Kunjungan Dato' Seri Hj Nizar ke Bagan Datoh mendapat sambutan luar biasa dari masyarakat setempat di Bagan Datoh. Bermula dengan program di tapak timbang sawit sdr. Arifin Husein di Parit Satu, Batu 20, kelihatan orang ramai sabar menunggu ketibaan Hj Nizar sejak sebelum asar lagi. Sempena kunjungannya ke Bagan Datoh, Hj Nizar diminta merasmikan timbang sawit sdr. Ariffin Husein yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan. Ratusan orang ramai mendengar ucapan Hj Nizar yang menjelaskan isu-isu semasa nasional dan negeri Perak.
Selepas Solat Maghrib di Masjid Bagan Datoh, Hj Nizar sempat menyantuni ahli-ahli Jamaah yang baru mengikuti kuliah pengajian yang disampaikan oleh Tuan Guru Hj Arif Yaasin (bekas calon PAS 1995). Sebelum majlis ramah mesra bersama masyarakat berbilang kaum di Dewan tookong Bagan Ikan, Hj Nizar dan rombongan diraikan oleh penduduk rumah awam Bagan Datoh dirumah sdr. Ajmain. Mereka sangat berbesar hati di atas kunjungan Hj Nizar ke kediamannya.
Program seterusnya bersama masyarakat berbilang kaum di Dewan Tookong, Bagan Ikan. program tersebut adalah atas permintaan dan jemputan masyarakat Cina di Bagan Datoh yang mahu mendengar sendiri ucapan Hj Nizar. Ternyata ucapan Hj Nizar mendapat sambutan dan tepukan gemuruh dari masyarakat Cina dan lain-lain. Ucapan yang diselang seli dalam bahasa Mandarin dan Melayu cukup mempersonakan, kebolehannya bercakap Mandarin menambat minat kaum Cina. Mereka tidak berganjak sehinggalah ucapannya berakhir.
Sempena majlis tersebut, 20 orang anak-anak fakir miskin dan yatim dari kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India di kampung berdekatan telah menerima sumbangan dari PAS Kawasan Bagan Datoh yang disampaikan oleh YB Hj Nizar.
Hj Nizar bergegas meninggalkan majlis di Bagan Datoh kepada YB Chan Li Kang untuk meneruskan ceramah. Beliau menghadiri satu majlis lagi yang dianjurkan oleh YB Kesavan di Dewan Tookong Hutan Melintang. Sambutan majlis tersebut cukup meriah. Kehadirannya disambut meriah oleh para hadirin. Turut hadir dalam majlis tersebut Datuk Chua Jui Meng, YB Lee Boon Chye, YB Gobalakrishnan, YB Ng dari Sekinchan dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.Kunjungan YB Hj Nizar dan beberapa pimpinan PR yang lain ternyata cukup menggusarkan UMNO BN Bagan Datoh. Sembang di kedai-kedai kopi sekitar Bagan Datoh menyebut, kalau beginilah sambutan masyarakat berbagai kaum Bagan Datoh kepada Pakatan Rakyat, UMNO BN tidak akan mampu mengekalkan kerusinya di seluruh DUN & Parlimen di Bagan Datoh. Zahid Hamidi pasti gusar dan bimbang. Sebagai Menteri, beliau pasti akan menabur projek-projek dan wang ringgit untuk dicurahkan kepada masyarakat Bagan Datoh bagi memastikan rakyat kekal menyokong BN. Kita percaya, rakyat semakin cerdik dan bijak, rakyat Bagan Datoh tidak akan boleh diperbodohkan untuk selama-lamanya oleh UMNO BN Bagan Datoh.
KUNJUNGAN HJ NIZAR KE BAGAN DATOH MENGGUSARKAN UMNO
Dicatat oleh
MisbahulMunir
Thursday, December 31, 2009