengan PAS dan Pakatan Rakyat, kenapa hendak mendedahkan hal keluarga dalam media.

Bukan senang untuk mentadbir sebuah parti politik yang berbagai ragam. Tadbir parti PAS bukan mentadbir sebuah fakulti di universiti. Kerana mentadbir pensyarah yang makan gaji, walaupun pelajar bodoh atau tidak lulus periksa, gaji dan pangkat tetap naik. Berbeza dengan memimpin PAS kalau kalah dalam pilihanraya maka akan dituduh pro umno, otak tertutup, ulama’ tidak bijak berpolitik dan segala macam yang tidak sedap didengari. Sebagai sebuah gerakan ummah yang ahlinya berbagai ragam manusia dan pemikiran. Berapa banyak mereka yang tewas dalam memimpin PAS, akhirnya terpaksa berundur dari perjuangan. Kerana tidak tahan dengan tekanan, masalah peribadi, kekangan kewangan dan ada yang lompat bersama dengan Umno kerana hendak berjaya dengan cepat.

Menuduh Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan PAS yang pro Umno satu tuduhan yang berat. Ingat kalau dakwaan ini tidak benar ia akan memberi kesan di hari akhirat nanti. Kalau ada dakwaan bahawa Presiden PAS sokong Umno dan menjadi ejen Umno, sila kemukakan dengan bukti. PAS adalah sebuah parti yang berdisiplin dan ada jawatankuasa tatatertib boleh diambil tindakan kalau ada laporan yang berupa pengkhianatan terhadap PAS. PAS pernah mengambil tindakan kepada bekas Yang Dipertua Pas Dato Asri Haji Muda pada tahun 1983 kerana melanggar tatatertib parti.

Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tidak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof.

Memanglah menjadi ahli akdemik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat mata memandang maka berat lagi bahu memikul.

Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan PAS cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan.

Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan PAS dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah.. . Dalam politik ini kita tidak boleh bergantung kepada undi ayunan semata-mata. Ia perlu juga kepada kekuatan asas parti.

Jawatankuasa PAS Pusat telah membentuk jawatankuasa post mortem yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Sabu. Post Mortem yang dibuat oleh PAS lebih hebat lagi daripada setengah kajian-kajian yang dibuat. Kerana kajian kita lebih mendasari hingga ke akar umbi. Sebab itu tidak perlulah kita menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini. Tengok dulu post mortem. Memang sedap mengkritik seperti penonton bola untuk mengkritik pemain yang berada di tengah padang bola sepak. Tetapi betapa peritnya mereka yang berada di tengah padang.. Allahlah yang Maha Mengetahui. Hendak memberi markah siapa pemimpin PAS yang layak memerintah adalah mudah, belum tentu kita boleh berjuang sepanjang nafas mereka yang memimpin PAS sekarang.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



Ini Tulisan Prof Dr. Aziz Bari yang disanggah oleh Ust. Idris Ahmad

Pengajaran dari Bagan Pinang

Oleh Prof Ab Aziz Bari

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang yang berlangsung, 11 Oktober lalu, sudah pun diketahui keputusannya. Kemenangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Samad memang dijangkakan meskipun kegagalan calon Pas yang mewakili Pakatan Rakyat, Zulkefly Mohamad Omar, untuk mengurangkan undi majoriti Barisan Nasional (BN) agak memeranjatkan.

Pelbagai analisis dibuat dan saya tidak mahu menambah apa-apa. Saya sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting daripada sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya. Hal-hal ini penting kerana selain menjadi tema dan mauduk utama ruangan ini, itu semua penting dalam membina sebuah Malaysia yang adil, telus dan sistematik walau siapa dan apa pun warna politik kita. Saya ada menyebut betapa kewujudan sebuah sistem dua parti yang mantap penting bagi memperkasa ideal perlembagaan kita. Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.

Berbalik kepada Bagan Pinang apa yang kita lihat ialah betapa wakil rakyat – yakni Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – pada hakikatnya dianggap sebagai ‘pegawai kebajikan’. Walaupun ini tidak salah tanggapan dan imej memberi kesan yang besar kepada kedudukan dan peranan wakil rakyat berkenaan dan kualiti dewan perundangan kita. Dan seterusnya ini memberi kesan langsung kepada kualiti undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kita. Begitu juga dengan fungsi dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.

Ada kemungkinan pengundi dalam DUN Bagan Pinang, kerana ia adalah pilihan raya kecil dan tidak memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Negeri, mahu mengingatkan Pakatan supaya lebih berhati-hati dan memberi perhatian kepada masalah dan kebajikan rakyat. Ada pihak yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Teluk Kemang yang merangkum DUN berkenaan gagal memainkan peranan. Ini mungkin benar. Tetapi apakah ini cukup kuat untuk mereka memenangkan calon Barisan yang diketahui korup, yang hanya dikatakan ‘teknikal’ oleh pemimpin utamanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun tidak suka calon itu meskipun selepas keputusan diumumkan Mahathir berubah dan turut bergembira dengan keputusan di Bagan Pinang itu.

Keputusan pilihan raya kecil itu menyebabkan sesetengah pihak kesal dan sedih kerana kemenangan besar itu menandakan sikap pengundi yang semacam tidak kisah dengan soal integriti dan kebersihan calon. Apatah lagi mengingat bahawa calon Pas adalah seorang yang begitu aktif dalam isu-isu umum, termasuk alam sekitar dan kes pelupusan sampah Broga. Dalam pada itu sebagaimana di tempat-tempat lain khidmat Barisan bukanlah sempurna, di sana sini banyak juga kegagalan dan kelemahan pentadbiran Mohd Isa sewaktu beliau menjadi Menteri Besar dahulu. Begitu juga dengan pentadbiran sekarang di bawah Datuk Seri Mohamad Hassan.

Hal ini memberi gambaran bahawa kemenangan besar Barisan itu adalah kerana kawasan itu memang kubu UMNO. Sebab itulah ada pihak yang berkata bahawa parti itu tidak harus terlalu seronok kerana apa yang terjadi di Bagan Pinang itu tidak semestinya aliran umum yang akan mendominasi politik negara.

Walau apa pun imej Pakatan yang dipaparkan dalam media yang dikuasai Barisan juga tidak membantu. Imej yang dipaparkan membayangkan betapa gabungan ini rapuh dan tidak berupaya mengambil tempat Barisan. Secara kebetulan itulah kesimpulan yang dibuat oleh Merdeka Center dalam tinjauan lapangan yang diselesaikannya pada awal bulan ini: sekitar 43 peratus dari pengundi berdaftar yang diselidikinya tidak yakin kepada kemampuan Pakatan untuk memerintah di peringkat persekutuan.

Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali atau menyingkirkannya terus. Dalam beberapa portal berita Hasan dilihat sebagai liabiliti kepada Pakatan umumnya dan Pas khususnya. Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam Pas seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.

Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Pas. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan salah Hasan itu secara terbuka. Tindakan dan perangai Hasan itu memang pelik kerana adalah mustahil seorang pegawai tadbir beliau tidak faham konsep tanggung jawab bersama dan bezanya dengan kedudukan penyokong kerajaan.

Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam Pas yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti. Secara perlahan-lahan lulusan syariah Universiti Al-Azhar dan sarjana undang-undang perbandingan Universiti Kent itu mula dilihat sebagai mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Mohd Fadzil Noor yang meninggal dunia pada 2002.

Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda Pas dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi Pas di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu. Ini menyedihkan kerana selain pernah memerintah dari 1999-2004 Pas juga mentadbir negeri itu dari 1959-1961.

Perubahan kepemimpinan penting bukan saja untuk Pas, tetapi juga dalam konteks mereformasikan sistem kita. Perubahan mendasar hanya akan berlaku sekiranya ada kerajaan baru di peringkat persekutuan. Kita semua maklum Barisan tidak akan berbuat apa-apa kepada SPR dan undi pos umpamanya. Begitu juga dengan kedudukan perkhidmatan awam umumnya dan pasukan polis khususnya. Perubahan-perubahan ini amat penting jika kita mahu Malaysia membuat perubahan sebagaimana yang mula kelihatan di Indonesia selepas dua penggal Susilo Bambang Yudiyono memimpin negara. Jika tidak kita akan terus ketinggalan dan menggigit jari.

Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika Pas kekal dengan kapten yang ada ini mungkin akan berkurang. Sejumlah 21 peratus pengundi yang masih berada di atas pagar kemungkinan besar akan berpihak kepada BN dan untuk memperkasa demokrasi di Malaysia akan gagal lagi.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!